Jurulatih Skuad Bola Sepak Kebangsaan

Jurulatih Skuad Bola Sepak Kebangsaan

Pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia atau lebih popular dengan jolokan Harimau Malaya adalah sebuah pasukan bola sepak yang mewakili negara Malaysia dan ditadbir oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pasukan ini juga telah diiktiraf secara rasmi oleh badan induk bola sepak dunia, Federation Internationale Football Association (FIFA) sejak tahun 1963.

Terdapat beberapa orang jurulatih telah menguruskan pasukan sama ada dari dalam atau luar negara.

Beza pengurus dan jurulatih

Hal ini menjadi tanda tanya dalam kalangan ramai peminat bola sepak di Malaysia khususnya. Sering kali peminat menganggap bahawa pengurus dan jurulatih adalah orang yang berbeza kepada pasukan.

Sebagai contoh, Benjamin Mora dilantik sebagai ketua jurulatih manakala Luciano Figueroa pula sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya.

Namun begitu, di Eropah pula kedua-dua jawatan disandang oleh individu yang sama. Dari aspek peranan atau tugas, pengurus diberi kuasa penuh untuk mengemudi, mengatur, memilih dan menentukan apa-apa jua keputusan terhadap pasukan seperti barisan kejurulatihan, kontrak pemain dan kebajikan-kebajikan tertentu. Ketua jurulatih pula bertugas untuk melatih pemain, merancang taktikal, memilih kesebelasan utama dan menentukan aktiviti pemain di padang latihan.

Pada awal dekad 60-an, pasukan Malaysia telah dilatih oleh beberapa orang jurulatih dalam dan luar negara. Otto Westphal yang berasal daripada negara Jerman merupakan jurulatih pertama bagi pasukan kebangsaan.

Pada tahun 2022, pasukan Harimau Malaya dilatih oleh seorang jurulatih yang berasal daripada negara Korea Selatan iaitu Kim Pan-gon.

Beliau dilantik secara rasmi oleh FAM pada 17 Februari 2022 bagi menggantikan jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe.

Kerusi panas ini telah menimbulkan reaksi dan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan tentang kebolehan dan kepakaran jurulatih luar negara.

Jurulatih luar

Skuad Harimau Malaya pernah dilatih beberapa orang jurulatih antarabangsa.

Seramai 15 orang jurulatih yang telah diimport dari luar negara seperti Otto Westphal dan Karl-Heinz (Germany), Harold Hassall, Frank Lord, Richard Bate, Trevor Hartley dan Allan Harris (England), Dave McLaren (Scotland), Jozef Venglos (Slovakia), Ken Worden (Australia), Slaude Le Roy (Perancis), Hatem Souissi (Tunisia), Bertalan Bicskei (Hungary), Nelo Vingada (Portugal) dan terkini Kim Pan-gon (Korea Selatan).

Kejayaan jurulatih tempatan

Berdasarkan catatan sejarah, Datuk K.Rajagopal adalah jurulatih pasukan Malaysia yang paling lama. Tempoh khidmat beliau selama 4 tahun 5 bulan iaitu dari tahun 2009 hingga ke tahun 2013.

Terdapat beberapa orang juru latih skuad kebangsaan yang pernah melakar kejayaan di peringkat antarabangsa walaupun tidak menjuarai kejohanan yang dipertandingkan. Bekas Menteri Besar Selangor, Harun Haji Idris pernah menguruskan pasukan bola sepak Tanah Melayu sebelum terbentuknya pasukan kebangsaan Malaysia.

Beliau berjaya membantu skuad Harimau Malaya meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 di Jakarta.

Sedekad kemudian, Jalil Che Din pula berjaya melayakkan pasukan Harimau Malaya beraksi di pentas Olimpik. Kemudian, mendiang Datuk M.Kuppan juga pernah membawa pulang pingat gangsa di Sukan Asia 1974. Meskipun skuad kebangsaan menarik diri daripada kejohanan Sukan Olimpik 1980 kerana memboikot tuan rumah namun kejayaan layak ke peringkat playoff kalah mati adalah suatu kejayaan yang sangat membanggakan.

Selepas itu, kejayaan pada abad ke-21 bermula ketika pasukan Harimau Malaya berada di bawah naungan Datuk K.Rajagopal ketika mengharungi kejohanan Piala AFF Suzuki. Buat pertama kali dalam sejarah, anak buah Datuk K.Rajagopal telah ditabal sebagai juara bagi edisi tahun 2010.

Peringkat akhir menyaksikan pasukan Harimau Malaya menewaskan pasukan Indonesia dengan kemenangan 3-0 di Stadium Bukit Jalil dan tewas 1-2 di Stadium Gelora Bung Karno. Kiraan agregat memihak kepada Malaysia dengan skor 4-2.

Kebangkitan Malaysia

Pada tahun 2023, jurulatih baharu, Kim Pan-gon berjaya melayakkan diri buat pertama kali ke pusingan akhir AFC Piala Asia 2023 sebaris dengan pasukan-pasukan handalan Asia yang lain seperti Jepun, Korea Selatan, Jepun, Australia, Qatar, UAE, Arab Saudi, Thailand, China dan gergasi-gergasi Asia yang lain.

Perkhidmatan yang terlalu singkat

Berdasarkan catatan rekod, beberapa orang jurulatih tidak sempat menunjukkan taring kerana tempoh perkhidmatan yang singkat dek kerana pemecatan daripada tugas, pengunduran secara terhormat atau peletakan jawatan.

Faktor kurang kepakaran dari segi kejurulatihan, ketandusan idea memperkuat pasukan dan masalah peribadi seperti sakit dan hala tuju kehidupan menjadi asbab mengapa sesetengah jurulatih hanya mampu bertahan dalam masa yang singkat. Seramai sembilan orang jurulatih telah berkhidmat kurang daripada setahun. Antaranya ialah Ghani Minhat (1969), Tam Sitwa (1973), Chow Kwai Lam (1978), Richard Bate (1988), M.Chandran (1988), Trevor Hartley (1989), Ahmad Shafie (1990), Rahim Abdullah (1991) dan Nelo Vingada (2017).

Terdapat juga jurulatih yang telah dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan untuk tempoh dua kali seperti Jalil Che Din (1972 & 1977), Abd Rahman Ibrahim (1987 & 1998), Hatem Souisi (1995 & 1998) dan Datuk K.Rajagopal (2004 & 2009).

Oleh hal sedemikian, sejak terbentuknya pasukan Malaysia, pasukan ini pernah dibimbing dan dilatih oleh seramai 35 orang jurulatih, 20 orang daripadanya merupakan anak jati tempatan manakala 15 orang jurulatih lagi adalah jurulatih import yang berasal daripada negara luar.

Ramai dalam kalangan peminat bola sepak tanah air merasakan bahawa pelantikan jurulatih berstatus warganegara suatu keputusan yang lebih tepat kerana mereka akan lebih memahami corak permainan pasukan, budaya interaksi dalam kalangan pemain, kekuatan pemain, penggunaan bahasa komunikasi, suasana berkumpulan dalam kalangan pemain Malaysia dan sebagainya.

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya

Tidak dapat dinafikan, pasukan kebangsaan telahpun melahirkan ramai pemain bertaraf bintang dan amat disegani sama ada pada peringkat tempatan atau antarabangsa.

Walaupun kebanyakan pemain hebat dan mempunyai kemahiran individu yang tinggi, semua ini adalah hasil daripada kepakaran dan bimbingan barisan kejurulatihan kelab dalam mendidik dan mengasuh pemain.

Pemain memperoleh banyak pembelajaran berpasukan terutamanya tentang interaksi sesama pemain di atas padang.

Kesimpulannya, skuad Harimau Malaya seharusnya berterima kasih semua jurulatih yang pernah berbakti untuk pasukan kebangsaan.

Tanpa mereka, agak mustahil pasukan kebangsaan mampu bergerak sejauh ini dan mencapai terlalu banyak pencapaian yang membanggakan.

Diharapkan semoga barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya kini akan melatih pasukan kebangsaan menjadi sebuah pasukan yang amat digeruni di pentas antarabangsa.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone.

Share this Post: