FOOTBALL FRIDAY: 'Soccer'; Sukan Nombor Satu Wanita AS

FOOTBALL FRIDAY: 'Soccer'; Sukan Nombor Satu Wanita AS

Bola sepak, sukan yang dianggap sukan nombor satu di seluruh dunia sekurang-kurangnya jika ditanyakan kepada mereka yang menetap di benua selain Amerika Utara.

Umum mengetahui perkembangan sukan yang dikenali sebagai “soccer” di benua itu kurang mendapat tempat dalam kalangan khalayak khususnya di Amerika Syarikat. 

Sukar untuk sukan nombor satu dunia itu menyaingi populariti sukan-sukan lain yang berkembang maju di bumi Uncle Sam seperti American Football, bola keranjang, bola lisut dan sebagainya.

Sekurang-kurangnya jika dilihat daripada sisi pandang lelaki.

Namun begitu, di sebalik anggapan bahawa bola sepak merupakan sukan yang gagal dan kurang terkenal di Amerika Utara, sukan ini merupakan sukan major atau utama di Amerika Syarikat bagi wanita.

Perkara ini dibuktikan dengan melihat senarai kejayaan yang pernah dikecapi oleh pasukan bola sepak wanita Amerika Syarikat.

Pasukan ini merupakan pasukan yang berjaya memenangi Kejohanan Bola Sepak Wanita Dunia anjuran Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) yang buat julung kalinya diadakan pada 1991.

Dan mereka berjaya mengulanginya pencapaian yang sama sebanyak tiga kali selepas itu dengan menjadi juara pada edisi 1999, 2015 dan mempertahankan kejuaraan pada edisi 2019.

Di samping itu, mereka hanya pernah tewas sekali sahaja pada aksi di final dan menduduki tempat ketiga sebanyak tiga kali serta itu merupakan kedudukan terburuk mereka setiap kali bermain dalam kejohanan tersebut. 

Perkembangan ini merupakan sesuatu yang menarik untuk dilihat kerana jika diamati bola sepak moden berkembang di Eropah, tetapi perkembangan bola sepak wanita di benua tersebut agak ketinggalan berbanding di Amerika Syarikat.

Antara faktor penting yang menjadi perkembangan pesat sukan ini ialah Title IX perintah mahkamah berkaitan pindaan Pendidikan Tahun 1972. 

Pindaan ini melarang sebarang bentuk diskriminasi terhadap jantina di sekolah dan semua program serta aktiviti pendidikan yang didanai oleh kerajaan persekutuan.

Jadi, perkara ini telah membuatkan banyak biasiswa bola sepak wanita telah diwujudkan dan diberikan oleh kolej-kolej untuk mengimbangi semula biasiswa American Football yang diberikan kepada pelajar lelaki.

Tambahan pula, ‘kebodohan’ sesetengah negara seperti Jerman dan England yang menganggap bola sepak hanyalah sukan yang sesuai untuk dimainkan oleh lelaki merupakan antara faktor kelembapan perkembangan sukan ini dalam kalangan wanita.

Kedua-dua negara ini telah melarang wanita untuk bermain bola sepak secara profesional - England pada 1921 sehingga 1973 dan Jerman pada 1955 sehingga 1979.

Malah, negara seperti Brazil di mana bola sepak dianggap seumpama sebuah ‘agama’ juga melakukan perkara yang sama - 1941 sehingga 1979.

Seterusnya, sistem pembangunan bola sepak wanita di Amerika Syarikat sendiri memainkan peranan penting dalam membentuk satu pasukan bola sepak yang kuat.

Sistem yang diamalkan di Amerika Syarikat sedikit berbeza dengan apa yang diamalkan di kebanyakan negara lain di dunia.

Di Amerika Syarikat, pemain muda wanita akan digilap di sekolah rendah dan menengah sebelum diserap untuk bermain bersama kolej dan universiti seterusnya meneruskan karier ke tahap profesional.

Tidak seperti kebanyakan negara yang mempunyai sistem yang jelas untuk membangunkan bakat bola sepak lelaki ;khususnya di Eropah, kebanyakan negara tidak mempunyai sistem yang jelas dan baik untuk membangunkan bakat pemain wanita mereka.

Sistem pembangunan yang mapan dan tuntas merupakan faktor utama yang menarik minat ibu bapa untuk memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk menjadikan bola sepak sebagai antara karier pilihan mereka.

Pemilihan Amerika Syarikat sebagai tuan rumah Piala Dunia 1994 juga merupakan rahmat untuk sukan bola sepak di Amerika Syarikat ketika itu. 

Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat (USSF) ketika itu menyuntik sejumlah dana yang besar kepada kedua-dua pasukan lelaki dan wanita kebangsaan yang menyaksikan pasukan wanita yang  melakukan peningkatan yang besar serta berjaya memenangi Piala Dunia Bola Sepak Wanita buat julung kali penganjurannya.

Pada waktu yang sama, pembangunan yang berterusan akan menyediakan bakat-bakat yang baru untuk mengambil alih tempat bakat-bakat lama dan meneruskan kejayaan sebelum itu.

Kejayaan yang dikecapi menjadi inspirasi kepada bakat muda-muda untuk terus menggantikan generasi terdahulu sebelum mereka dan menjadi pembakar semangat untuk meneruskan legasi terdahulu.

Kemenangan pasukan bola sepak wanita Amerika Syarikat di laman sendiri telah menjadi titik tolak peningkatan reputasi bola sepak di negara itu sekaligus menyaksikan peningkatan minat wanita terhadap sukan tersebut.

Lain daripada itu, selain bola keranjang dan bola tampar, bola sepak sentiasa menjadi pilihan utama untuk para wanita di Amerika Syarikat untuk menceburkan diri dalam bidang sukan.

Walaupun bola sepak boleh dikatakan sebagai sukan yang dipandang remeh oleh lelaki, kerana mempunyai pilihan sukan yang lebih banyak untuk diceburi seperti bola lisut dan sukan automotif - sukan yang agak sukar untuk diceburi oleh kaum wanita.

Lebih-lebih lagi, bola sepak juga menjanjikan ruang dan peluang yang lebih banyak serta baik sebagai pilihan karier bagi wanita di bumi Amerika.

Akhir sekali, pencapaian bola sepak wanita Amerika Syarikat telah menjadi panduan dan model kepada pembangunan bola sepak wanita negara-negara lain untuk menyaingi pasukan The Stars and Stripes di pentas dunia.

Sebagai rumusan, minat semata-mata tanpa pengurusan dan pembangunan bakat yang berterusan tidak akan melahirkan kejayaan, ia akan hanya menjadi peluang yang tersia.

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto: Alex Grimm/ Getty Images

Share this Post: