FOOTBALL FRIDAY: Raja Highbury, Henry XIV

FOOTBALL FRIDAY: Raja Highbury, Henry XIV

Thierry Henry,
Thierry Henry,
Thierry Henry,
Thierry Henry!
 

Laungan yang sering bergema saat penyerang legenda Perancis itu ‘mengamuk’ menjaringkan gol sesuka hatinya ketika bersama Arsenal.

Anak kepada pasangan yang berketurunan Antililes, Antoine dan Martinique ini dilahirkan pada 17 Ogos 1977 dan dibesarkan di Les Ullis, sebuah pekan kecil di Barat Daya Paris. 

Walaupun dibesarkan di kawasan yang dianggap ghetto, ia merupakan rahmat untuk Henry mengasah bakatnya dalam bola sepak.

Ketika berumur enam tahun, potensi dan bakat beliau telah dikesan oleh pencari bakat kelab tempatan CO Les Ulis. 

Awalnya, beliau tidak begitu berminat untuk bermain bola sepak. Namun, bapanya memaksa beliau untuk terus menghadiri latihan yang dijalankan.

Kelincahan beliau beraksi bersama beberapa liga bawahan tempatan, telah menarik minat kelab yang beraksi di Ligue 1, Monaco dan ditawarkan untuk menyertai pasukan remaja kelab tersebut.

Ketika berusia 14 tahun, Henry diterima masuk ke akademi bola sepak Institut National du Football de Clairefontaine (INF) yang lebih dikenali sebagai Clairefontaine; sebuah akademi bola sepak berprestij di Perancis.

Akademi yang berada di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Perancis ini merupakan akademi yang bertanggungjawab melatih dan mengasah bakat pemain muda di Perancis.

Menyertai Monaco merupakan batu loncatan kepada Henry untuk pertama kali bekerjasama bersama seorang lagi legenda Arsenal, Arsene Wenger yang ketika itu memegang jawatan pengurus Monaco.

Di Monaco, Henry menempa beberapa kejayaan, dinamakan Pemain Muda Perancis 1996, memenangi Ligue 1 pada musim 1996-1997 dan membantu Monaco mara sehingga separuh akhir dalam kejohanan Liga Juara-Juara Eropah pada musim berikutnya.

Kehebatannya beraksi bersama Monaco, telah memberikan peluang untuk Henry beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis. 

Dan, beliau terpilih untuk menjadi sebahagian daripada skuad Perancis yang memenangi Piala Dunia 1998 yang memenangi buat julung kalinya sebagai tuan rumah.

Aksinya bersama Monaco dan skuad kebangsaan telah menaikkan namanya di Eropah dan beliau berjaya meraih perpindahan ke Juventus pada Januari 1999.

Meskipun dianggap sebagai bakat yang mampu menggegar Serie A saat perpindahannya, kehadirannya di liga tersebut boleh dianggap sebagai mimpi ngeri dan bakatnya gagal untuk diterjemahkan di dalam padang.

Selain, sering diletakkan posisi sayap bertahan dan sayap tengah yang telah membataskan nalurinya untuk menjaringkan gol, di tambah pula dengan gaya permainan yang keras di Itali menjadi antara punca kegagalannya mendapatkan semula sentuhannya bersama Monaco.

Kurang setahun bersama Juventus, Henry memutuskan untuk berpindah ke kelab di mana beliau mencipta nama sebagai legenda.

“King of Highbury”

Ogos 1999 Henry menyertai Arsenal dengan nilai perpindahan sekitar 11 juta poundyang merupakan rekod kelab ketika itu. Perpindahan ini menyatukan semula beliau bersama Wenger yang menjadi mentornya ketika beraksi untuk Monaco.

Wenger tidak menunggu lama untuk menukarkan semula Henry ke posisi penyerang utama, walaupun Wenger memilih untuk meletakkannya di bahagian sayap ketika beraksi bersama Monaco.

Henry mencipta status legendanya ketika beraksi bersama Arsenal. Ketika mewakili kelab Utara London tersebut, Henry berjaya memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tiga Piala FA, selain menggondol anugerah kasut emas sebanyak empat kali.

Sudah tentu, beliau yang sinonim sebagai “King of Highbury” kerana sentuhan prolifiknya menjaringkan gol menjadi tunjang kepada skuad “The Invicible” yang berjaya mengharungi Liga Perdana Inggeris tanpa kalah selama satu musim.

Selain itu, naluri dan ketajamannya di hadapan gol, Henry juga dikenali sebagai penyerang yang ‘pemurah’ kerana rekod bantuan gol yang dicipta olehnya agak tinggi untuk seseorang yang bermain sebagai penyerang utama pasukan.

Dek kerana eksploitasinya di hadapan gol beraksi bersama The Gunners, Henry telah menjadi penjaring terbanyak The Gunners dengan menjaringkan 228 gol memecahkan rekod 185 gol yang sebelum itu dipegang oleh seorang lagi penyerang legenda Arsenal, Ian Wright.

Ketika bersama Arsenal juga, Henry diangkat sebagai pemain kedua terbaik dunia oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada 2003 dan 2004 serta menduduki tempat kedua dan ketiga Ballon d'Or pada 2003 dan 2006 di samping deretan anugerah domestik Liga Perdana Inggeris yang mengukuhkan status legendanya di liga tersebut.

Langit tidak selalu cerah buat penyerang legenda ini, penghujung karier beliau bersama Arsenal, Henry bergelut dengan kecederaan dan disisihkan selama hampir satu musim.

Beralih Angin

Setelah hampir tujuh tahun berkhidmat untuk The Gunners, perubahan hierarki kelab dan ketidaktentuan pengurusan Wenger ketika itu, Henry memilih untuk beralih angin beraksi bersama Barcelona.

Henry mengukuhkan status legendanya ketika beraksi bersama kelab Catalonia itu, apabila menjadi salah seorang ahli skuad Barcelona yang berjaya memenangi kesemua enam trofi dalam satu musim di bawah bimbingan Pep Guardiola.

Selepas tiga tahun beraksi bersama Barcelona, Henry menghabiskan sisa kariernya bersama New York Red Bulls sebuah kelab yang berpengkalan di Amerika Syarikat

Namun, kisah beliau bersama Arsenal bersambung semula apabila beliau dipinjamkan oleh New York Red Bulls pada tahun 2012 selama dua bulan.

Rekod Skuad Kebangsaan

Di samping puluhan kejayaannya bersama kelab, Henry juga mempunyai karier yang agak cemerlang bersama skuad kebangsaan Perancis.

Sementelahan, menjadi juara dunia bersama skuad Perancis pada 1998, Henry juga merupakan ahli skuad kebangsaan yang menjadi memenangi Kejuaraan Eropah pada tahun 2000.

Beliau juga merupakan penjaring terbanyak skuad kebangsaan Perancis dengan 51 gol di sebalik 123 penampilan dan mengumumkan persaraan beliau selepas Perancis tersingkir di peringkat kumpulan ketika Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Persaraan

Penghujung 2014, legenda Perancis ini memilih untuk menggantung butnya setelah kontraknya berakhir bersama Red Bulls. 

Henry memilih untuk menjadi pengulas bola sepak selepas bersara selama beberapa tahun sebelum kembali semula ke padang sebagai jurulatih bersama Belgium, dan menjadi pengurus Monaco kelab profesional pertamanya sebagai pemain sebelum menjadi pengurus Montreal Impact.

Pada 2011, bersempena meraikan ulang tahun kelab yang ke-125 tahun, Arsenal mendirikan tugu Henry di perkarangan Stadium Emirates yang meyerupai keraian gol beliau ketika menentang seteru tradisi mereka Tottenham.

Vive le roi!

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto: United Charity

Share this Post: