Mutakhir ini, sering kita saksikan keluhan dan rintihan rakyat tentang kebobrokan dasar yang dibawa oleh kerajaan yang tidak diangkat melalui demokrasi ini. Mempertahankan kedudukan dengan menggunakan helah politik yang tidak disenangi oleh rakyat dan kebanyakan aktor politik, fungsi darurat disalahgunakan demi menjamin kestabilan pengaruh politik.
Kerajaan ini sebolehnya mahu elak daripada usul dibahaskan dalam parlimen yang akhirnya menyebabkan penghasilan dasar-dasar yang lemah dan tidak efisien. Soalan yang mungkin berlegar dalam fikiran kita semua adalah mengenai fungsi dan tugas kerajaan itu sendiri. Harus kita sedar bahawa sesebuah negara itu dipenuhi dengan populasi rakyat sebagai pihak berkepentingan terbesar. Demokrasi itu merupakan sistem atau wadah untuk membina kerajaan rakyat, mengapa? Kerana rupa dan bentuk kerajaan yang bakal dibina itu adalah sepenuhnya terletak pada tangan rakyat. Barisan figura dalam institusi kerajaan itu adalah mereka yang diundi oleh rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat dalam pilihanraya.
“Government of the people, by the people, for the people”, yang diucapkan oleh Abraham Lincoln berkemungkinan merupakan frasa terbaik untuk mendeskripsi kerajaan yang dibina melalui sistem demokrasi. Tanpa ulasan panjang, frasa tersebut sudah menjawab pelbagai perkara. Pertamanya, siapa yang memilih? Keduanya, siapa yang dipilih? Ketiganya, untuk siapa mereka dipilih? Dan keempat, untuk apa mereka dipilih?
Bagi menjawab soalan keempat iaitu, “Untuk apa mereka dipilih” hal ini sangat berkait rapat dengan pembuatan dasar kerana, dasar merupakan wadah bagi kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat. Menurut Robert Eyestone, dasar awam ialah hubungan di antara unit-unit kerajaan dengan persekitarannya. Namun, definisi ini agak luas yang menyebabkan pembaca kurang faham maksudnya. Thomas R. Dye pula menyatakan bahawa dasar awam sebagai apa-apa sahaja pilihan kerajaan untuk membuat sesuatu atau tidak.
Ahmad Atory Hussain pula menyatakan dasar awam ialah program atau projek yang dirancang oleh kerajaan yang mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Menurut Prof. Richard Rose pula, beliau menjelaskan dasar awam merupakan satu siri aktiviti atau kegiatan yang berpanjangan sama ada sedikit atau banyak yang melibatkan keputusan yang konkrit walaupun kesannya berbeza berbanding keputusan yang diambil. Takrifan daripada beliau lebih jelas dan bermakna kerana dasar awam dianggap sebagai satu bentuk atau siri tindakan yang berterusan. Pada kesimpulannya, dapat kita katakan bahawa dasar ini merupakan sebuah tindakan yang berpusatkan matlamat dan tujuan dan satu-satunya tujuan dan matlamat kerajaan adalah “to serve the people”.
Namun, menjadi kepentingan juga untuk kita selam sedikit dalam dengan melihat aktor-aktor yang terlibat dalam pembuatan polisi. Suka untuk saya membawa hujah ini dengan memperkenalkan dua teori. Pertama, teori institusionalisme, suka saya menyatakan bahawa teori ini dibawa ketengah atas nilai kecekapan. Teori ini dapat didefinisikan sebagai kerjasama institusi-institusi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam proses perancangan, pembuatan, pelaksanaan, penguatkuasaan dan juga penilaian. Agensi-agensi kerajaan mempunyai kuasa yang sah bagi melaksanakan dasar yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan. Hal ini penting untuk memastikan bahawa aspirasi dan dasar-dasar tertentu yang dibawa oleh kerajaan sampai kepada semua lapisan masyarakat. Kedua, teori elit, menurut Harold D. Lasswell, adalah merangkumi golongan pemegang kuasa dalam sistem dan badan politik iaitu kerajaan bagi sesebuah negara.
Terdapat beberapa kebenaran realiti yang penting untuk kita sedar daripada teori elit ini, antaranya teori elit ini dalam diam sebenarnya sudah membawa kepada perpecahan dalam masyarakat disebabkan kuasa. Masyarakat di dalam negara dibahagikan kepada masyarakat yang berkuasa dan dikuasai. Golongan berkuasa ini hanyalah minoriti tetapi mereka mampu untuk bergerak dengan pantas manakala golongan majoriti yang dikuasai ini hanya bergerak secara perlahan dan berterusan untuk memelihara kemantapan dan mengelakkan revolusi.
Golongan elit menggunakan nilai elit di dalam dasar awam untuk mengekalkan nilai-nilai elit itu sendiri tetapi bukannya merupakan permintaan daripada rakyat kerana rakyat tidak mempengaruhi elit politik tetapi elit yang mempengaruhi rakyat. Tidak hairanlah jika kebanyakan dasar awam menggambarkan kehendak golongan elit bukannya kehendak orang ramai. Dasar awam yang seharusnya membawa manfaat buat rakyat sudah menjadi milik golongan elit dan menyebabkan meningkatnya monopoli dan manipulasi golongan elit kepada rakyat. Konon-konon rakyat itu pihak berkepentingan terbesar dalam negara, mungkin di atas kertas tetapi bukan secara praktikal apabila peranan rakyat hanyalah ketika pilihan raya.
Sebagai refleksi buat para pembaca, jika benar dasar ini dibuat atas kepentingan dan faedah rakyat, maka bagaimanakah pendemokrasian penyertaan awam dalam pembentukan polisi itu diadakan? Dalam konteks Malaysia, tiada cara atau langkah spesifik yang diambil untuk tujuan pengumpulan maklumat agar pihak pembuat keputusan boleh membuat cadangan yang lebih bernas. Jika ada, mungkin hanya bancian yang tujuannya untuk membentuk dasar yang bersifat kebajikan. Mungkin juga kerana kita menggunakan kaedah “top-down approach” di mana, pihak kerajaan yang membawa agenda buat rakyat. Ketandusan kaedah ini menyebabkan polisi kerajaan lemah dan gagal menemui keperluan rakyat, ruang lingkup pembikinan dasar juga dipenuhi dengan golongan elit yang membawa kepentingan sendiri yang sekali lagi gagal menjawab rintihan rakyat.
Khairunnisa’ Jamal, Presiden Kelab Wawasan UIAM, yang bercita-cita untuk membuat rancangan televisyen memasak sambil bercerita politik dan sangat meminati bidang pentadbiran awam dan polisi.
Foto: Asyraf Hamzah / NSTP
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.