Ibrahim Yaacob, Nasionalisme Melayu dan Politik Kiri

Ibrahim Yaacob, Nasionalisme Melayu dan Politik Kiri

Menghadapi tekanan ekonomi dan sosial yang meningkat akibat tuntutan populasi abad ke-20, sekelompok kecil kaum Melayu yang berpendidikan mengambil jalan politik yang berbeza daripada golongan majoriti dalam mencari jalan penyelesaian – jalan yang membentuk inti parti politik sayap kiri. Ibrahim Haji Yaacob dilahirkan di Tanjung Kertau, Chenor, Temerloh, Pahang pada 27 November 1910. Beliau merupakan seorang Melayu berketurunan Bugis Sulawesi Selatan. Ibu bapanya berpindah dari Singapura ke Riau, kemudian ke Temerloh. Haji Yaacob, ayah kepada Ibrahim, merupakan seorang guru dan tokoh agama yang terkenal, manakala ibunya, Hawa binti Hussein merupakan seorang suri rumah. Ibu bapanya berpisah ketika beliau berusia dua tahun, dan beliau dibesarkan oleh ibunya dalam persekitaran yang sederhana. Di Tanjung Kertau, beliau mendapat pendidikan awalnya di sekolah Melayu. Beliau kemudiannya ditawar untuk menjadi guru pelatih di Kolej Latihan Sultan Idris (SITC – kini UPSI, Universiti Pendidikan Sultan Idris) pada tahun 1928, dan ketika itulah beliau pertama kali didedahkan dengan gerakan nasionalisme. Seperti yang dicatatkan oleh Rustam A. Sani, SITC sememangnya menjadi lubuk idea nasionalisme kerana ia merupakan pusat golongan terpelajar awal di Malaya.

Sewaktu menuntut di SITC, Ibrahim Yaacob telah membangkitkan semangat nasionalisme yang kuat dalam dirinya. Para penuntut  di SITC sememangnya berminat dengan politik, nasionalisme, dan peristiwa semasa di dalam dan di luar negara. Sebagai kelompok terpelajar, kecaknaan mereka ditingkatkan lagi dengan suasana ilmiah dan aktivisme. Pertempuran rakyat Indonesia menentang penjajah Belanda juga telah memotivasikan lagi ramai guru pelatih di SITC. Ibrahim Yaacob juga merupakan pemimpin pelajar sewaktu zaman belajarnya. Ketika beliau tamat pengajian, beliau telah benar-benar menjiwai idea nasionalisme yang bakal mencorakkan perjalanan hidupnya. Revolusi dan evolusi idea beliau dapat dilihat dalam penulisan artikel di muka-muka akhbar dan majalah yang ditulisnya. Terkesan dengan pengaruh nasionalisme Indonesia, beliau terdidik secara idea dan semangat sebagai seorang anti-kolonial dan anti-British. Beliau bersetuju dengan pandangan Ishak bin Haji Muhammad, rakan baiknya yang melihat bangsa Inggeris sebagai bangsa yang tamak.

Pembentukan Partai Nasional Indonesia (PNI) pada tahun 1927 yang dipimpin oleh Sukarno telah mencetuskan cita-cita politik revolusioner. Gesaan PNI untuk penyegeraan kemerdekaan telah mengembangkan gerakan Pan-Indonesia yang baru muncul ini ke Malaya. Gerakan ini yakin bahawa Malaya adalah milik Indonesia dan penduduk di Malaya juga ada yang menyertai PNI yang berpusat di Bandung sebagai anggota luar negeri. Sewaktu perpecahan PNI pada tahun 1931 berikutan penangkapan Sukarno dan pemimpin parti lain, penyokong PNI di Malaya itu telah bergerak secara sulit. Mereka membataskan operasi mereka melalui hanya pengedaran risalah politik tulisan Indonesia dan mengadakan sesi perbincangan bersama pemimpin pemberontakan yang melarikan diri ke Malaya. Antaranya ialah Tan Malaka, Sultan Jenain, Alimin, Budiman dan Djamaluddin Tamin.

Di antara tahun 1929 dan 1930, dua organisasi yang bermotifkan politik dibentuk secara haram menunjukkan wujudnya semangat nasionalisme yang subur dan kuat dalam kalangan penuntut SITC. Dua organisasi tersebut ialah Ikatan Semenanjung Borneo (ISB) atau menurut catatan W. R. Roff juga disebut sebagai Belia Malaya, yang mana keanggotannya termasuk Ibrahim Yaacob, Muhammad Isa Mahmud, Yaakub Muhd. Amin, dan Hassan Haji Manan. Kekuaatan Belia Malaya dianggarkan sekitar seramai 35 anggota. Organisasi-organisasi ini mempunyai hubungan secara rahsia bersama beberapa organisasi politik di Indonesia. PNI yang ditubuhkan Sokarno adalah salah satunya, sebelum ia terpecah seperti yang telah dinyatakan. Selain daripada menawarkan khidmat bimbingan, rangsangan, dan dukungan, PNI juga berfungsi sebagai pendorong bagi organisasi-organisasi pemuda di Malaya. Pemerintah Inggeris yang telah menyaksikan kegiatan politik di SITC berusaha sedaya upaya untuk menghentikannya dan menyerakkan kekuatan pergerakan ini. Hasilnya, setelah menamatkan pengajiannya pada tahun 1931, Ibrahim ditugaskan dan dihantar untuk mengajar di Bentong. Antara penglibatannya ketika ini ialah beliau pernah menjadi ahli Kelab Melayu Bentong sepanjang ditugaskan di sana.

Pada 1931, aliran politik Melayu telah berpecah kepada dua arah yang berbeza. Satunya adalah gerakan kanan, yang dipimpin oleh kelas menengah dan atasan yang berpendidikan Inggeris dan berpusat pada prinsip “Tanah Melayu untuk orang Melayu”. Manakala dalam gerakan nasionalisme berhaluan kiri, mereka berkempen untuk menuntut pembebasan bagi semua orang yang ditindas di Malaya. Organisasi ini juga bercita-cita untuk menyatukan semua orang Melayu dan Indonesia di Nusantara dan mewujudkan Melayu Raya atau Indonesia Raya.

Semangat nasionalisme Ibrahim Yaacob terus menyala walaupun penempatannya sebagai guru desa di Bentong tidaklah kondusif untuk kegiatan politik. Walau bagaimanapun, beliau terus menyumbang melalui penulisannya kepada akhbar-akhbar di Kuala Lumpur dan Singapura seperti Majlis dan Warta Malaya. Ibu pejabat Belia Malaya juga kemudiannya dipindahkan ke Bentong. Pada waktu yang sama, Ibrahim Yaacob mendapat sokongan besar dari Ishak Mahmud, Timbalan Pembantu Pegawai Daerah Bentong pada waktu itu. Walau bagaimanapun, pemerintah Inggeris berjaya mengesan pergerakan mereka sekali lagi dan pada 1935, Ibrahim Yaacob ditugaskan pula di Pusat Latihan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu di Jalan Gurney Kuala Lumpur sebagai guru Bahasa Inggeris. Ketika ini, beliau masih berkeras untuk menulis berkenaan politik dan mempertahankan kepentingan orang Melayu. Ini menimbulkan pertengkaran antara beliau dan Komandan Depot Polis, Encik JD Hussey yang berakhir dengan peletakkan jawatannya pada November 1936, atas permintaannya sendiri.

Ibrahim Yaacob dengan cepatnya diterima sebagai wartawan sepenuh masa di  syarikat penerbitan Majlis berkat hubungan baiknya dengan Lembaga Pengarang Majlis. Pada bulan Mei 1936, Ibrahim dinaikkan pangkat menjadi Pembantu Editor, dan kepada Editor pada tahun berikutnya. Ibrahim Yaacob telah memanfaatkan akhbar sebagai wadah untuknya mengungkapkan pemikiran dan pemikiran nasionalismenya secara terbuka semasa memegang jawatan tersebut.

Ibrahim Yaacob dan Ishak Haji Muhammad kemudiannya bersama menjadi anggota Persatuan Melayu Selangor yang bersifat konservatif pada tahun 1938. Namun mereka memilih untuk meninggalkan organisasi tersebut kerana mereka jijik akan hubungan yang terus dijalin oleh Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai Melayu dengan pemerintah kolonial. Kumpulan ini menjadi lebih tebal kerana membincangkan masyarakat Melayu dan intipati parokialisme.

Organisasi ini tidak membenarkan orang Melayu yang bukan penduduk tempatan Selangor menyertainya – cirinya yang terjalin dengan sifat feudal dan Raja di negeri tersebut sahaja. Bukan hanya itu, malah orang Melayu dari Jawa, Sumatera, Sulawesi, dan pulau-pulau Indonesia lainnya, serta orang Melayu yang terdiri daripada etnik campuran juga tidak dibenarkan untuk menyertai organisasi ini. Ibrahim Yaacob, Ishak, dan sekumpulan rakannya akhirnya menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada April 1938 di Kuala Lumpur sebagai tindak balas kepada kekurangan yang ada dalam Persatuan Melayu Negeri. Hasan Manan, A. Karim Rashid, dan Isa Mohammad, yang semuanya merupakan imigran Indonesia generasi pertama, juga merupakan pengasas bersama KMM. Wartawan dan pelajar dari Kolej Pertanian Serdang dan Kolej Teknikal Kuala Lumpur telah membentuk majoriti dalam organisasi ini.

Hassan Haji Manan telah menjadi tuan rumah mesyuarat penubuhan KMM di kediaman beliau. Anggota mesyuarat telah bersetuju dengan usul Hassan Haji Manan, yang disokong oleh Abdul Karim Rashid, untuk mencalonkan Ibrahim Yaacob sebagai Presiden KMM. Mustapha Hussain pula dilantik sebagai Naib Presiden atas cadangan Sulung bin Chik dan disokong oleh Bahar bin Abik. Para belia nasionalis KMM berkehendak agar organisasi itu mengikuti jejak langkah gerakan Young Turks seperti di Turki. Hal ini menyebabkan mereka menamakan kumpulan ini sebagai Kesatuan dan memilih istilah Muda (Young) yang bermaksud sesiapa sahaja, muda atau tua, selagi mereka muda di hati, dipersilakan untuk menyertai kesatuan ini.

Ibrahim Yaacob menunjukkan bagaimana orang muda itu, yang datang dari kelompok terpelajar, mempunyai tanggungjawab besar dalam urusan politik. Beliau mengajar kita bagaimana jiwa yang kental tidak akan tergugat akan kecaman sepertimana kentalnya beliau walaupun dipindahkan ke sana sini. Mengapa orang muda? Kerana – seperti mana Ibrahim Yaacob ketika itu – kita yang akan mewarisi perjuangan bangsa.

Najwan Arief ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau gemar menonton siri di Netflix dan merupakan peminat hardcore Eurovision.

Foto: Facebook IBHY

Share this Post: