Hang Tuah atau Laksamana? (Bhg 1)

Hang Tuah atau Laksamana? (Bhg 1)

Apa tanggapan masyarakat Melayu dan Malaysia terhadap Hang Tuah? Apakah Hang Tuah dianggap mitos tanpa sebarang bukti kewujudan seumpama kisah Hercules? Atau Hang Tuah dianggap sebagai watak lagenda seperti King Arthur yang jalur ceritanya tidak sahih serta banyak ditokok tambah namun watak sebenarnya berkemungkinan besar wujud. Atau apakah Hang Tuah ini benar-benar dianggap wujud seperti Dato Maharajalela, Dato Sagor, Dato Bahaman, dan pahlawan-pahlawan lain yang benar-benar tercatat di dalam lipatan sejarah?

Sukar untuk menganggap bahawa kisah Hang Tuah cuma mitos atau dongengan yang sengaja diciptakan. Namun jika mahu dikategorikan kisah Hang Tuah sebagai sejarah maka terlalu banyak keraguan sumber dan penceritaan di dalam kisahnya.

Apakah Hang Tuah ialah kisah lagenda? Namun ia juga kecanggungan kerana peristiwa yang digambarkan serta latar kisahnya yang baru berusia sekitar 500 tahun yang lalu. Jadi mengapa terlalu banyak kelompongan laporan sahih dan bukti kewujudannya? Jika kisah King Arthur dianggap lagenda itu tidak menghairankan kerana latar kisahnya sudah mencecah 1500 tahun yang lalu.

Walau ada bukti yang mahu dikaitkan dengan Hang Tuah, namun terlalu banyak kesensasian tidak sahih (palsu) yang diatasnamakan terhadap pahlawan ternama itu. Jika Hang Tuah benar-benar wujud, wajarkah semua kepalsuan itu disandarkan kepadanya?

Takkan Melayu Hilang di Dunia

“Takkan Melayu hilang di dunia” adalah kata-kata semboyan yang sering dinasabkan kepada Hang Tuah. Di Kepulauan Riau dan Sumatera pula kata-kata itu berbunyi “Takkan Melayu hilang di bumi”.

Namun slogan ini sebenarnya tidak pernah dijumpai tercatat di dalam dua sumber utama pengkisahan Hang Tuah iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah mahupun sumber-sumber bertulis lain yang berkelayakan. Apakah benar Hang Tuah pernah mengungkapkan kata-kata tersebut?

Jika ungkapan itu sendiri mempunyai permasalahan dalam kesahihan, maka dari mana pula datangnya ungkapan tambahan “…selagi berpegang dengan Islam”?

Hang Tuah Sebagai Lagenda Epik dan Mitos Dongengan

Jika diamati, ada sedikit perbezaan dalam penceritaan watak Hang Tuah di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah. Namun perkara pertama yang harus kita terima bahawa kedua-dua penulisan tersebut lebih bersifat karya epik-sastera berbanding dokumentasi sejarah. Maka kredibilitinya untuk menjadi sumber utama pelaporan sejarah adalah tidak diterima.

Sejarah Melayu didakwa mula ditulis pada penghujung 1400an dan awal 1500an (ada pelbagai versi dan pendapat) namun naskah lengkap yang ada sekarang ini tercatat tahun 1808. Kisah Hang Tuah pula hanyalah salah satu pengkisahannya di dalamnya.

Hikayat Hang Tuah pula dikesan cuma ditulis pada 1700an – sekitar 200 tahun selepas era Hang Tuah - dan manuskrip lengkap yang ada tercatat tahun 1849. Ada beberapa pendapat menyatakan bahawa Hikayat Hang Tuah cenderung bersifat apologetik dan simpatisan dengan nasib yang menimpa Laksamana-laksamana Melayu terutamanya terhadap Laksamana Hang Tuah dan Laksamana Tun Abdul Jamil yang dihukum serta kurang dihargai jasa mereka.

Dalam keadaan kedua-dua penulisan yang kurang kredibiliti sebagai pelaporan utama sejarah kerana ia bersifat tulisan sastera, bagi penulis Sejarah Melayu lebih boleh dipercayai berbanding Hikayat Hang Tuah – ini kerana masa catatan Sejarah Melayu adalah sezaman dengan era Hang Tuah, penampilan wataknya lebih realistik serta boleh diterima sebagai pelaporan sejarah yang sekunder.

Menurut Sejarah Melayu, nama asal Hang Tuah ialah Daeng Mempawah, anak Raja Bajung (sebutan sebenar ialah Bajang/Bajeng) yang berasal dari Gowa. Beliau dihadiahkan kepada Sultan Mansur Syah semasa rombongan diplomatik Melaka ketika ke Gowa. Tatkala itu Hang Tuah berusia dua belas tahun. Sultan-lah yang menukar namanya kepada Hang Tuah. Ini berbeza dengan Hikayat Hang Tuah yang menyatakan beliau sememangnya orang tempatan Melaka – berasal dari Kampung Duyong yakni lokasi letaknya perigi Hang Tuah yang masyhur.

Di dalam Sejarah Melayu tidak wujud keris Taming Sari seperti yang dicatatkan di dalam Hikayat Hang Tuah. Sejarah Melayu cuma menceritakan tentang Keris Tempa Melaka yang dipercayai adalah keris rasmi Kesultanan Melaka kepada pemegang jawatan Laksamana.

Kisah mengenai Taming Sari di dalam Sejarah Melayu sangat diragukan kerana padanan masa yang tidak tepat. Hang Tuah dikatakan memperoleh keris tersebut setelah mengalahkan pendekar yang bernama Taming Sari, yang dikatakan sebagai pembunuh upahan yang diupah oleh Patih Gajah Mada. Sedangkan zaman Gajah Mada adalah 150 tahun hingga 200 tahun mendahului zaman Hang Tuah.

Hikayat Hang Tuah cenderung sarat dengan mitos dan dongengan. Manakala Sejarah Melayu pula lebih menampilkan Hang Tuah sebagai watak lagenda dan lebih realistik. Di dalam Sejarah Melayu Hang Tuah cuma dikhabarkan berguru silat dengan hulubalang-hulubalang Melaka dan tiada kisah perguruan dengan Adi Putera seperti di dalam Hikayat Hang Tuah.

Hikayat Hang Tuah juga menyatakan bahawa Hang Tuah-lah yang melarikan Tun Teja dari Pahang ke Melaka namun Sejarah Melayu mencatatkan bahawa Hang Nadim yang membawa Tun Teja ke Melaka dan bukannya Hang Tuah.

Semasa dihukum bunuh akibat fitnah, Hikayat Hang Tuah menyatakan Hang Tuah telah dihantar ke Hulu Melaka oleh Bendahara dan di sana beliau telah berguru dengan Syeikh Mansur. Sebaliknya Sejarah Melayu menyatakan bahawa Hang Tuah telah dihukum pasung oleh Seri Nara Diraja di dusun miliknya.

Dicatatkan di dalam Sejarah Melayu akibat terlalu lama dipasung, maka ketika bertarung dengan Hang Kasturi (Hikayat Hang Tuah menceritakan bahawa Hang Jebat yang menderhaka, namun Sejarah Melayu mencatatkan nama Hang Kasturi), tubuh Hang Tuah kurus dan berjalan terketar-ketar. Namun Hang Tuah berjaya menewaskan Hang Kasturi dengan kepintarannya semasa keris Kasturi melekat tertikam dinding. Lalu Kasturi mati di situ juga. Tiada kisah seperti perebutan keris, amukan Jebat mahupun Kasturi dan sebagainya seperti yang tertulis di dalam Hikayat Hang Tuah.

Sejarah Melayu juga menceritakan bagaimana Hang Tuah kembali ke rahmatullah dan dimakamkan di Tanjung Keling dengan penuh penghormatan dan adat istiadat selayaknya. Ini amat berbeza dengan Hikayat Hang Tuah yang menyatakan Hang Tuah tiada mati dan berdiam di Hulu Perak serta menjadi raja segala biduandanya di hutan.

Namun dalam dua versi Hang Tuah yang berbeza, mengapa penampilannya yang cenderung mitos dan dongengan lebih disebut-sebut orang Melayu? Sehinggakan filem yang menggambarkan Hang Tuah dan Jebat juga lebih cenderung merujuk kisah-kisah di dalam Hikayat Hang Tuah.

Bersambung dalam Bahagian 2 minggu hadapan.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto ihsan Helengray.net

Share this Post: