Hilarion Capucci: Archbishop Kristian Sang Pejuang Palestin (Bhg 2)

Hilarion Capucci: Archbishop Kristian Sang Pejuang Palestin (Bhg 2)

Perbicaraan kes Capucci kerana tuduhan menyeludup senjata untuk diberikan kepada pejuang PLO melawan penjajah Israel bermula pada 20 September 1974. 

Pada sesi perbicaraan pertama, Capucci menyebut:

“Aku tak menerima perbicaraan ini dan kuasa kamu, kerana kini (Palestin) di bawah penjajahan. Undang-undang kamu tidak terpakai kepada aku, kerana kamu semua adalah penjajah!”. 

Sambungnya, “ucapan aku pada hari ini adalah buat rakyat Palestin (bukan buat kamu), yang ingin tahu kenapa aku melakukan apa yang aku lakukan. Aku tak peduli apa pun keputusan mahkamah ini.”

Perbicaraan ini berlanjutan sehingga 35 sesi. Hujah peguam Capucci berpusat kepada isu mahkamah yang didirikan oleh Israel sebagai penjajah, tidak terpakai dan diterima. Capucci kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun.

Di dalam penjara beliau terus didera dan dimalukan. Beliau dihalang bersembahyang dan tidak dibenarkan memiliki buku agama. Beliau beberapa kali melakukan mogok lapar atas tindakan Israel keatasnya.

Di luar besi penjara, pihak Vatican telah melakukan beberapa siri negosiasi dengan Israel, agar Capucci dibebaskan. Israel bersetuju namun dengan syarat; Capucci perlu meninggalkan Palestin, dikenakan tahanan rumah, dan tidak pulang ke Palestin, atau mana-mana negara Arab, terutamanya yang bersempadan dengan Palestin.

Selepas hampir 4 tahun dalam penjara, dan selepas proses negosiasi pajang, Capucci dibebaskan. Namun Israel meletak syarat agar beliau dibebaskan pada malam hari, tanpa kehadiran media, dan dihantar terus ke Vatican.

Sudah tentu syarat-syarat ini, termasuk meninggalkan Jerusalem tidak dipersetujui Capucci, namun wakil yang bernegosiasi telah bersetuju dengan Israel, dan Capucci tidak tahu isi kandungan perjanjian.

Ketika bertemu dengan teman-teman kemudiannya, beliau menyebutkan bahawa dalam penjara adalah masa terbaik dalam hidupnya. Padanya, masa di penjara adalah lanjutan dari apa yang beliau sebutkan dalam ceramahnya kepada orang ramai.

Di Vatican, atas arahan pihak tertinggi, beliau tidak memberikan sebarang temubual kepada pemberita, walaupun sering diekori oleh wartawan untuk mendapatkan jawapan beliau. Beliau juga tidak terlibat dengan sebarang aktiviti politik.

Selepas beberapa ketika, beliau meninggalkan Vatican, dan dihantar ke Amerika Latin untuk meneruskan kerja beliau sebagai Archbishop di sana. “Aku dihantar ke Venezuala, kemudian ke Brazil dan Argentina. Walaupun aku disanjung dan dihormati di sana, hatiku terus rindu kepada Jerusalem, dan jalan-jalannya. Aku meninggalkan penjara yang kecil, untuk masuk kedalam penjara yang lebih besar”. 

Namun hanya selepas beberapa bulan, Capucci telah melanggar perjanjian untuk tidak melawat negara Arab. Beliau telah hadir ke Syria bagi menyertai sebuah persidangan antarabangsa untuk Palestin, atas jemputan Yesser Arafat.

Di Damascus, Syria, beliau diberikan sambutan hangat. Malah persidangan itu tidak dilancarkan oleh Yasser Arafat, sebagai pemimpin PLO, atau pimpinan negara Syria, tetapi telah diberikan kepada Hilarion Capucci. Sebagai penghormatan kepada beliau. Selepas persidangan ini, Capucci telah melanggar perjanjian berkali-kali, termasuk terbang ke Beirut dan Aleppo.

