FOOTBALL FRIDAY: Elitis dalam Bola Sepak dan #KroenkeOut

FOOTBALL FRIDAY: Elitis dalam Bola Sepak dan #KroenkeOut

Tidak dinafikan sukan merupakan salah satu industri antara yang amat menguntungkan dalam dunia sekarang. Sejak 2014, industri ini telah berkembang pada kadar 4.3 peratus setahun dan nilainya mencecah hampir USD500 bilion pada 2020.

Di benua Eropah sahaja, nilai sukan bola sepak dianggarkan bernilai sekitar USD30 bilion dolar US pada musim 2018/2019. Tidak hairanlah apabila para jutawan dari seluruh dunia berlumba-lumba mahu memiliki kelab bola sepak yang berpengkalan di Eropah serta menjadikan kelab-kelab ini sebagai ‘lubuk emas’ untuk melipatgandakan kekayaan.

Jika dilihat kepada pemilikan kelab bola sepak di Liga Perdana Inggeris, liga bola sepak yang paling bernilai di Eropah, hampir kesemua kelab dimiliki oleh jutawan dari negara luar seperti Amerika Syarikat, negara-negara Arab, China malah ada juga yang dimiliki oleh jutatawan dari negara yang berjiran dengan Malaysia, Thailand.

Walaupun di atas kertas, pemilikan dan pelaburan oleh jutawan-jutawan dari seluruh dunia ini banyak membantu menaikkan kualiti, fasiliti dan pembangunan sesebuah pasukan (YA, kenyataan yang boleh dipertikaikan sesetengah kelab!), ia juga umpama bom jangka yang pada bila-bila masa sahaja boleh meletup.

Liga Super Eropah

18 April 2021, dunia bola sepak digegarkan dengan satu pengumuman, apabila 12 kelab bola sepak dari tiga buah negara Eropah, enam dari England “(The Big Six)”, tiga dari Sepanyol dan tiga  dari Itali bersetuju untuk membentuk “breakaway league” atau Liga Super Eropah (ESL) yang terpisah daripada hierarki bola sepak di bawah kelolaan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Pengumuman mengejut ini menepati ramalan yang dikatakan pada 2009 oleh pengurus legenda Arsenal yang juga dianggap profesor dalam bola sepak, Arsene Wenger, yang mengatakan sebuah liga akan ditubuhkan oleh kelab-kelab elit kaya untuk memastikan mereka sentiasa menikmati keuntungan tanpa campur tangan pihak ketiga dalam tempoh satu dekad lagi. 

Tujuan liga ini ditubuhkan adalah untuk memecahkan dominasi UEFA yang memonopoli dan dikatakan gagal untuk memaksimumkan keuntungan yang mampu dijana oleh bola sepak Eropah serta gagal membantu kelab-kelab besar yang bergelut akibat Pandemik Covid-19.

Liga yang akan beroperasi seperti liga-liga sukan di Amerika Syarikat (closed league) di mana tiada sistem kenaikan dan penurunan (promotion and relegation), bakal menyaksikan 15 buah kelab pengasasnya kekal layak pada setiap musim serta akan turut disertai lima lagi kelab lain dari Eropah yang dijemput berdasarkan prestasi mereka di liga domestik.

Kelab yang menyertainya pula akan menerima bayaran solidariti tanpa had bergantung kepada pendapatan yang dijana oleh liga tersebut pada setiap musim. Perkara ini merupakan faktor utama yang menjadi daya penarik kepada kelab-kelab ini yang ikut bersetuju membentuk ESL.

Penubuhan ESL ternyata menimbulkan rasa tidak puas hati. UEFA dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dengan keras mengugut kelab-kelab yang terlibat dengan risiko digantung daripada menyertai sebarang kejohanan anjuran mereka dan pemain mereka juga akan digantung sekiranya mereka berminat untuk meneruskan penubuhan liga ini.

Bantahan juga diterima daripada seluruh lapisan masyarakat Eropah daripada bekas pemain, bekas jurulatih, ahli politik dan peminat khususnya di England yang menganjurkan demonstrasi menuntut kelab mereka menarik balik penyertaan daripada liga tersebut.

Malah, pemain dan jurulatih daripada kelab yang terlibat juga membantah (seperti yang berlaku di Liverpool dan Manchester City) dan menganggap penubuhannya sebagai membunuh persaingan dan semangat kesukanan yang sekian lama menjadi prinsip bola sepak di Eropah.

Sementelahan, bayaran durian runtuh yang bakal diterima oleh kelab yang menyertai ESL juga kekal berlegar sesama mereka dan hanya akan menguntungkan pemilik kelab dan akan membunuh pembangunan akar umbi bola sepak. Pada masa yang sama, ia turut melebarkan lagi jurang khususnya dari segi kewangan di antara kelab-kelab elit yang menyertai ESL dengan kelab-kelab bawahan yang tidak bermain di ESL.

Ya, satu ironi untuk liga yang ditubuhkan dengan bertujuan memecahkan monopoli UEFA dan FIFA yang mengawal kewangan dan penajaan kejohanan yang diterima, tetapi memilih untuk memonopoli status ‘elit’ serta bermain sesama mereka dengan memberikan alasan untuk menyelamatkan bola sepak Eropah yang terkesan akibat pandemik yang melanda.

Tidak dinafikan, kegagalan UEFA dan FIFA dalam isu pembahagian keuntungan bersama kelab di bawah naungan mereka menjadi punca utama krisis ini berlaku yang diburukkan lagi oleh pandemik yang melanda. Sebaliknya, peminat dari luar Eropah khususnya dari benua Asia dan Amerika pula ada yang berpendapat penubuhan ESL merupakan sesuatu yang segar dan baru selain memberikan mereka peluang menyaksikan “big match” pada setiap minggu.

Sesuatu yang kelakar untuk difikirkan bagaimana menjadikan big match setiap minggu seperti Barcelona melawan Juventus, Manchester United menentang Real Madrid dan Arsenal melawan Atletico Madrid misalnya akan menjadikannya sesuatu yang kekal ‘istimewa’ pada setiap musim. Umpama menjadikan ketupat, lemang dan rendang - juadah yang sinonim dengan hari raya sebagai makanan yang dimakan sehari-hari - sudah tentu akan hilang keistimewaan hidangan tersebut andai diperlakukan sedemikian.

Akhirnya, selepas kira-kira 48 jam pembentukan ESL diumumkan, kesemua kelab Inggeris yang bersetuju menyertainya menarik diri daripada liga tersebut setelah mendapat bantahan besar-besaran termasuk daripada pihak kerajaan United Kingdom sendiri.

Dan, akhirnya ESL terkubur dengan satu demi satu kelab menarik semula penyertaan mereka hasil desakan dan bantahan yang dilakukan oleh penyokong mereka.

#KroenkeOut!

Sebagai Gooners, keterlibatan The Gunners dalam menyokong pembentukan ESL adalah bertentangan dengan motto kelab “Victoria Concordia Crescit” (Kemenangan melalui Harmoni), dan merupakan satu pengkhianatan kepada penyokong Arsenal.

Benar Arsenal sekarang sedang melalui satu tempoh yang sukar di luar padang dan prestasi The Gunners yang tidak konsisten di dalam padang juga mengundang keresahan peminat. 

Bukan untuk menafikan kepentingan perniagaan dan kestabilan kewangan yang diperlukan kelab, tetapi dengan mengambil jalan mudah untuk memperolehi kejayaan dan hanya berpaksikan keuntungan semata-mata seumpama perlakuan pengecut yang memakai padding dan menggunakan tangan ketika bermain “bola sepak”.

Keindahan bola sepak dibina atas tangisan kekecewaan ketika mengalami kekalahan, dan laungan kegembiraan ketika mengecapi kemenangan serta kejayaan, bukan melalui keuntungan semata-mata yang hanya memenuhkan kantung sang pemilik yang haloba.

Akhir kata, kepada Kroenke berambuslah dari Arsenal, kembalilah ke Amerika. Pergilah bermain bersama sekumpulan biri-biri yang memakai padding ketika bermain “bola sepak”! #KROENKEOUT!

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau percaya sukan adalah milik anak semua bangsa, bukan bangsawan elit semata-mata. #KroenkeOut

Foto: AFP / Getty Images

Share this Post: