Hilarion Capucci: Archbishop Kristian Sang Pejuang Palestin (Bhg 1)

Hilarion Capucci: Archbishop Kristian Sang Pejuang Palestin (Bhg 1)

Untuk beberapa minggu ini, aku berehat sebentar dari memikirkan hal-hal yang sedang berjalan. Kesempatan ini aku ambil untuk membaca semula kisah-kisah perjuangan pembebasan yang bergerak di seluruh dunia, dari Amerika Latin ke Afrika, dari Timur Tengah ke Asia.

Ini termasuklah kisah perjuangan pembebasan Amerika Latin oleh Simon Bolivar yang bermula di Venezuala, perjuangan menumbangkan diktator Augusto Pinochet di Chile, perjalanan hidup Jose ‘Pepe’ Mujica di Uruguay, kisah ‘Che Guevara Afrika’ - Thomas Sankara di Burkina Faso, konflik di Central African Republic (CAR), serta pergolakan Timur Tengah, termasuklah perjuangan membebaskan Palestin yang dipelopori oleh Organisasi Pembebasan Palestin (PLO).

Dalam pembacaan singkat ini, aku telah bertemu dengan sebegitu ramai orang yang pada aku memiliki sumbangan yang besar, namun tidak diberikan keadilan; dilupakan oleh sejarah, kurang disebut, dan tidak diangkat sebaris dengan nama-nama besar dalam gerakan pembebasan.

Begitu jugalah apa yang berlaku kepada Archbishop Hilarion Capucci, salah seorang Uskup Agung Kristian Katolik yang mana lebih separuh hidupnya didedikasikan untuk perjuangan pembebasan Palestin dari penjajahan Israel, yang bergerak rapat dengan Organisasi Pembebasan Palestin (PLO).

Hari ini, apabila bercakap soal perjuangan rakyat Palestin, kita sering kali membayangkan ia adalah sekadar isu agama. Hal ini juga membuatkan, orang bukan Islam jarang membicarakan isu ini, manakala orang Islam menganggap ia isu yang eksklusif.

Namun mungkin kita lupa bahawa Palestin juga memiliki sejumlah orang bukan Islam yang juga terlibat dalam perjuangan melawan Zionis Israel, sehingga muncul apa yang dipanggil sebagai Teologi Pembebasan Palestin. Antara yang sering diingati adalah George Habash, Wadie Hadad dan Nayef Hawatmeh.

Awal Mula

Hilarion Capucci lahir pada tanggal 1922 di Aleppo, Syria yang pada ketika itu dibawah penjajahan Perancis. Pada usia 11 tahun, beliau menyertai Biara Basillian di Lubnan, sebelum menyambung pengajian di Gereja St Anne di Jerusalem, Palestin.

Ketika di Jerusalem lah, beliau menyaksikan sendiri pengeboman Hotel King David, oleh kumpulan militan Zionis, Irgun, pada tahun 1946 yang mengorbankan puluhan nyawa. Ini telah menjadi titik tolak dalam perjalanan hidupnya dalam perjuangan melawan penjajahan Israel di Palestin.

Dalam memoirnya, beliau menyebut, “Saya satu-satunya pelajar yang keluar dari Gereja St Anne saat itu. Saya melihat sendiri kemusnahan, mayat bergelimpangan, tubuh 90 mangsa orang Arab dan Inggeris (yang di bom). Saya merasakan kesakitan yang tak tertahankan.”

Beliau kemudiannya berhijrah ke Lubnan, dan telah ditahbiskan menjadi paderi pada tahun 1962, memilih nama Hilarion, mengambil nama Hilarion the Great yang tinggal di Gaza 1000 tahun yang lalu. Menunjukkan bagaimana beliau punya jalinan spiritual dengan bumi Palestin sejak awal.

Terkesan dengan idea Teologi Pembebasan, Capucci telah menyampaikan syarahan, dialog dan tulisan berkaitan perjuangan pembebasan Palestin serta perlanggaran hak asasi manusia oleh regim Israel, selain giat menentang isu sektarian. Beliau kemudian dilantik menjadi Archbishop di Jerusalem, Palestin, pada tahun 1965.

Mengikut laporan oleh mereka yang tinggal di Jerusalem ketika Capucci di sana, Capucci mempunyai hubungan yang sangat baik dengan penduduk Jerusalem, tanpa mengira latar belakang agama. Hubungi ini terbentuk, beberapa tahun sebelum pendudukan Israel, dalam perang Arab-Israel tahun 1967.

Bergerak Aktif Dalam Perjuangan Palestin

Perang Arab-Israel memberi kesan besar dalam hidup Capucci. Beliau melihat sendiri pembunuhan, pengeboman, serta kekejaman perang.  Ribuan terbunuh, bangunan termasuk rumah ibadah dihancurkan. Capucci sendiri mengebumikan 400 mayat yang terbunuh.

Selepas penjajahan Israel, tidak seperti beberapa pemimpin agama yang lain ketika itu, beliau tegas menolak sebarang jemputan untuk hadir mana-mana acara anjuran Regim Israel, dan tidak menjalin sebarang hubungan dengan mereka.

“Tiga hari selepas penjajahan Israel di Jerusalem, saya memandu kereta di jalanan, memakai pakaian biara. Seorang tentera Israel datang dan meludah kearah saya. Saya keluar dari kereta, dan terus memukulnya dengan kayu sehingga dia jatuh. Sejak itu saya percaya, penceroboh ini mesti dilawan dengan kekerasan..” – Hilarion Capucci, dalam memoirnya.

Capucci diingati kerana Kerjasama beliau dengan PLO, organisasi yang ditubuh bagi melawan Israel di Palestin. Kereta Mercedes miliknya diubah suai bagi memuatkan senjata untuk diseludup kepada pejuang PLO di Tebing Barat dan gaza.

Sebagai seorang yang memegang pasport diplomatik dari Vatican, kereta beliau tidak ditahan di sempadan oleh tentera Israel, justeru dapat menyeludup masuk senjata dari Lubnan dan Syria. Aktiviti ini berjalan selama lebih tiga tahun sebelum dihidu Israel yang menyebabkan beliau ditahan.

Penahanan dan pendedahan aktiviti Capucci mengejutkan banyak pihak, termasuk Yasser Arafat, pimpinan tertinggi PLO. Ini disebabkan aktiviti ini dijalankan dengan penuh kerahsiaan, dan hanya diketahui beberapa pimpinan tertinggi Fatah.

Penahanan Capucci menyebabkan krisis besar antara Vatican dan Israel. Kerana beliau memegang pasport diplomatik. Israel bingung akan tindakan yang patut diambil, namun kemudiannya beliau tetap ditahan oleh tentera Israel, 10 hari selepas penemuan senjata dalam keretanya.

Pope menghantar delegasi ke Jerusalem untuk berbincang dengan Israel bagi pembebasan Capucci. Delegasi telah bertemu Capucci, dan mecadangkan agar beliau mengaku tidak bersalah, dan berjanji untuk tidak menjejakkan kaki lagi di Palestin.

Namun cadangan ini ditolak dengan keras oleh Capucci, mengatakan bahawa beliau berbangga akan tindakannya berjuang untuk membebaskan Palestin dari penjajahan. Capucci didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan, termasuklah kerana dikatakan bekerjasama dengan organisasi ‘pengganas’.

Di dalam pusat tahanan, beliau telah diseksa dan dimalukan, bertujuan bagi mematahkan semangatnya, dan mengaku atas beberapa tuduhan lain yang cuba dipaksakan keatas beliau, termasuk bercadang meletupkan Knesset, parlimen Israel.

Bersambung dalam Bahagian 2.

Amir Hadi adalah seorang aktivis hak asasi manusia. Pernah bersama SUARAM, beliau kini adalah Setiausaha Agung Liga Rakyat Demokratik dan merupakan salah seorang pengasas bersama Ikatan Rakyat Demokratik (MUDA).

Foto: Getty Images

Share this Post: