Keluarga merupakan unit kecil yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak. Lazimnya ibu bapa digelar sebagai acuan kepada anak-anak kerana mereka merupakan individu pertama yang berpeluang mencorak dan membentuk sahsiah diri kanak-kanak tersebut.
Setiap ibu bapa pastinya inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka tanpa mereka sedari bahawa sesuatu yang difikirkan baik untuk anak-anak tidak semestinya yang terbaik. Ibu bapa seharusnya membuat lebih banyak pembacaan mengenai cara mendidik anak agar mereka tahu cara yang betul dalam mendidik anak tanpa melibatkan emosi dan pandangan mereka semata-mata.
Terdapat empat gaya keibubapaan yang secara langsung dan tidak langsung dapat mempengaruhi perkembangan diri anak-anak. Gaya ibu bapa dalam berinteraksi dan mendidik anak-anak dapat mempengaruhi bukan sahaja tingkah laku anak-anak, malah daya kognitif dan emosi anak tersebut turut terkesan.
Gaya keibubapaan yang pertama adalah gaya permisif. Gaya ini melibatkan ibu bapa yang langsung tidak kisah dengan semua hal yang melibatkan anak mereka. Golongan ibu bapa ini terlalu memanjakan anak-anak tanpa mengambil kira perkara tersebut baik mahupun tidak terhadap perkembangan anak mereka.
Ibu bapa yang memanjakan anak-anak seringkali memberi kebebasan yang melampau terhadap anak mereka. Golongan ibu bapa ini tidak menetapkan sebarang peraturan asas yang perlu dipatuhi dan sekiranya terdapat peraturan yang ditetapkan, ianya tidak selaras dan tidak ditegaskan untuk dipatuhi.
Meskipun demikian, golongan ibu bapa ini terlepas pandang bahawa terlalu memanjakan anak akan membentuk anak yang mempunyai kemahiran sosial yang rendah. Mereka juga berisiko tinggi untuk terlibat dengan gangguan seksual kerana pergaulan bebas yang diamalkan.
Seterusnya, gaya keibubapaan kedua adalah gaya keibubapaan pengabaian. Gaya ini sangat kontra berbanding gaya keibubapaan permisif kerana ibu bapa ini tidak langsung berminat untuk mengetahui tentang perkembangan anak mereka. Ibu bapa ini tidak memberikan kasih sayang dan mengabaikan anak-anak sepanjang mereka membesar.
Golongan ibu bapa ini terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan kebajikan anak mereka. Terdapat juga ibu bapa yang memang sengaja menjauhi anak mereka. Pengabaian ini boleh dikategorikan sebagai penderaan terhadap anak-anak kerana mereka dibiarkan tidak makan, minum, tidak diberi pakaian mahupun tempat tinggal.
Anak-anak yang diabai sepenuhnya oleh ibu bapa akan bercenderung untuk terlibat dengan jenayah seperti menyertai kongsi gelap kerana inginkan perlindungan. Mereka mempunyai rasa simpati dan empati yang terlalu rendah kerana tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa. Mereka juga cenderung untuk melakukan keganasan kerana tidak mempunyai rasa bertanggungjawab mahupun rasa bersalah atas tindakan mereka.
Gaya keibubapaan yang ketiga adalah gaya keibubapaan authoritarian. Gaya keibubapaan ini pula terlalu mengawal anak mereka melebihi batasnya. Golongan ibu bapa ini akan menetapkan terlalu banyak peraturan dan peraturan tersebut haruslah dipatuhi. Sekiranya gagal mematuhi peraturan tersebut, anak-anak akan dihukum.
Golongan ibu bapa ini juga mendidik anak mereka dengan menghukum sekiranya melakukan kesalahan. Komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak adalah sehala di mana hanya ibu bapa yang bersuara tanpa mengambil kira pendapat mahupun perasaan anak mereka. Ibu bapa terlalu mengawal anak mereka dan memaksa anak tersebut untuk menuruti perkara yang telah diperintahkan.
Anak-anak yang dibesarkan oleh golongan ibu bapa authoritarian sering terganggu emosinya kerana tertekan dan terpaksa melakukan semua perkara tanpa mengambil kira minat serta pandangan diri mereka sendiri. Anak-anak ini berisiko tinggi untuk memberontak dan terlibat dalam kegiatan membuli semata-mata ingin rasa mempunyai kuasa dan kebebasan.
Gaya keibubapaan yang terakhir adalah gaya keibubapaan autoritatif. Gaya ini adalah paling rasional dan sepatutnya menjadi panduan bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Golongan ibu bapa yang mengamalkan gaya autoritatif ini lebih bersifat fleksible namun tegas terhadap anak-anak mereka.
Komunikasi yang berlaku antara ibu bapa dan anak-anak adalah dua hala di mana ibu bapa akan berbincang bersama anak-anak dalam perkara yang melibatkan anak tersebut. Sebarang keputusan adalah persetujuan bersama. Ibu bapa golongan ini juga akan menerangkan kesalahan anak tersebut berbanding terus menghukum mereka dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan hanya diberikan sekiranya perlu.
Anak-anak yang dibesarkan oleh golongan ibu bapa autoritatif ini akan mempunyai kemahiran sosial yang tinggi kerana mereka dibesarkan di dalam persekitaran yang baik dan tidak tegang. Anak-anak tersebut lebih cenderung untuk berbincang dan menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul berbanding menimbulkan ketegangan bagi sesuatu masalah. Anak-anak ini juga akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta disenangi oleh orang sekeliling mereka.
Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah menjadi acuan pertama yang terbaik untuk membentuk perkembangan sahsiah dan pencapaian mereka. Anak-anak ibarat kain putih, jika tersilap langkah, maka kotorlah kain yang putih suci itu.
Nurasyiqin Khidir Neoh adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Sains Gunaan (Kimia Analisis) dari Universiti Sains Malaysia.
Foto hiasan ihsan Shutterstock
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.