Penghijrahan bakat-bakat tempatan ini bukan lagi fenomena baru di negara kita, ia sudah dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin, aktivis-aktivis, dan rakyat negara ini sejak bertahun-tahun lamanya. Persoalannya, mahukah mereka pulang?
Terdapat beberapa sebab yang boleh kita renung akan terjadinya penghijrahan bakat-bakat tempatan ini.
Gaji Permulaan Graduan Rendah
Tahun 2019, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan gaji permulaan siswazah baharu di negara ini merosot sejak 2010. Perkembangan berterusan ini ‘secara terang lagi bersuluh’ bahawa pendidikan tidak lagi membawa sebarang ‘nilai premium’ kepada seseorang siswazah di negara ini.
Alih-alih siswazah-siswazah ini memilih untuk berhijrah ke luar negara demi mendapatkan gaji yang setimpal dengan kelayakan akademik mereka. Lebih tragis lagi apabila berlakunya ‘brain drain’ dimana terdapat siswazah yang memiliki ijazah dan sarjana yang terpaksa bekerja sebagai operator pengeluaran atau pekerja buruh kerana desakan untuk menampung perbelanjaan mereka.
Sebagai contoh, negara pernah digemparkan dengan berita seorang anak watan yang memiliki ijazah bekerja sebagai pemungut sampah di Singapura dan memperolehi pendapatan lumayan. Kenapa harus jadi begini jika Malaysia mampu menyediakan platfom untuk beliau menyumbang kepada negara dengan bayaran sedemikian?
Teringat akan seorang tukang cuci di syarikat lama salah seorang responden yang ditemubual bekerja. Tukang cuci tersebut berasal dari Nepal dan mempunyai PhD dalam bidang farmasi. Semasa pasukan pengkaji responden sedang menganalisa journal kajian untuk peranti perubatan dan keliru dengan terma, beliau yang sedang mop lantai datang dan memberikan pencerahan. Dari situ mereka dapat tahu bahawa beliau yang berjawatan ‘tukang cuci’ tersebut bukan calang-calang orang. Setakat ini tidak pernah dengar lagi PhD dari Malaysia bekerja buruh kasar di luar negara, tetapi, hal ini tidak mustahil untuk terjadi bukan?
Pilih Bulu dalam Sistem Pendidikan
Kepayahan untuk memperolehi biasiswa dan sifat ‘pilih bulu’ terhadap sesuatu kaum adalah punca utama berlakunya penghijrahan ini.
Terdapat beberapa negara luar yang menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar antarabangsa dan menetapkan kriteria linguistik sebagai contoh Jepun, Jerman, Taiwan, Arab Saudi dan Singapura.
Jerman adalah salah satu daripada beberapa negara di Eropah di mana anda boleh belajar secara percuma, walaupun anda berasal dari benua lain termasuk Asia. Orang Jerman umumnya percaya bahawa pendidikan tidak boleh dianggap sebagai produk komersial, dan akses percuma ke pendidikan tinggi akan memacu kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan bagi penduduk.
Irfan Zaif, berhijrah ke Jerman untuk bekerja di sektor kejuruteraan dan telah melanjutkan pengajian Sarjana di Universiti Teknikal Munich (TUM). Beliau mendapat pendidikan secara percuma di universiti tersebut setelah melepasi kelayakan linguistik Jerman untuk pelajar antarabangsa.
Terdapat pelbagai jenis biasiswa ditawarkan oleh negara-negara luar kepada para pelajar antarabangsa contohnya biasiswa Inggeris (Cambridge dan Oxford, Chavening), Kanada (British Columbia), Australia (Melbourne dan Adelaide), Amerika Syarikat (Fulbright), Japan (Freeman Award) dan banyak lagi. Kriteria ini tidak memandang kaum, etnik mahupun agama serta diberikan kepada sesiapa sahaja yang layak.
Kepakaran dan Inovasi Tempatan Tidak Diiktiraf
Sedar atau tidak, di negara kita produk inovasi amat sukar untuk diketengahkan. Melalui pengalaman salah seorang responden yang bekerja hampir sembilan tahun dalam industri, peranti perubatan yang terhasil melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu melalui proses yang sangat panjang.
Ia bermula dengan proses carian paten (patent search) yang mengambil masa berbulan-bulan, seterusnya menunggu tempoh lama untuk jabatan kerajaan menentukan dan memastikan produk menepati piawaian, dan bermacam lagi badan-badan yang memerlukan penyelidik untuk menjadi ‘penunggu’ semata-mata untuk mendapatkan kelulusan.
Bukan rekaan, rata-rata alasan yang diberi ialah ‘maaf pengarah sedang bercuti’ atau ‘maaf pegawai bertugas di luar kawasan’ menyebabkan kertas kerja yang dihantar tidak dapat diproses. Peranti perubatan yang dihasilkan sudah terbukti masih tidak terdapat di seluruh dunia hasil carian paten dan Malaysia merupakan negara yang pertama menghasilkan peranti sedemikian. Nak tahu apa terjadi seterusnya?
Angkara terpaksa melalui proses yang maha panjang ini, peranti perubatan yang sama fungsi telah dihasilkan oleh Amerika Syarikat dengan tambahan teknologi yang lebih canggih. Natijahnya, produk yang di hasilkan oleh rakyat kita akhirnya ke tong sampah. ‘Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua’.
Sebahagian pakar-pakar pengkaji dan penyelidik tempatan yang bijaksana ini menyatakan adalah lebih baik mereka berhijrah dan berkolaborasi dengan syarikat-syarikat dari negara-negara maju untuk mengetengahkan idea dan kepakaran mereka kerana sudah pasti negara-negara maju seperti ini sangat mengalu-alukan teknologi dan inovasi serta mempunyai pasaran global.
Terdapat pelbagai lagi sebab penghijrahan rakyat Malaysia yang saya kumpulkan antaranya perkembangan dan adaptasi teknologi yang perlahan, harga rumah yang tinggi serta tidak berpadanan dengan pendapatan rakyat, isu diskriminasi bangsa atau kaum, isu rasuah yang semakin parah, serta ketidakstabilan politik di Malaysia yang saban hari penuh dengan isu-isu berkaitan agama, kaum dan etnik berbeza di negara ini. Perhatikan sahaja setiap hari di media-media sosial ada. Antara isu utama yang akan dimainkan adalah isu agama dan kaum.
Masih ingatkah kata-kata seorang pemimpin, ‘Rakyat boleh berambus’ dari Malaysia jika tidak suka atau berpuas hati dengan sistem di negara ini. Jadi tidak salahlah tindakan mereka yang ‘tidak berpuas hati’ ini untuk mencari platfom yang lebih baik di negara luar. Bukan begitu? - ALTERNATIF
*Artikel ini telah dihasilkan melalui beberapa sesi temubual dengan turut dibantu oleh salah seorang lulusan Sarjana Kejuruteraan Mekatronik dari Malaysia yang kini menetap di Jerman. Berhijrah pada tahun 2015 dan kini bekerja di sebuah syarikat elektronik di Stuttgart, Jerman sebagai ‘Asian Hub Representative’.
Foto: BERNAMA
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.