Setiap kali beliau melanggar perjanjian dan terbang ke negara Arab, beliau akan ditegur oleh pihak Vatican. Namun beliau tidak mengendahkan kerana beranggapan, perjanjian itu tidak dibuat oleh beliau, tetapi pihak Vatican dan Israel. Beliau bersedia untuk dilucutkan tugasnya sebagai Archbishop.

Sepanjang tempoh ini, Capucci telah terlibat dengan banyak acara penting. Beliau terlibat dalam proses negosiasi bagi membebaskan tebusan, termasuk di Iran dan Iraq dan beroleh beberapa kejayaan. 

Namun aktiviti utama beliau tetap dalam usaha membebaskan Palestin, dan menjadi perantara antara Vatican dan PLO. Beliau telah terlibat dengan banyak protes bagi pembebasan Palestin, dan menjadi sumber rujukan delegasi Eropah untuk isu Palestin di Vatican.

Pada 2009, beliau terlibat dalam misi Flotilla bagi memecahkan sekatan Israel di Gaza. Beliau yang ketika itu berusia 87 tahun, telah bersama dengan aktivis yang lain, berlayar menuju Gaza membawa bekalan kemanusiaan untuk penduduk di sana.

Tiba di sempadan Gaza, beliau telah ditahan sekali lagi oleh regim Israel. Kali ini, walaupun dalam usia yang lanjut, Capucci berdepan dengan mereka dengan berani. Beliau kemudiannya di hantar ke Golan, di sempadan garisan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), dan dibebaskan selepas 2 hari ditahan.

Pada tahun 2010, Capucci terlibat sekali lagi dalam misi Flotilla ke Palestin. Kali ini menaiki kapal Mavi Marmara milik Turkey. 

“Aku pergi kerana aku seorang bapa kepada penduduk Palestin. Aku teruja untuk bertemu dengan anak-anakku selepas berpisah hampir 30 tahun, sejak dibebaskan dari penjara.”

Sebelum tiba di Gaza, kapal flotilla Mavi Marmara yang membawa barang kemanusiaan telah diserang oleh tentera Israel. Mereka telah menembak ke arah aktivis yang hadir secara aman, membunuh 9 orang. Capucci antara salah seorang yang tercedera dalam serangan itu.

Walaupun berdepan banyak ancaman, beliau menyebut, “Aku akan terus memperjuangkan isu Palestin, dan seluruh rakyatnya sehingga hembusan nafas terakhir. Walaupun sekiranya aku tidak mampu berjalan lagi, aku akan terus pertahankan perjuangan ini”.

Sebagai seorang yang tegas dengan pendirian, sudah tentu Capucci tidak terlepas dari kontroversi. Beliau dikritik hebat kerana berpihak dengan kerajaan Syria, dalam isu perang saudara untuk menjatuhkan Bashar Al-Assad.

Namun sumbangannya dalam perjuangan rakyat Palestin sentiasa diingati, dan diperakui oleh gugusan pejuang yang bersama mempertahankan kedaulatan Palestin melawan penjajah Israel. Beliau telah diberikan penghargaan atas sumbangannya membela Palestin oleh banyak negara.

Pada 1 Januari 2017, Vatican mengumumkan kematian beliau, di Rome, pada usia 94 tahun. Beliau di semadikan di Lubnan, disebelah pusara ibunya, diatas permintaan beliau. 

Semoga diberikan kebaikan atas beliau, keluarganya dan seluruh rakyat Palestin. 

Palestina libre!

Amir Hadi adalah seorang aktivis hak asasi manusia. Pernah bersama SUARAM, beliau kini adalah Setiausaha Agung Liga Rakyat Demokratik dan merupakan salah seorang pengasas bersama Ikatan Rakyat Demokratik (MUDA).

Foto: Getty Images

Share this Post: