HENTIKAN VAPE!

HENTIKAN VAPE!

Rokok elektronik atau nama lainnya e-cigarettes atau vape sudah menjadi popular dan semakin biasa dalam masyarakat kita, terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur dari belasan tahun hinggalah 40 tahun.

Vape juga menjadi ‘trend’ dan sesiapa yang menghisap vape dikatakan ada ‘style’ dan macho.

Ketahuilah, ‘trend’ ini hanya merosakkan diri anda.

Vape adalah peranti elektronik yang memanaskan cecair dan menghasilkan aerosol atau kepulan wap yang akan disedut ke dalam paru-paru penggunanya.

Bukan sahaja pengguna vape, malah orang sekeliling yang terdedah kepada kepulan wap itu juga akan menyedut wap yang sama.

Cecair vape, juga dipanggil e-jus, e-cecair atau jus vape inilah yang menjadi perosak kepada paru-paru, keseluruhan tubuh malah masa depan pengguna vape ini.

Tahukah anda apa yang terkandung dalam cecair vape?

Cecair vape mengandungi nikotin, sebatian organik yang mudah meruap, bahan kimia yang berpotensi menyebabkan kanser, logam berat seperti nikel dan plumbum, zarah ultra halus yang boleh disedut jauh ke dalam paru-paru dan perisa seperti diacetyl.

Vape bukan jalan untuk berhenti merokok.

Nikotin menjadikan penggunanya ketagih. Penggunaan yang tidak terkawal akan menyebabkan ketagihan melampau serta risiko kecenderungan untuk ketagihan dadah pada masa hadapan.

Lebih merisaukan, nikotin boleh membahayakan otak remaja yang sedang berkembang sehingga usia 25 tahun.

Statistik menunjukkan 300 000 pelajar sekolah di Malaysia adalah pengguna vape. Nikotin juga memberi kesan buruk pada bahagian otak yang mengawal fokus, pembelajaran, mood dan kawalan impuls.

Sebatian organik mudah meruap diperlukan untuk menghasilkan kepulan wap.

Cecair vape mempunyai pelbagai pilihan perisa. Perisa yang digunakan seperti diacetyl boleh menyebabkan masalah paru-paru yang serius.

Kesemua ini membuktikan vape tidak kurang bahaya berbanding rokok.

Satu lagi risiko yang perlu dipertimbangkan melibatkan bateri vape yang boleh menyebabkan kebakaran dan letupan, beberapa kes yang dilaporkan melibatkan kecederaan serius dan kebanyakan letupan berlaku semasa bateri vape sedang dicas.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam the International Journal of Environmental Research and Public Health pada tahun 2021, kira-kira 40% orang yang menghisap vape setiap hari dilaporkan mengalami kesan sampingan.

Antara kesan sampingan yang dilaporkan termasuklah batuk, pening, sakit kepala, jantung berdebar, sesak nafas, mengantuk, rasa lemah, rasa terbakar atau gatal pada mulut, bibir dan tekak serta kering tekak.

Dalam kajian lain yang diterbitkan dalam The Journal of Physiology pada tahun 2020, penggunaan vape boleh mengurangkan fungsi paru-paru, meningkatkan keradangan saluran pernafasan, melemahkan sistem imun dan meningkatkan risiko jangkitan pernafasan.

Kesan penggunaan vape yang lebih serius pula termasuklah kerosakan paru-paru yang teruk, sawan, strok dan serangan jantung yang boleh membawa maut.

Yang dirisaukan telah tiba − EVALI.

E-cigarette or vaping use-associated lung injury atau ringkasnya EVALI adalah term baru dalam dunia perubatan yang sedang tular secara global.

EVALI telah disahkan sebagai penyakit baru, kerosakan paru-paru yang disebabkan oleh penggunaan vape. Lebih tepatnya, EVALI berpunca daripada vitamin E asetat yang digunakan sebagai bahan tambahan dalam beberapa produk vape yang mengandungi THC.

Vitamin E asetat ini dijumpai di dalam sampel cecair paru-paru pesakit EVALI yang diuji dan tidak ditemui dalam cecair paru-paru orang yang tidak mempunyai EVALI.

Kes-kes yang melibatkan kerosakan paru-paru yang serius dalam kalangan pengguna vape sudah cukup untuk membuktikan bahawa vape tidak selamat.

Vape bukan alternatif yang lebih selamat untuk menggantikan rokok biasa. Tidak sama sekali. Malah, kesannya mungkin lebih teruk lagi.

Paru-paru kita dicipta untuk menyedut oksigen dari udara bersih, bukan dari kepulan wap yang mengandungi pelbagai jenis bahan kimia berbahaya.

Sayangi paru-paru anda, sayangi diri anda.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.cdc.gov/tobacco/basic_information/e-cigarettes/severe-lung-disease.html

https://www.cdc.gov/tobacco/basic_information/e-cigarettes

https://www.drugwatch.com/e-cigarettes/side-effects/

Kredit foto: republika.co.i

Share this Post: