Hypothermia adalah istilah yang digunakan bagi menggambarkan keadaan suhu badan menjadi terlalu rendah.
Berapakah suhu badan yang diklasifikasikan sebagai terlalu rendah?
Suhu badan normal manusia adalah sekitar 37 ºC. Kebiasaannya 36.5 ºC hingga 37.2 ºC. Jika lebih daripada 37.2 ºC, seseorang dikatakan mengalami demam. Bagaimana pula jika kurang daripada julat normal tersebut?
Jika suhu badan jatuh sehingga ke bacaan di bawah 35 ºC, keadaan itu dipanggil hypothermia.
Bagaimana hypothermia boleh berlaku?
Hypothermia kebiasaannya terjadi apabila seseorang terdedah pada suhu sejuk ekstrem dalam jangka masa yang panjang.
Badan manusia mempunyai mekanisme bagi menghasilkan haba sendiri, iaitu melalui proses metabolik dan pergerakan otot. Jika seseorang terdedah kepada suhu sejuk dalam jangka masa yang panjang, badan boleh kehilangan haba lebih cepat berbanding menghasilkan haba.
Antara keadaan yang boleh menyebabkan seseorang terkena hypothermia adalah berpakaian nipis ketika keluar pada musim sejuk, berpakaian basah seperti berada di bawah curahan hujan dalam masa yang lama, bayi yang tidur dalam bilik yang terlalu sejuk dan berada di dalam air terlalu lama.
Masih ingatkah kita tentang tragedi Titanic 1912? Tragedi tenggelamnya sebuah kapal yang gah pada zaman itu, sebuah kapal yang diberi nama Titanic akibat perlanggarannya dengan ketulan ais gergasi (iceberg). Tragedi tersebut menjadi sangat terkenal apatah lagi selepas difilemkan menjadi sebuah kisah cinta yang romantis.
Daripada 2,223 orang penumpang dan anak kapal yang terlibat, hanya 706 individu sahaja yang terselamat dan dikatakan seramai 1517 individu mati akibat lemas.
Namun, tahukah anda fakta sebenar penyebab utama kematian majoriti daripada mereka bukanlah akibat lemas, tetapi hypothermia.
Titanic tenggelam ketika dalam pelayarannya melalui selatan Grand Banks di Newfoundland, Kanada. Suhu air laut ketika itu mencecah -2 ºC.
Tubuh manusia lebih cepat kehilangan haba di dalam air berbanding di darat. Seseorang lebih mudah terkena hypothermia jika berada di dalam air berbanding berada di darat meskipun berada pada suhu yang sama.
Dalam suhu begini, masa untuk terus bertahan hidup atau survival time adalah dianggarkan tidak lebih dari 45 minit dan mangsa yang berada dalam kedinginan air sebegitu hanya mengambil masa kurang 15 minit sahaja untuk tidak sedarkan diri.
Apakah yang akan dialami oleh seseorang yang berada dalam keadaan hypothermia?
Antara simptomnya ialah menggeletar kesejukan, pening, percakapan yang tidak teratur, terjejas kawalan otot iaitu sukar untuk bergerak, celaru fikiran, hilang ingatan dan hilang kesedaran.
Jika berlaku dalam kalangan bayi pula, perhatikan simptom jika bayi kelihatan sangat lemah tidak langsung bertenaga dan kulit menjadi merah serta suhu badan sangat sejuk apabila disentuh.
Bagi mangsa Titanic yang berada pada permukaan laut ketika itu, mereka yang mengalami gejala hypothermia tidak lagi mampu untuk bergerak, apatah lagi berenang atau mengerumuni bot penyelamat. Bahkan tidak lagi mampu menjerit meminta pertolongan.
Hypothermia adalah satu keadaan yang dipanggil kecemasan perubatan. Jika seseorang disyaki mengalami hypothermia, atau suhu badannya menunjukkan bacaan di bawah 35 ºC, segera dapatkan bantuan kecemasan.
Dalam masa yang sama, cuba lakukan beberapa langkah bagi menghangatkan badan mangsa seperti menanggalkan pakaian yang basah pada badan mangsa jika ada, membawa mangsa ke tempat yang lebih hangat, selimuti badan mangsa dan memberi minum minuman panas juga turut membantu.
Mangsa yang mengalami hypothermia tahap serius berkemungkinan tidak sedarkan diri atau nafas terhenti. Dalam kes ini, lakukan bantuan pernafasan atau CPR dengan kadar segera.
Terdapat mangsa hypothermia yang terhenti nafas, kelihatan pucat seperti sudah tidak bernyawa yang berjaya diselamatkan selepas dilakukan prosedur CPR untuk beberapa minit.
“You’re not dead until you’re warm and dead.”
Siapa yang berisiko terkena hypothermia?
Golongan yang kerap berada di luar pada musim sejuk dalam jangka masa yang panjang. Dalam kes ini, tentulah gelandangan juga termasuk dalam golongan berisiko tinggi.
Para pengembara terutamanya mereka yang gemar akan aktiviti mendaki gunung.
Bayi yang tidur dalam bilik dengan suhu yang sangat dingin.
Golongan kurang berkemampuan yang tidak mampu memiliki pakaian tebal pada musim sejuk.
Apakah langkah pencegahan atau keselamatan yang boleh diambil?
Elakkan berada di luar terlalu lama pada musim sejuk dan pastikan berpakaian tebal ketika berada di luar. Pastikan juga suhu bilik tidur anda atau bayi tidak terlalu sejuk dan bantu golongan kurang berkemampuan untuk menyediakan pakaian tebal pada musim sejuk.
Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi
Rujukan:
https://www.cdc.gov/disasters/winter/staysafe/hypothermia.html
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hypothermia/symptoms-causes
Kredit foto: studentedge.org
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.