HARTAWAN ASIA PEMILIK  KELAB BOLA SEPAK TERKEMUKA DI EROPAH

HARTAWAN ASIA PEMILIK KELAB BOLA SEPAK TERKEMUKA DI EROPAH

Bola sepak di Eropah kini bukan hanya sukan semata-mata malah bola sepak telah mengalami revolusi dalam pelbagai bentuk sejak kurun ke-18 sehingga menjadi sebuah hiburan, peraduan, perniagaan mahupun perjuangan budaya. Hampir setiap negara mempunyai kelab atau pasukan bola sepak yang telah dimiliki oleh ramai hartawan dan ahli perniagaan dari serata dunia. Mereka yang mempunyai reputasi antara manusia terkaya dunia telah membeli saham terbesar pasukan-pasukan bola sepak di Eropah sama ada demi memenuhi rasa minat, faktor populariti atau kepentingan perniagaan semata-mata. Ramai jutawan dari seluruh dunia memiliki saham terbesar dalam dunia bola sepak demi kepentingan ekonomi untuk jangka masa panjang. United Kingdom, misalnya merupakan negara tumpuan yang paling popular dalam dunia sukan bola sepak.

Ahli perniagaan terkenal dari negara Malaysia, Vincent Tan memiliki sebuah kelab bola sepak di Wales iaitu Cardiff City FC yang kini bertarung dalam Liga Championship England. Mei 2010 menjadi detik bersejarah apabila anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini secara rasmi telah dinamakan sebagai pemegang saham terbesar bagi pasukan Cardiff setelah membeli saham sebanyak 30%. Kekayaan yang dimiliki oleh Vincent Tan adalah melalui beberapa perniagaan antarabangsa seperti syarikat Thera Sdn Bhd dan Berjaya Group yang meliputi perniagaan berasaskan surat khabar, pusat judi berlesen, penerbangan, perhotelan, resort, multimedia dan perkilangan.

Selain daripada Vincent Tan, Malaysia juga mempunyai seorang lagi anak jati yang memiliki sebuah pasukan bola sepak yang berpangkalan di England iaitu Queens Park Rangers (QPR). Tony Fernandes, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mempunyai beberapa syarikat seperti syarikat penerbangan AirAsia, perhotelan melalui Tune Hotels, permotoran Formula 1 iaitu Team Lotus dan sukan bola sepak daripada pasukan QPR. Tan Sri Tony Fernandes telah melabur sebanyak RM171 juta pada tahun 2011 untuk membeli sebanyak 66% pemilikan saham kelab QPR bersama seorang lagi hartawan dari negara India iaitu seorang taikun besi, Lakshmi Mittal yang memegang saham kelab tersebut sebanyak 33%.

Rakyat Singapura juga tidak ketinggalan untuk melabur dalam sukan bola sepak. Peter Lim, seorang hartawan yang berasal dari Singapura ini telah membeli kelab bola sepak Sepanyol iaitu Valencia CF pada tahun 2014 dengan harga keseluruhan sebanyak €420 juta. Nilai ini termasuk kos bayaran hutang yang tertunggak sebanyak €200 juta dan peruntukan sebanyak €170 juta untuk menyiapkan pembinaan stadium baharu. Beliau memegang majoriti saham kelab tersebut dengan pemilikan sebanyak 83%. Sepanjang bersama pasukan Valencia CF, beliau pernah menjual beberapa pemain pada tahun 2016 seperti Andre Gomes, Paco Alcacer dan Shkodran Mustafi untuk menstabilkan kewangan kelab yang mempunyai stadium keramat Mestalla di Sepanyol.

Negara Thailand juga mempunyai beberapa individu yang memiliki kelab bola sepak terkemuka di Eropah. Vichai Srivaddhanaprabha, seorang pengasas syarikat King Power Duty Free merupakan pemilik bagi kelab bola sepak pasukan Leicester City apabila membeli kelab tersebut pada tahun 2010 dengan harga 39 juta pound sterling. Dianggarkan beliau memiliki kekayaan peribadi dengan nilai AS$4.9 bilion setelah hampir dua dekad menjayakan perniagaan kedai bebas cukai dan hak monopoli lapangan terbang di Thailand. Selama lebih 10 tahun Vichai menjadi pemilik pasukan Leicester City. Pasukan ini telah berjaya menjalankan urusan perniagaan yang sangat baik apabila berjaya menjual beberapa pemain dengan harga yang sangat tinggi seperti Ngolo Kante (€35.8 juta), Danny Drinkwater (€37.9 juta), Ben Chilwell (€50 jura), Riyad Mahrez (€67.8 juta) dan Harry Maguire (€87 juta).

Narin Niruttinanon adalah hartawan ketiga Thailand yang menjadi pemilik pasukan bola sepak di England selepas Thaksin Shinawatra (Manchester City 2007-2008) dan Vichai Srivaddhanaprabha (Leicester City 2010-kini). Anak kepada konglomerat, Cheng Niruttinanon ini menjadi pemilik 50% saham selepas membeli kelab Reading dengan nilai bayaran sebanyak ₤26 juta. Pemilikan kelab ini terdiri daripada Narin Niruttinanon bersama kumpulan Renhe Sports Management serta dua orang ahli perniagaan dari negara China iaitu Xiu Li dan Yongge Dai. Narin Niruttinanon merupakan seorang usahawan yang sangat aktif sebagai pelabur dalam bidang hartanah. Pasukan Reading kini bergelut di Liga English Championship dan kali terakhir pasukan ini beraksi di pentas liga utama England, English Premier League (EPL) pada musim 2013/2014.

Erick Thohir, seorang ahli perniagaan yang berasal dari negara Indonesia pernah menjadi pemilik kepada kelab bola sepak yang berpangkalan di negara Itali iaitu Inter Milan dari tahun 2013 hingga tahun 2019.  Beliau mendominasi pemilikan saham sebanyak 60% bersama Handy Soetedjo dan Rosan Roeslani masing-masing dengan pemilikan saham sebanyak 20%. Kekayaannya banyak disumbangkan melalui perniagaan berasaskan media serta hiburan seperti Harian Indonesia, majalah Parents Indonesia dan Republika, audio visual, stesen radio dan banyak lagi. Namun begitu, pada 25 Januari 2019 pasukan Inter Milan secara rasmi telah dibeli oleh syarikat LionRock Capital dari negara Hong Kong. Selain kelab bola sepak, beliau juga pernah menjadi pemilik kelab sukan Basketball seperti pasukan Mahaka Satria Muda Jakarta dan Mahaputri Jakarta.

Bagi hartawan negara di sebelah Asia Barat pula, beberapa ahli perniagaan dari beberapa negara Arab juga tidak terlepas untuk mengembangkan empayar perniagaan dalam bidang sukan. Sheikh Mansour Bin Zayed Al-Nahyan dari Qatar merupakan pemilik bagi pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Manchester City. Beliau telah melabur jutaan ringgit untuk pembangunan masa depan pasukan sehingga mampu membeli khidmat beberapa pemain handalan dunia seperti Robinho, Carlos Tevez, Sergio Aguero, David Silva, Kevin De Bruyne, Yaya Toure dan ramai lagi. Pelaburan yang telah dibuat oleh beliau membuahkan hasil apabila pasukan Manchester City mampu menjadi salah sebuah pasukan yang dikategorikan sebagai pencabar kejuaraan liga tempatan dan kejohanan dunia. Seorang lagi hartawan dari negara Arab Saudi, Abdullah Bin Musa’ad juga adalah seorang pemilik bagi pasukan Sheffield United yang kini sedang bertarung di Liga Perdana Inggeris.

Naser Al-Khelaifi, juga seorang hartawan dari negara Qatar yang memiliki sebuah pasukan terhandal di Liga Perancis (League 1) iaitu Paris Saints Germain (PSG). Beliau telah membeli pasukan juara bertahan liga tempatan ini pada tahun 2011 dengan harga sebanyak €80 juta. Kekayaannya dipengaruhi oleh keuntungan daripada Qatar Sports Investments (QSi) yang disokong oleh kerajaan Qatar hingga mampu membeli ramai pemain bintang dunia seperti Z. Ibrahimovich, Thiago Silva, Neymar Jr dan Edinson Cavani. Antara jutawan Arab lain yang memiliki kelab bola sepak ialah Sheikh Abdullah Al-Thani juga dari Qatar membeli kelab Malaga di Liga Sepanyol pada tahun 2010 dan jutawan dari negara Iran, Farhad Moshiri yang merupakan pemegang saham terbesar bagi pasukan Everton di liga EPL.

Jutawan dari benua Asia Selatan juga banyak melabur saham perniagaan dalam sukan bola sepak. Antaranya ialah perusahaan Venky, gabungan tiga orang ahli perniagaan berasaskan ayam dari negara India yang menjadi pemilik yang sah hampir keseluruhan saham bagi pasukan Blackburn Rovers. Mereka telah membeli kelab ini pada tahun 2010 dengan harga £23 juta. Venky banyak bergerak dalam bidang makanan ternak dan farmasi. Pada asalnya, nama perusahaan Venky ini dikenali dengan nama Western Hatcheries Ltd yang telah mula beroperasi sejak tahun 1976. Hingga ke hari ini, Venky melebarkan sayap perniagaan dengan mengeluarkan produk-produk berasaskan kesihatan.

Shahid Khan, seorang usahawan automotif yang berasal dari negara Pakistan telah membeli kelab bola sepak Fulham FC pada tahun 2013 dengan nilai bayaran yang tidak didedahkan. Namun kajian yang telah dibuat oleh media-media Barat menyatakan nilai pembelian kelab tersebut dianggarkan sebanyak £150 juta ke £200 juta. Kecenderungan beliau melabur untuk sukan bola sepak tidak dapat dinafikan kerana beliau juga memiliki sebuah kelab bola sepak di Amerika iaitu Jacksonville Jaguars. Perniagaannya mula berkembang daripada syarikat automotif di Amerika Syarikat dengan keuntungan tahunan yang sangat tinggi melalui syarikat Flex-N-Gate.

Bagi hartawan yang berasal dari benua Asia Timur, Paul Suen dan Wang Lei (China) serta Carson Yeung (Hong Kong) memiliki pasukan Birmingham sementara Gouchuan Lai (China) pula menjadi pemilik untuk pasukan West Brom. Tiga orang sahabat dari negara China iaitu Guo Guangchang, Liang Xinjun dan Wang Qunbin adalah pemegang saham tertinggi untuk pasukan bola sepak Wolves. Terdapat ramai lagi jutawan Asia yang memiliki kelab bola sepak di Eropah tetapi hanya bersama pasukan bola sepak kerdil dan tidak beraksi di peringkat tertinggi sama ada di liga tempatan atau di liga terbesar Eropah iaitu Liga Juara Eropah (UCL). Kebanyakan hartawan dari seluruh dunia melabur saham untuk kelab bola sepak disebabkan oleh faktor pulangan keuntungan yang maksimum kerana sukan bola sepak sentiasa mendapat perhatian dan sokongan dari peminat di seluruh dunia.

Ridhwan Che Amat - Pundit bola sepak EPL

Foto kredit: Iluminasi

Share this Post: