FOOTBALL FRIDAY: Mengenang Rasuah Bola Sepak Malaysia

FOOTBALL FRIDAY: Mengenang Rasuah Bola Sepak Malaysia

Rasuah adalah suatu salah laku jenayah atau kesalahan undang-undang melibatkan seseorang yang mendapat kebebasan, kontrak, keistimewaan atau keuntungan daripada pihak tertentu selepas memberi imbuhan kepada pihak yang menawarkannya. Sukan bola sepak Malaysia juga tidak terlepas daripada kontroversi rasuah. Paling dikenang adalah apabila arena bola sepak Malaysia terpalit dengan isu rasuah pada tahun 1994 yang melibatkan kelompok dan individu tertentu. Sehingga hari ini, kegiatan rasuah dalam dunia bola sepak sentiasa dititikberatkan agar sejarah tidak berulang lagi dan imej sukan ini akan berkesinambungan dengan lebih telus.

Sukan bola sepak Malaysia dikejutkan dengan kes rasuah besar-besaran yang berlaku pada tahun 1994 dan menjadi antara sebab utama kejatuhan sukan bola sepak di Malaysia. Seramai lebih seratus pemain dan jurulatih telah disoal siasat kerana disyaki terlibat mengatur keputusan perlawanan bola sepak dalam kejohanan tempatan seperti Liga Perdana dan Piala Malaysia. Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan sukan bola sepak di Malaysia ketika itu. Selain daripada mengalami prestasi yang merudum, pasukan Malaysia juga hampir lumpuh setelah kehilangan kelompok pemain terbaik dan sedang meningkat naik kerana terlibat dengan kes rasuah tersebut.

Semuanya bermula apabila bekas Setiausaha Agung Football Association Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad pada ketika itu yang menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) membuat laporan polis berhubung gejala rasuah dalam bola sepak Malaysia sekitar tahun 1994 dan 1995. Beliau mendedahkan rasa hairan dan syak ke atas sesuatu selepas beberapa orang penyokong di Stadium Bandaraya telah menunjukkan isyarat jari berkaitan keputusan perlawanan. Selain itu, beliau juga mendengar jeritan suara daripada penyokong yang menyebut nama pemain yang akan dihukum kad kuning dan kad merah. Ekoran situasi yang berlaku ketika itu, beliau telah melakukan siasatan secara sendirian pada peringkat awal sebelum melaporkan perkara itu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk melakukan siasatan dengan lebih terperinci.

Gejala ini melibatkan banyak pihak yang terdiri daripada pemain, jurulatih, dan barisan pengurusan pasukan daripada beberapa pasukan. Bermula kes di Pulau Pinang, akhirnya terbongkar semua rahsia berkaitan keputusan perlawanan yang sudah diatur sebelum perlawanan bermula. Perkara ini diperakui sendiri oleh pengurus pasukan Perak, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan pengurus pasukan Selangor, Datuk Mohd Aini Taib yang menyatakan bahawa mereka berasa terkejut dengan kes ini dan mengalami situasi yang amat berat selepas kehilangan beberapa pemain tonggak pasukan yang dilarang untuk bermain ketika siasatan sedang dijalankan. Hampir setiap pasukan dari setiap negeri mempunyai beberapa orang pemain dan staf pengurusan yang terbabit dengan skandal rasuah ini.

Sudah terang lagi bersuluh, gejala rasuah ini menghancurkan sikit demi sedikit  prestasi pasukan bola sepak di negara ini. Hukuman yang dikenakan telah merencatkan aksi pasukan setelah kehilangan ramai pemain utama, memaksa untuk menggunakan khidmat pemain muda yang tidak berpengalaman bahkan ada beberapa pasukan yang hampir lumpuh. Pemain tidak lagi fokus untuk bermain bola sepak untuk mencapai kejayaan tetapi hanya bermain demi ganjaran atau keuntungan yang ditawarkan. Selain daripada kesan terhadap aksi pasukan, kes rasuah juga mengakibatkan ranking pasukan Malaysia merudum daripada berada di ranking 75 pada tahun 1993 ke tangga 106 pada tahun 1995.

Mengulas lanjut punca berlakunya gejala tidak bermoral ini, Datuk Ahmad Zainuddin Raja Omar menafikan budaya rasuah dalam bola sepak Malaysia berlaku disebabkan oleh masalah gaji, taraf hidup atau kebajikan para pemain. Beliau percaya pemain dan jurulatih yang terlibat dengan skandal rasuah ini mempunyai keinginan untuk mengejar kemewahan, sikap tamak dan faktor sekeliling yang mendorong para pemain seperti pengaruh pelawaan rakan sepasukan, tawaran minit permainan dan keghairahan memungut harta benda sehingga lupa pada tanggungjawab sebagai seorang pemain bola sepak. Rangkaian pemain dari pasukan yang berlainan di seluruh negara menjadi pendukung kuat kepada gejala rasuah ini. Para pemain saling berinteraksi di luar padang secara bersemuka atau di atas talian untuk mengatur perlawanan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenakan hukuman terhadap para pemain dan jurulatih di bawah Akta Kediaman Terhad yang menyaksikan seramai 26 pemain dibuang daerah. Sementara itu, Lembaga Disiplin FAM pula menggantung penyertaan mereka daripada sukan bolesepak kepada lebih 50 pemain untuk tempoh masa beberapa tahun mengikut hukuman kesalahan yang dilakukan. Ada juga dalam kalangan pemain yang telah dihukum gantung sepanjang hayat daripada aktiviti sukan bola sepak di Malaysia. Antara nama pemain-pemain yang menerima hukuman itu adalah Matlan Marjan, Faridzuan Che Hamid, P. Ravindran, Karim Pin dan ramai lagi.

Pada tahun 2016, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapat kata sepakat untuk memberi pengampunan kepada pemain yang pernah digantung dan dihalang untuk terlibat dalam sukan yang melibatkan bola sepak di bawah kelolaan FAM sejak tahun 1994. Keputusan itu dibuat bagi membolehkan mereka yang dihukum dahulu terlibat semula dalam bola sepak. Pihak FAM juga membuat keputusan itu untuk membuka ruang serta memberi peluang kepada bekas pemain tersebut mencurah bakti kepada generasi muda di samping melahirkan pemain berkualiti kepada negeri dan negara pada masa hadapan.

Adakah rasuah masih berlaku dalam bola sepak pada hari ini? Persoalan ini sentiasa timbul dalam kalangan peminat di samping pihak FAM juga sangat waspada dan memantau secara serius untuk membendung gejala negatif ini daripada berlaku kembali. Kes rasuah yang berlaku pada tahun 1994 tidak menjadi pengajaran kepada pasukan-pasukan tempatan yang lain. Hal ini disebabkan oleh kejadian rasuah yang melibatkan pasukan Kuala Lumpur pada tahun 2014 di mana ketua jurulatih, penolong pengurus dan pegawai pasukan utama telah digantung seumur hidup daripada sukan bola sepak dan didenda sebanyak RM20,000 kerana disahkan bersubahat. Seramai 17 orang pemain pula telah didenda sebanyak RM5,000 tiap seorang. Terdapat beberapa lagi peristiwa kes rasuah berkait rapat dengan bola sepak seperti kes rasuah melibatkan pasukan di liga daerah dan pengadil-pengadil bola sepak yang mengatur perlawanan pada tahun 2012.

Pihak kerajaan telah memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk kecemerlangan sukan bola sepak di negara ini. Selain penggunaan bajet yang besar untuk kemajuan sukan bola sepak, pihak FAM juga mendapat sokongan dan bantuan agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan meneliti dan memberi perhatian khusus untuk memastikan gejala ini tidak akan berlaku. Misalnya, setiap pemain akan disiasat terlebih dahulu segala maklumat peribadi termasuklah pendapatan yang diraih selain daripada sukan bola sepak. Pihak FAM juga memberi amaran kepada semua pihak supaya lebih berintergriti dan bertanggungjawab kerana pihak FAM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terpalit dengan skandal rasuah.

Sebagai salah seorang peminat bola sepak, penulis juga beranggapan bahawa gejala rasuah yang berlaku dalam kalangan individu yang terlibat dalam sukan bola sepak adalah berpunca daripada faktor sekeliling. Undang-undang yang kurang tegas, hukuman yang ringan dan tawaran wang ringgit yang tinggi mampu menghakis rasa hormat terhadap sukan bola sepak di negara ini. Pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan khususnya harus memainkan peranan penting mengasuh anak muda sejak dari zaman persekolahan dan mengingatkan komuniti tentang bahayanya gejala rasuah serta kesan negatif kepada pembangunan sukan bolasepak pada masa hadapan. Jawatankuasa FAM yang merupakan badan induk sukan tersebut juga perlu lebih tegas terhadap semua pasukan serta memperuntukkan undang-undang yang lebih ketat kepada pesalah sekiranya didapati bersalah.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone.

Foto: Alamy / REUTERS

Share this Post: