INDUSTRI PEMBEDAHAN PLASTIK DI KOREA SELATAN

INDUSTRI PEMBEDAHAN PLASTIK DI KOREA SELATAN

Korea dan pembedahan plastik sudah tidak asing lagi. Bahkan, negara tersebut mendapat gelaran “The Capital of Plastic Surgery”.

Menurut data yang dikeluarkan oleh International Society of Aesthetic Plastic Surgery pada tahun 2019, Korea Selatan adalah negara kelima di dunia dengan bilangan pakar bedah plastik tertinggi iaitu seramai 2,571 orang.

Permintaan tinggi

Di Korea Selatan, bilangan orang yang menjalani pembedahan plastik telah meningkat dengan pesat. Kajian yang berkaitan dengan pembedahan plastik juga telah meningkat dengan ketara.

Antara faktor utama yang menggalakkan masyarakat Korea melakukan pembedahan plastik adalah kerana terpengaruh dengan gelombang Korea atau dipanggil “Hallyu”.

Ramai artis K-drama dan K-pop terkenal tanpa segan silu mengaku kepada media bahawa mereka pernah melakukan pembedahan plastik.

Klinik-klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan pembedahan plastik juga mengambil kesempatan ini dengan mempromosikan perkhidmatan mereka menggunakan gambar-gambar artis berkenaan.

Gambar “sebelum dan selepas” pembedahan plastik dijalankan sudah menjadi bahan mandatori untuk memasarkan perkhidmatan mereka dalam bidang ini.

Dengan melihat perubahan pada wajah seseorang, daripada kurang cantik kepada wajah yang berbentuk lebih cantik sudah tentu berjaya menarik minat ramai orang untuk melakukan pembedahan plastik ini.

Iklan-iklan berbentuk poster gambar “sebelum dan selepas” pembedahan seperti ini juga kebanyakannya ditampal secara terbuka pada sistem pengangkutan awan Korea seperti di belakang tempat duduk bas, perhentian bas dan di stesen-stesen subway.

Tumpuan pasaran bidang ini menyasarkan golongan wanita berbanding lelaki.

Walau bagaimanapun, permintaan pembedahan plastik daripada kaum lelaki di Korea perlahan-lahan menunjukkan peningkatan terutamanya pembedahan melibatkan rahang untuk penampilan yang lebih maskulin.

Pengaruh artis dan selebriti serta sikap mementingkan pandangan orang terhadap diri mereka menjadikan masyarakat ini taasub terhadap penampilan fizikal.

Hasil satu tinjauan yang dijalankan oleh sebuah firma penyelidikan pasaran, 1 daripada 5 wanita berumur antara 19 ke 49 tahun di Seoul pernah melakukan sekurang-kurangnya satu atau lebih jenis pembedahan plastik.

Korea menduduki tempat pertama berdasarkan per kapita, dengan 13.5 operasi kosmetik dilakukan bagi setiap 1,000 orang.

Populariti industri pembedahan plastik di Korea Selatan bukan sahaja mendapat permintaan dalam kalangan rakyat tempatan, malah menjadi tumpuan pelancong dari negara-negara lain juga yang menjadikan negara itu tersenarai sebagai negara keenam teratas yang menawarkan rawatan pembedahan plastik.

Korean Tourism Organization (KTO) melaporkan seramai 90,404 orang pelancong asing datang ke Korea bagi tujuan melakukan pembedahan plastik pada tahun 2019.

Antara prosedur pembedahan plastik yang menjadi pilihan teratas termasuklah botox, pengurangan kedutan, suntikan fillers, pembesaran payudara dan punggung, pembedahan plastik muka, transplant rambut dan liposuction (procedure penyingkiran lemak).

Bagaimana sesuatu fasiliti yang menawarkan pembedahan plastik menjadi pilihan?

Fasiliti tersebut mesti mempunyai semua permit iaitu lesen untuk menyediakan perkhidmatan perubatan, pensijilan daripada organisasi kebangsaan seperti Kementerian Kesihatan dan organisasi transnasional seperti JCI.

Fasiliti yang mempunyai doktor dengan kelayakan, kemahiran serta kepakaran dan disahkan oleh lembaga pembedahan plastik.

Kedua, kakitangan perubatan perlu bersedia dengan sebarang senario perubatan yang mungkin memerlukan penggunaan peralatan resusitasi.

Seterusnya, sehari sebelum penilaian doktor, persediaan lengkap untuk pembedahan kosmetik perlu dijalankan.

Dan yang akhir, fasiliti mesti lengkap. kebanyakan pembedahan dilakukan semasa bius (anesthesia). Pelanggan perlu tinggal di fasiliti untuk beberapa hari bagi proses pemulihan memerlukan wad yang selesa dan penjagaan sepanjang tempoh pemulihan.

Selain kemahiran pakar dan teknologi moden dalam industri pembedahan plastik di Korea, negara ini menjadi tumpuan bagi industri ini kerana kos yang lebih rendah berbanding negara-negara lain seperti di Eropah dan Amerika.

Bagi kos transplant rambut, anggaran kos sekitar $3900 ke $8000, pembedahan kelopak mata sekitar $1000 ke $6600, pembesaran payudara $3,300 ke $20,700, liposuction $2,000 ke $24,500 dan facelift surgery $1,800 ke $14,000.

Hal ini kerana saingan fasiliti pembedahan plastik yang tumbuh bagaikan cendawan itu sendiri menawarkan kadar harga yang lebih rendah serta pakej-pakej yang menarik untuk pelanggan.

Tambahan lagi, The Republic of Korea's Ministry of Health and Welfare mengawal kos operasi kosmetik selaras dengan pendapatan median penduduk negara itu.

Industri pembedahan plastik di Korea sememangnya bukan rahsia lagi. Masyarakat tempatan sendiri berbangga dengan prosedur, kos dan hasil yang mereka perolehi daripada industri ini.

Malah KTO sendiri mengeluarkan cadangan beberapa fasiliti yang terkenal dan menjadi pilihan di Korea bagi panduan pelancong asing yang ingin melawat Korea bagi tujuan tersebut.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.researchgate.net/publication/282973825_A_Visual_Study_of_Plastic_Surgery_Advertising_in_South_Korea

https://icloudhospital.com/articles/popular-plastic-surgery-clinics-and-hospitals-in-korea

https://english.visitkorea.or.kr/enu/ATR/MK_ENG_4_2.jsp

Kredit foto: wsj.com

Share this Post: