India Lumpuh

India Lumpuh

Dalam waktu-waktu pandemik Covid-19 sekarang, negara India mulai menghiasi laporan berita dan perkongsian di media sosial saban hari. Jumlah kes jangkitan harian di India melonjak naik tanpa ada tanda untuk reda. Sehingga ke hari ini, India telah mencatatkan sebanyak lebih 22 juta kes keseluruhan, dengan lebih 246 ribu kematian. 

Pada permulaan tahun 2021, India kelihatan gagah dan yakin bahawa mereka mampu melawan virus berbahaya ini, terutama apabila mereka juga muncul sebagai antara negara yang menjadi pembekal vaksin Covid-19 kepada lebih 60 negara lain. Namun, tidak dijangka bahawa akan tiba detik di mana mereka terpaksa mula memohon bantuan luar untuk membantu membendung penyebaran virus ini. 

Di India, mereka kini telah kehilangan kapasiti untuk menyediakan katil bagi pesakit Covid-19 dek kerana lonjakan kes yang semakin menggila. Mereka berada di tahap yang sangat kritikal di mana pesakit terpaksa berkongsi katil dengan pesakit yang lain. Ini menunjukan tahap kegagalan mereka menguruskan pesakit akibat daripada kekurangan bekalan katil di fasiliti kesihatan. 

Bukan itu sahaja, tular di media sosial video yang menunjulkan pula beberapa mayat yang telah dibungkus hanya ditinggalkan di atas katil yang masih menempatkan pesakit lain yang sedang dirawat. Senario ini menjadi bukti tahap kelumpuhan India bukan sahaja dari segi merawat pesakit yang hidup tapi juga menguruskan mayat pesakit Covid-19. 

Fasiliti kesihatan India sudah tidak mampu untuk memenuhi kehendak pesakit yang memerlukan bantuan oksigen. Akibat daripada kekurangan ini, banyak pesakit Covid-19 yang gagal bertahan dan seterusnya menghembuskan nafas mereka yang terakhir. Dan ini meningkatkan lagi kumulatif kematian akibat Covid-19 di India. 

Tidak lupa juga dengan tragedi dahsyat yang berlaku di Hospital Dr Zakir Naik di mana 22 pesakit Covid-19 maut selepas terputus bekalan oksigen. Kebocoran selama 30 minit itu telah menyebabkan bekalan oksigen yang disalurkan kepada 60 ventilator pesakit kritikal terputus.

Dengan jumlah kematian di India yang makin melonjak naik, banyak mayat mangsa Covid-19 kelihatan bergelimpangan di luar pusat pembakaran ataupun jalan raya sementara menunggu giliran untuk dibakar. Pusat pembakaran mayat di India kini sudah semakin tenat kerana mereka telah beroperasi melebihi kemampuan dan kapasiti mereka. 

Pasti ramai yang hairan, bagaimana negara yang berada di ambang kemenangan tiba-tiba lumpuh dengan begitu teruk sekali? Tidak lain adalah akibat kealpaan rakyat dan juga pemimpin di India itu sendiri. Mereka gagal menitik beratkan langkah pencegahan di kalangan rakyat dalam usaha mencegah penyebaran virus berbahaya ini. 

India membenarkan perhimpunan besar-besaran di tempat awam termasuk aktiviti politik, keagamaan, sosial dan juga sukan. Sebagai contoh, aktiviti keagamaan Kumbh Mela yang diadakan sejak Mac menyaksikan jutaan penganut Hindu di India berkumpul dan mandi di Sungai Gangga. Dengan aktiviti ini, sudah pasti tiada penjarakan yang di amalkan dan natijahnya ribuan telah disahkan positif selepas ujian dijalankan di kawasan perayaan tersebut. 

Bukan itu sahaja, pilihan raya juga dibenarkan di India di kala masa yang sangat getir ini. Jutaan rakyat di India telah keluar mengundi tanpa menghiraukan fakta kes jangkitan dan kematian yang makin meningkat di India. Semasa pilihan raya dijalankan, rakyat India gagal mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka seperti yang dikehendaki. Tingkah laku ini seolah-olah mengalukan-alukan lagi kedatangan Covid di kalangan mereka. 

Biarpun India telah dilandai badai Covid-19 yang dasyat, kerajaan India masih lagi enggan melaksanakan perintah berkurung kerana khuatir ia mampu menjejaskan ekonomi negara mereka. Barangkali mereka masih lagi trauma akan kerosakan ekonomi akibat daripada perintah berkurung kali pertama pada awal kemunculan Covid-19 tahun lalu. 

Namun melihat kepada kondisi semasa, perintah berkurung adalah yang sewajarnya dilakukan supaya rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan. Memang diakui ekonomi negara mereka akan terkesan yang dengan lebih dahsyat, namun demi kesejahteraan negara itu sendiri, ia haruslah dipertimbangkan. 

Akhir kata, melihat kepada keadaan semasa India pada masa kini, ramai negara yang menjadikan India sebagai pengajaran. Mereka mula membandingkan senario di India dan memperketatkan SOP yang sedia ada supaya perkara yang sama tidak berlaku pada negara mereka. Ini adalah salah satu langkah berjaga-jaga yang harus dititikberatkan oleh semua negara yang masih lagi berjuang dengan virus Covid-19.  Anyhow, it is better late than never!

Hazlina Halik adalah seorang ambivert yang mempunyai lulusan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dan kini bekerja dalam industri pembuatan.

Foto: Anindito Mukherjee / Getty Images

Share this Post: