GAJI MINIMA: SUDUT PANDANG KAPITALIS DAN SOSIALIS

GAJI MINIMA: SUDUT PANDANG KAPITALIS DAN SOSIALIS

Isu gaji minima kembali menjadi perbualan hangat di meja diskusi masyarakat Malaysia.  Sejak awal tahun 2008 lagi golongan pekerja sudahpun mendesak kerajaan untuk menggariskan paras gaji minima buat golongan pekerja.  Mereka mendesak supaya kerajaan menetapkan RM1200 sebagai paras kepada gaji minimum. Desakan demi desakan, akhirnya paras gaji minima yang pertama di Malaysia telah diperkenalkan iaitu pada RM900 dan berkuat kuasa secara rasmi pada tahun 2013. Perintah yang dikeluarkan itu jelas tidak memuaskan hati golongan pekerja pada ketika itu.

Namun begitu, isu paras gaji minima telah mewujudkan dua kem yang berbeza. Kem yang pertama menyokong tuntutan kenaikan paras gaji minima.  Kem ini merupakan kem dari pihak yang berpegang kepada idea sosialis, yang lantang menyuarakan tentang hak-hak pekerja termasuklah isu gaji minima.  Kem yang kedua pula adalah kem yang menentang tuntutan kenaikan paras gaji minima kononnya ingin mengelakkan dari berlakunya inflasi.

Kem ini biasanya dari golongan kapitalis atau mereka yang menyokong agenda kapitalis. Saya gemar untuk melihat bahawa pendirian seseorang itu terhadap isu ini hasil dari sudut pandang individu.  Jika ada berasakan isu gaji minima ini merupakan isu hak dan kebajikan golongan pekerja, pemikiran mereka berasal daripada atau berpihak kepada kem sosialis. Jika ada yang berasakan isu gaji minimum ini akan menggoyahkan ekonomi dan menggugat peniaga kecil, idea kem kapitalis mungkin telah menyerap pengaruhnya dalam pemikiran kita.

Berlatarbelakangkan pendidikan ekonomi dan pemikiran yang “rebellious” membuatkan saya memahami percanggahan idea yang berlaku antara dua kem.  Sudut pandang saya berpecah kepada dua aspek dan penjuru. Naluri yang lebih dekat dengan jalanan membuatkan saya memahami penindasan yang berlaku pada zaman ini. Sosialis sering mengatakan yang kaya lebih kaya, yang miskin terus miskin. Namun, saya tahu perubahan gaji minima ini akan memberi kesan yang besar terhadap ekonomi negara.  Teori dan ilmu ekonomi yang dipelajari mengatakan ini bukanlah langkah ideal.

Kem sosialis yang mendesak untuk gaji minima ditingkatkan mungkin dilihat sebagai pilihan populis di jalanan.  Idea Marx yang menekankan untuk mewujudkan jurang pendapatan yang lebih adil dilihat sebagai pilihan terbaik untuk golongan yang ditindas.  Demonstrasi jalanan menunjukkan bahawa rakyat di jalanan tidak berpuas hati dengan segregasi kasta pendapatan yang wujud di negara ini.  Kewujudan kelas T20, M40 dan B40 menunjukkan hal ini merupakan suatu yang serius dan perlu diatasi segera.  Konsep segregasi kasta pendapatan ini merupakan satu konsep yang ditentang oleh Marx.

Golongan yang mengawal ragam pengeluaran (means of production) akan terus memonopoli hasil pengeluaran.  Manakala para pekerja hanya mampu menjual tenaga mereka kepada golongan pemodal walhal bayarannya senantiasa tidak setimpal. Lebihan nilai (surplus value) keuntungan yang disimpan (appropriated) oleh majikan ini merupakan satu bentuk penindasan. Walaupun mereka bekerja keras sepanjang hari, mereka masih tidak mampu mendapat gaji yang setara dengan tenaga mereka sedangkan majikan masih mengeksploitasi tenaga pekerja mereka.  Hal ini bercanggah dengan fahaman sosialis yakni gaji perlu dibayar secara adil mengikut tenaga yang dikerah oleh seseorang, sama ada mereka adalah pekerja ataupun majikan.

Golongan sosialis ini memahami bahawa akan wujud kesan jika paras gaji minima ini dinaikkan. Mereka sedar harga barangan akan meningkat seiring dengan perintah tersebut. Namun mereka menyatakan bahawa harga barangan tetap meningkat walaupun tiada perubahan dalam garis gaji minima. Tidak wajar untuk mengabaikan luahan mereka hanya dengan alasan tersebut. Alasan ini bagi mereka hanyalah sebuah alasan untuk menjaga periuk nasi golongan kayangan. Yang kaya terus kaya, yang miskin ini terus terbiar. Polisi-polisi yang menguntungkan golongan kapitalis terus dilaksanakan sambil mengabaikan hak golongan pekerja. 

Di kem kapitalis pula, wujud suara supaya garis gaji minima dihapuskan. Bagi mereka yang mendalami ilmu ekonomi, mereka tahu bahawa kesan kenaikan gaji ini akan memberi kesan yang buruk terhadap ekonomi negara.  Kenaikan gaji merupakan salah satu sumber pengeluaran hanya akan meningkatkan kos pengeluaran.  Kos pengeluaran yang tinggi akan membawa kepada ketidakmampuan syarikat-syarikat untuk membayar kos input mereka.  Hal ini tidak akan memberi kesan yang ketara kepada syarikat besar, tetapi akan mematikan industri kecil dan sederhana. 

Syarikat ini akan berada pada tahap “bottleneck” dan tidak mampu meneruskan perniagaan. Kesan kenaikan barang input juga akan membawa kepada kenaikan harga barangan. Apabila gaji meningkat, harga barangan juga akan turut meningkat. Apabila harga barangan meningkat, pekerja akan mendesak lagi untuk gaji ditingkatkan. Lantas, kitaran masalah itu akan terus berlaku lagi dan lagi. Oleh itu, pihak kapitalis menyatakan bahawa kenaikan paras gaji minima bukanlah jalan penyelesaian yang mampan.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh David Neumark, pakar ekonomi dari Universiti California, beliau mendapati bahawa solusi menetapkan garis gaji minima tidak membantu menyelesaikan masalah kemiskinan. Berdasarkan kajiannya, peningkatan sebanyak 10% garis gaji minima hanya akan meningkatkan tahap kemiskinan sebanyak 3% atau 4%. Jelas, polisi yang disangka membantu golongan miskin hanya akan membinasakan masa depan mereka. Kem ini percaya bahawa antara cara untuk mencegah kemiskinan adalah dengan menghapuskan polisi seperti garis gaji minima.  Antara contoh terbaik ialah Hong Kong. Ketiadaan polisi yang mengongkong kepesatan ekonomi ekoran kebebasan pasaran menyebabkan pertumbuhan ekonomi melonjak tinggi.

Isu garis gaji minima ini wujud kerana masalah “real income” atau gaji sebenar.  Gaji sebenar dikira selepas mengambil kira pelbagai faktor antaranya inflasi. Rakyat berasakan pendapatan mereka tidak mencukupi kerana nilai gaji sebenar mereka adalah rendah. Apa yang diperoleh mereka tidak mampu membayar kos sara hidup terutamanya di bandar.  Jikalau cukup sekalipun, tiada lebihan pendapatan yang mampu untuk disimpan untuk kegunaan masa depan.

Isu gaji sebenar ini seharusnya diselesaikan oleh pihak kerajaan dengan mengambil pendekatan yang proaktif. Mereka telah merekrut pihak cerdik pandai sebagai penasihat mereka, tetapi masih tidak mampu menyelesaikan masalah ini. Polisi yang lebih adil sangat diperlukan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera. Apabila wujud polisi yang lebih adil, diharap akan mengurangkan masalah jurang pendapatan.

Pada 1 Mei yang lepas, gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,500.  Ramai berpendapat ini merupakan salah satu tanda-tanda yang Pilihan Raya Umum akan dilakukan dalam masa terdekat. Namun, Kementerian Kewangan menolak dakwaan tersebut dengan kenyataan bahawa kenaikan tersebut adalah semata mata atas prihatin terhadap kebajikan rakyat.  Kita dapat menjangkakan yang kesannya terhadap ekonomi akan dirasai dalam tempoh yang terdekat selepas polisi itu dilakukan.

Jelas terdapat perbezaan pendapat dari kedua-dua belah kem. Kem sosialis percaya perlu adanya campur tangan dari pihak kerajaan untuk memastikan nasib pekerja sentiasa dijaga manakala kem kapitalis percaya bahawa polisi garis gaji minima perlu dihapuskan kerana polisi ini hanya menyekat pertumbuhan ekonomi dan menghalang kebebasan sistem meritokrasi. Persoalannya, anda berpihak di kem mana?

Hamirul Akbar merupakan seorang yang suka tidur dengan harapan inspirasi untuk penulisannya akan muncul dari dalam ruang mimpi. Memegang kata-kata filsuf Voltaire, “Providence has given us hope and sleep as a compensation for the many cares of life”.

Foto: MNP Auctioneers

Share this Post: