Fosil Hidup Penyelamat Nyawa

Fosil Hidup Penyelamat Nyawa

‘Macam belangkas’!

Peribahasa ini mungkin kerap disebut untuk merujuk betapa rapat dan setianya seseorang itu kepada temannya. Namun, selain sifat belangkas yang setia dan sentiasa bersama pasangannya, belangkas memainkan peranan penting dalam bidang perubatan khususnya pembuatan vaksin.

Penularan virus Covid-19 pada tahun 2020 telah mewujudkan perlumbaan dalam penghasilan vaksin dalam kalangan syarikat-syarikat farmasi di seluruh dunia. 

Haiwan yang telah wujud sekurang-kurangnya 450 juta tahun yang lalu dan digelar ‘fosil hidup’ ini menjadi satu aspek penting dalam memastikan kejayaan untuk menghasilkan vaksin.

Belangkas atau ‘horseshoe crab’ bukanlah tergolong dalam keluarga ketam atau krustasea. Sebaliknya belangkas tergolong dalam keluarga artropod yang lebih dekat untuk dibandingkan dengan labah-labah berbanding ketam.

Habitat belangkas ialah di kawasan berair payau di mana kawasan pertemuan air tawar dan air masin serta banyak menghabiskan masanya di dalam lumpur.

Terdapat empat spesis belangkas iaitu Carcinoscorpius rotundicauda,  belangkas yang terdapat di kawasan paya bakau sekitar Asia Selatan dan Asia Tenggara; Limulus polyphemus, belangkas Atlantik atau Amerika yang terdapat di sekitar pantai Atlantik Amerika dan Teluk Mexico; Tachypleus tridentatus, belangkas selatan atau belangkas China, Jepun atau belangkas tiga duri yang dapat dijumpai disekitar Timur dan Tenggara Asia; serta Tachypleus gigas, belangkas selatan atau belangkas India, Indonesia, dan Indo-Pasifik yang ditemukan di Selatan dan Tenggara Asia.

Walaupun dianggap sebagai makanan di kebanyakan tempat di Asia, atau sebagai umpan untuk menangkap ikan, belangkas khususnya darah belangkas menjadi sumber terpenting dalam bidang sains perubatan.

Darah belangkas mempunyai hemocyanin untuk membekalkan oksigen dan kehadiran kuprum di dalam hemocyanin menjadikan darah belangkas berwarna biru.

Darahnya mempunyai amebocytes yang memainkan peranan yang sama seperti sel darah putih yang menghalang jangkitan patogen. 

Amebocytesdaripada darah spesis Limulus polyphemus, digunakan untuk penghasilan  Limulus amebocyte lysate (LAL). LAL akan digunakan sebagai langkah pengesanan awal pencemaran toksin untuk tujuan perubatan.

Syarikat farmasi dari seluruh dunia amat bergantung terhadap haiwan primitif ini yang telah hidup selama jutaan tahun di bumi. Kebergantungan ini telah menyebabkan penurunan bilangan spesis belangkas di Atlantik.

Menangkap belangkas dan mengekstrak darah merupakan sesuatu yang memakan kos dan masa. Hal ini menjadikan kos bagi segelen LAL mencecah USD 60,000.

Pada tahun 2016, alternatif kepada LAL, recombinant factor C (rFC) telah diluluskan penggunaannya di Eropah. 

Tetapi di Amerika Syarikat, United States Pharmacopeia (USP) badan yang menjadi rujukan standard saintifik telah menolak penggunaan rFC sebagai alternatif kepada LAL. Badan tersebut mempertikaikan keberkesanannya masih belum diuji.

Saban tahun, syarikat farmasi akan menangkap lebih kurang 500,000 ekor belangkas spesis Limulus dengan bertujuan untuk mendapatkan darahnya. Sekurang-kurangnya sebanyak 30% darah akan diambil daripada setiap belangkas.

Proses ‘pendermaan’ darah secara paksa ini biasanya mengambil masa selama masa satu hingga ke tiga hari. Dan bagi belangkas pula, selagi insangnya masih berada dalam keadaan basah dan lembab mereka mampu untuk terus hidup di atas daratan selama empat hari.

Setelah selesai darah mereka diambil, mereka akan dilepaskan semula ke lautan. Anggaran yang dibuat terdapat di antara 3-30% peratus daripada jumlah belangkas yang dilepaskan semula ke laut akan mati.

Namun, ada sesetengah saintis berasa skeptikal sama ada belangkas yang telah ditangkap ini benar-benar dilepaskan semula ke laut atau pun dijual sebagai umpan untuk menangkap ikan.

Oleh yang demikian, perkara ini merunsingkan ahli biologi yang bimbang akan kemerosotan populasi belangkas. Kewujudan mereka yang melebihi jutaan tahun telah menyebabkan banyak spesis yang bergantung terhadap kewujudannya dalam ekosistem marin.

Jadi, belangkas merupakan anugerah masa silam kepada perubatan moden dan kemanusiaan secara amnya. Kewujudannya harus diperlihara untuk memastikan kesinambungan sains perubatan moden sekaligus melindungi alam semula jadi.

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto ihsan Reddit

Share this Post: