JIWANG, GEMBIRA, MARAH, SEDIH, KELAKAR! SEMUANYA ADA DALAM FILEM INDIA

JIWANG, GEMBIRA, MARAH, SEDIH, KELAKAR! SEMUANYA ADA DALAM FILEM INDIA

Bukan hanya orang Malaysia sahaja suka menonton filem dari India, malah digemari oleh masyarakat di serata dunia.

Selepas Hollywood, perfileman India merupakan perfileman kedua terbesar di dunia. Maka, tidak hairanlah banyak patung lilin selebriti terpacak di Muzium Madame Tussauds yang menempatkan patung lilin, ikon, selebriti di seluruh dunia. 

Antara patung lilin terawal yang dipamerkan di muzium tersebut ialah Amitabh Bachchan. Bintang terkenal India itu yang dikenali sebagai Shehanshah' of Bollywood merupakan pelakon India pertama yang diberikan penghargaan dalam muzium itu.

Penerimaan bintang filem India yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa ditunjukkan lagi dengan lebih banyak bintang filem itu dipamerkan sebagai patung lilin di Muzium Madame Tussauds. Bukan hanya bintang filem India Utara tetapi juga Indian Selatan. Antaranya ialah Aishwarya Rai Bachchan, Shah Rukh Khan, Salman Khan, Hrithik Roshan, Prabhas, Mahesh Babu, Katrina Kaif, Kajol dan ramai lagi.

Betapa besarnya industri perfileman India ini sehinggakan pawagam India dijadikan sebagai komoditi negara yang unik dengan identiti dan pemasaran yang berkesan serta mendapat keuntungan di seluruh dunia. Sehubungan dengan itu, industri ini juga telah menyediakan pekerjaan dan menyokong kehidupan ratusan ribu masyarakat di India.

Oleh sebab itu, ramai pelabur asing yang berminat untuk melabur dalam industri seni di India yang semakin meningkatkan saban tahun.

Kutipan dalam industri filem India lumayan

Industri filem India bermula pada abad ke-19 yang dipelopori oleh produser India bernama Dhundiraj Govind Phalke atau dikenali sebagai Dadasaheb Phalke. Beliau telah menerbitkan filem yang pertama pada tahun 1913 yang berjudul Raja Harishchandra.

Filem tersebut merupakan filem tanpa dialog yang sering dianggap filem berdurasi panjang pertama dalam perfileman India. Dadasaheb Phalke juga telah diiktiraf sebagai Bapa Perfileman India dan sejak dari itu industri tersebut telah berkembang dengan pesat.

Industri filem India secara konsisten telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tahun dan menunjukkan kegemilangan di dunia dari segi bilangan filem yang dihasilkan setiap tahun.

Hasil perolehan industri ini melepasi USD1.2 bilion pada 2010, berlegar sekitar USD2 bilion pada 2015 dan diunjurkan berkembang secara berterusan kepada USD2.8 bilion menjelang 2020. (Laporan FICCI KPMG, 2017)

Jika dilihat terhadap bilangan filem yang dihasilkan di India setiap tahun adalah dianggarkan antara 1500 hingga 2000 filem setahun yang diterbitkam lebih daripada 20 bahasa.

India juga merekodkan kehadiran tertinggi di pawagam di dunia berbanding Amerika Syarikat, China dan Jepun, dengan harga tiket purata USD0.81. Filem seperti Dangal dan Bahubali II yang dikeluarkan tahun 2017 telah berjaya memperoleh kutipan lebih daripada USD15 bilion.

Justeru, agak masuk akal juga industri filem India ini telah berfungsi sebagai modal filem kedua di dunia selepas Hollywood dengan Industri filem India Selatan yang terdiri daripada Tamil, Telugu, Malayalam dan Kannada lebih daripada 50% daripada filem yang dihasilkan.

Elemen kepelbagaian menjadikan industri filem India ini sangat ‘powerful’ sehingga menjadi daya tarikan antarabangsa.

Perfileman India telah berkembang saban tahun dari segi kandungan dan bentuknya yang disebabkan oleh perubahan minda masyarakat yang pelbagai, bukan sahaja berbangsa India malahan campuran bangsa.

Walau bagaimanapun, industri filem India sentiasa mengetengahkan elemen tempatan untuk dipertontonkan kepada dunia dan mencerminkan kekayaan budaya negara itu dalam latar belakang lagu dan tarian yang mempesonakan.

Filem di India sememangnya berkonsepkan dan dirakamkan untuk penonton yang lebih besar, segmen yang merentasi sempadan. Filem India menyasarkan untuk memenuhi kepuasan penonton lebih daripada satu kelompok umur, lebih daripada satu negeri atau negara, lebih daripada satu kelas sosial dan lebih daripada satu kewarganegaraan. Perkara yang penting untuk memastikan sasaran tercapai adalah dengan memasukkan elemen perkaitan antara pelakon, lokasi penggambaran, bahasa dan lain-lain dalam bahagian-bahagian dalam filem.

Contoh filem Bollywood yang memasukkan elemen budaya Barat seperti Dilwale Dulhaniya Le Jayenge (1995) dan Dil Chaata Hai (2001). Manakala filem yang dibuat untuk penonton India Barat adalah seperti English Vinglish (2012), Fire (1996), Monsoon Wedding (2001), Bride and Prejudice (2004). Filem-filem ini telah diterima baik di India dan di pasaran Barat.

Contoh lain yang telah memberikan keuntungan lima kali ganda lagi adalah filem 'Devi' (2016) yang dibintangi oleh Prabhu Deva, pelakon utama India Selatan yang dibuat dalam tiga bahasa berbeza (Hindi, Tamil dan Telugu). Filem ini telah disesuaikan mengikut cita rasa dan pilihan penonton dari kawasan yang berbeza dengan versi Hindi mempunyai tiga lagi lagu daripada dua versi yang lain.

Selain itu, kita juga boleh merasai pelbagai emosi hanya dengan menonton satu filem sahaja, ada rasa jiwang, gembira, marah, kelakar, sedih dan sebagainya. Jadi, apa filem India kegemaran anda?

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.researchgate.net/publication/342029348_Emergence_of_Indian_Film_Industry_in_the_International_Markets_Facilitators_and_Impeders

http://studentsrepo.um.edu.my/6135/3/BAB_3.pdf

(Kredit foto: wowkeren.com)

Share this Post: