FOOTBALL FRIDAY: Dermawan Bola Sepak

FOOTBALL FRIDAY: Dermawan Bola Sepak

Bola sepak tidak dinafikan adalah antara sukan paling lumayan, dengan setiap liga utama dalam dunia menjana sehingga berbillion ringgit. Pemain-pemainnya juga terutamanya di Eropah turut meraih pendapatan yang amat lumayan daripada sukan ini.

Di sebalik pendapatan lumayan yang kadangkala tidak masuk akal, ramai dalam kalangan pemain yang tidak lupa diri, dan mengekalkan budi pekerti tinggi. Pemain-pemain bola sepak profesional dalam dunia tidak hanya aktif di atas padang, sebaliknya juga terkenal sebagai dermawan utama dunia, dengan ramai yang menyumbang dana bantuan kepada badan-badan sosial kebajikan pilihan masing-masing.

Antara pemain yang terkenal dengan kerja bakti buat komuniti setempat ialah bekas pemain kebangsaan Ghana dan kelab EPL Chelsea iaitu Michael Essien.

Pemain yang pernah dibimbing oleh jurulatih The Special One, Jose Mourinho ini merupakan pengasas kepada persatuan kebajikan yang ditubuhkan olehnya sendiri iaitu “Michael Essien Foundation” yang tertumpu di negara kelahirannya Ghana. Beliau aktif melibatkan diri dalam kerja amal seperti menyediakan bantuan fasiliti kesihatan, sumber air, tandas awam, dan perpustakaan untuk kegunaan masyarakat sekeliling.

Seterusnya ialah pemain Arsenal yang digantung tanpa bertali oleh kelab utara London itu sejak tahun 2019 berikutan isu etnik Uighur yang pernah disuarakannya, Mesut Özil.

Antara yang diingati adalah apabila beliau dengan bermurah hati mengeluarkan dana sebanyak £237,000 bagi membiayai pembedahan kanak-kanak di Brazil.

Beliau juga menderma £80,000 kepada umat Islam yang terkesan dengan pandemik Covid-19 di samping menyediakan juadah berbuka puasa di Turki dan Syria serta menyediakan makanan buat 100,000 gelandangan.

England juga mempunyai pemain-pemain yang sering terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti bekas kapten pasukan Aston Villa iaitu Gareth Barry.

Beliau pernah menyumbang sebanyak £20,000 pound kepada badan kebajikan milik rakan sepasukannya James Milner dan Stiliyan Petrov. James Milner mempunyai pusat kebajikan masyarakat yang memfokuskan kepada kesedaran orang muda di United Kingdom untuk terlibat dalam aktiviti rekreasi yang sihat. Sementara Stiliyan Petrov pula mempunyai pusat rawatan penyakit kronik di Bulgaria.

Pemain England yang seterusnya ialah pemain sensasi berwajah tampan, David Beckham. Sehingga hari ini beliau terus aktif bersama United Nations Children’s Fund (UNICEF) yang memperjuangkan kebajikan kanak-kanak di seluruh dunia.

Beliau dan isterinya, Victoria turut menubuhkan sebuah yayasan sendiri yang diberi nama Victoria and Beckham Charitable Trust. Beliau juga giat berkempen untuk mendapatkan dana kebajikan khas kepada kumpulan vateran askar yang cedera selepas pulang berkhidmat di negara konflik seperti di Iraq dan Afghanistan.

Bekas pemain Ivory Coast, Didier Drogba juga mempunyai khidmat bakti kepada manusia sejagat. Imej dan personaliti yang dimilikinya dikagumi dan dihormati masyarakat di benua Afrika dan negaranya sendiri.

Beliau pernah menjadi orang tengah yang berusaha memujuk dua belah pihak di selatan dan utara Ivory Coast untuk berdamai setelah berperang sesama sendiri sekian lama. Beliau merayu supaya pihak kerajaan ketika itu bersama rakyat jelata berganding bahu dan bersatu hati memastikan negara Ivory Coast layak diri ke Piala Dunia 2006.

Pemain seterusnya ialah pemilik 6 kali trofi dan gelaran Ballon d’ Or iaitu Lionel Andres Messi. Pemain yang dibayar gaji sebanyak RM27,496,368.92 setiap bulan ini merupakan duta jenama UNICEF.

Beliau juga kerap turun padang untuk berkempen dalam usaha membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan di Nepal, Bangladesh dan Indonesia. Antara kempen yang disertainya ialah Reach Out to Asia. Selain daripada mengawasi kebajikan, pendidikan dan perubatan kanak-kanak, beliau juga memulihkan hospital kanak-kanak di Rosario, Argentina.

Pesaing utamanya Cristiano Ronaldo juga merupakan idola dan ikon bagi masyarakat di seluruh dunia kerana menjadi penyumbang normbor satu kepada badan amal yang berbeza agama dan bangsa.

Aktiviti sosialnya telah mendapat pengiktirafan Athlete Gone Good Charity pada tahun 2015. Beliau juga pernah menanggung kos pembedahan sebanyak US$83,000 untuk kanak-kanak berusia 10 bulan bernama Erik Cruz dari Sepanyol yang menghadapi penyakit otak. Kasut emas yang dimenanginya pada tahun 2011 juga pernah dilelong dan hasilnya digunakan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.

Bekas penyerang pasukan Manchester City dan Liverpool iaitu Mario Balotelli terkenal sebagai seorang antagonis di atas padang. Beliau dianggap sebagai seorang budak nakal yang penuh dengan kontroversi.

Hakikatnya, beliau amat disegani oleh peminat-peminatnya sehingga mendapat gelaran Super Mario kerana bersikap murah hati dan berwibawa. Beliau sering menyumbangkan separuh dari pendapatannya demi kelangsungan badan-badan amal di Eropah khususnya.

Sadio Mane adalah nama yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat pasukan yang berpangkalan di daerah barat England, Liverpool. Pemain kelahiran Bambali, Senegal ini seorang pemain beragama Islam yang terkenal di negaranya kerana sering memberi sumbangan wang kepada keluarga yang kurang berkemampuan dan hadiah kepada kanak-kanak.

Selain daripada membina sekolah di kampung halamannya, Sadio Mane juga telah membina hospital kerana dipengaruhi kisah keluarganya apabila bapanya yang merupakan seorang imam meninggal dunia 20 tahun lalu disebabkan oleh ketiadaan hospital bagi mendapatkan rawatan.

Seorang lagi pemain bintang berhati dermawan daripada benua Afrika yang bermain untuk pasukan Liverpool ialah pemain kebangsaan Mesir iaitu Mohamed Salah.

Beliau telah membina sebuah loji kumbahan, membina sekolah khas untuk pelajar perempuan, membeli sebuah ambulans baru dan menghadiahkan peralatan sukan kepada kelab sukan di Nagrig, Basyoun dan Mesir dengan menggunakan wang poketnya sendiri. Beliau juga pernah membayar semua kenderaan pelanggan yang mengisi minyak petrol di stesen minyak Sainsbury, United Kingdom pada tahun ini.

Ramai lagi pemain-pemain bola sepak bertaraf bintang di dunia yang sering menyalurkan bantuan kemasyarakatan kepada komuniti setempat sama ada di negara kelahiran sendiri atau di tempat mereka menetap. Sekurang-kurangnya, di sebalik pendapatan lumayan yang dijana melalui sukan ini, kita boleh menarik nafas lega apabila melihat ikon-ikon ini berkongsi lubuk emas tersebut bersama orang yang memerlukannya.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone

Foto hiasan ihsan Butler Collegian

Share this Post: