FOOTBALL FRIDAY: 10 Pasangan Adik-beradik di Padang Eropah

FOOTBALL FRIDAY: 10 Pasangan Adik-beradik di Padang Eropah

Bukan perkara asing lagi dalam dunia bola sepak di Eropah khususnya, untuk melihat kelibat pemain yang mempunyai saudara kandung terlibat secara langsung sebagai pemain yang beraksi samada dalam kelab yang sama atau sama sekali dalam saingan liga yang berbeza. Jika bermain dalam kelab atau liga berbeza negara, kebiasaannya atas faktor penghijrahan, pilihan kewarganegaraan dan lain-lain.

Gary dan Phil Neville 

Antara nama pemain bersaudara yang paling terkenal hingga ke hari ini adalah bekas pertahanan England, Gary Neville dan adiknya Phil Neville. Pada 2 Februari 2011 Gary Neville mengumumkan persaraannya dalam sukan bola sepak profesional. Kini beliau masih terlibat dalam dunia bola sepak, bukan lagi sebagai pemain tetapi hanya sebagai pundit Sky Sports, sebuah rancangan televisyen yang membincangkan hal berkenaan bola sepak. Adiknya Phil Neville pula kini bertugas sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak perempuan England. Kedua-dua mereka memulakan karier bola sepak bersama pasukan Manchester United, dengan Gary Neville kekal hanya bermain dengan Manchester United sepanjang kariernya, manakala Phil Neville memilih untuk berpindah ke pasukan Everton pada tahun 2005. Menariknya kedua-dua pemain ini pernah dilantik sebagai kapten pasukan masing-masing dan beberapa kali bertemu di atas padang dalam saingan liga.

Rio dan Anton Ferdinand

Seorang lagi bekas pemain pasukan Manchester United, Rio Ferdinand turut mempunyai saudara yang terlibat dalam sukan bola sepak, iaitu Anton Ferdinand. Kedua-dua mereka uniknya bermain di posisi yang sama iaitu pertahanan tengah. Rio Ferdinand pernah mewakili pasukan West Ham, Bournemouth, Leeds United, Manchester United, dan Queens Park Rangers sementara adiknya Anton Ferdinand pula pernah menyarung jersi banyak pasukan seperti West Ham, Queens Park Rangers, Antalyaspor, Police United, Reading, Southend United dan St Mirren. Karier antarabangsa Anton Ferdinand hanyalah bersama pasukan England bawah-23 berbanding Rio Ferdinand yang pernah menjadi pemain utama pasukan England di samping David Beckham, John Terry, Steven Gerrard, dan Wayne Rooney. Beliau kini menjadi pengulas bola sepak di rancangan televisyen BT Sports manakala Anton Ferdinand pula kini tidak mewakili mana-mana pasukan bola sepak.

Hamit dan Halil Altintop

Pemain seterusnya ialah saudara kembar beragama Islam iaitu Hamit Altintop dan Halil Altintop yang dilahirkan pada 8 Disember 1982. Mereka berdua merupakan pemain bola sepak kebangsaan Turki walaupun dilahirkan di Jerman. Karier bola sepak mereka bermula di pasukan kelab yang berbeza. Hamit boleh dianggap pemain yang lebih berjaya berbanding adiknya Halil. Hal ini disebabkan oleh penyertaannya bersama pasukan-pasukan yang lebih besar seperti Bayern Munich, Real Madrid dan Galatasaray. Sementara Halil pula hanya pernah mewakili pasukan kelab pertengahan liga Jerman seperti Shalke 04 dan Eintracht Frankfurt. Halil kini berkhidmat sebagai penolong jurulatih pasukan bola sepak Bayern Munich bawah 16 tahun, manakala Hamit pula bersara dari bola sepak dan pulang ke negara Turki untuk menghabiskan masa bersama keluarganya.

Kolo dan Yaya Toure

Sepasang lagi pemain bersaudara yang terkenal berasal dari Ivory Coast dan juga merupakan pemain beragama Islam. Mereka ialah Kolo Toure dan Yaya Toure. Pencapaian mereka agak hebat di Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana kedua-duanya pernah memenangi kejuaraan liga bersama pasukan yang berlainan. Kolo meraih gelaran juara EPL bersama Arsenal dan Manchester City, manakala adiknya Yaya pula pernah menjuarai liga Sepanyol bersama pasukan Barcelona dan turut memenangi piala EPL bersama pasukan Manchester City sebanyak 3 kali. Pada peringkat antarabangsa, kedua-dua mereka bermain untuk Ivory Coast dan turut memenangi piala negara Afrika pada 2015. Kolo Toure kini bertugas sebagai jurulatih pasukan utama Leicester City di bawah pengurusan Brendan Rodgers manakala Yaya Toure pula masih giat bermain bersama pasukan kelab di negara China iaitu Qiangdao Huanghai.

Lars dan Sven Bender

Bola speak Eropah masih terus diwarnai dengan pemain bersaudara sehingga hari ini. Antaranya adalah Lars dan Sven Bender, pasangan kembar yang berasal dari daerah Rosenheim, Jerman. Kedua-duanya masih aktif bermain di Bundesliga untuk Bayer Leverkusen. Kedua-dua mereka sentiasa bermain untuk pasukan yang sama sejak bakat mereka dicungkil oleh 1860 Munich. Bagaimanapun, Sven Bender membawa haluan sendiri dengan menyertai pasukan Borrusia Dortmund pada tahun 2009, meninggalkan Lars untuk kekal di Bayer Leverkusen dan liga tempatan Jerman.

Kevin-Prince dan Jerome Boateng

Ada juga kes unik yang bukan sahaja terpisah akibat perpindahan, sebaliknya juga pilihan kewarganegaraan, antaranya ialah Kevin-Prince dan Jerome Boateng. Kedua-dua mereka berasal daripada Jerman tetapi Kevin-Prince mewakili pasukan kebangsaan Ghana, selepas memilih kerakyatan bapa mereka, manakala Jerome kekal bersama pasukan Jerman. Kevin-Prince tidak asing dalam arena bola sepak Eropah, dengan pengalaman bermain di posisi tengah menyerang bersama hampir 12 pasukan seperti AC Milan, Borussia Dortmund, Barcelona dan banyak lagi. Jerome pula hanya pernah menandatangani kontrak bersama 4 buah pasukan iaitu Hertha Berlin, Hamburger, Manchester City dan kini Bayern Munich. Kevin-Prince mencuri tumpuan masyarakat di Eropah kerana selain bermain bola sepak, beliau juga aktif menari dan menyanyi hingga pernah muncul membuat persembahan dalam rancangan World Star Hip Hop pada tahun 2018.

Eden dan Thorgan Hazard

Belgium juga memiliki pemain bersaudara dalam pasukan kebangsaan mereka; Eden Hazard dan Thorgan Hazard. Eden sememangnya telah lama diiktiraf sebagai seorang pemain bintang di Eropah, dan kini adiknya Thorgan yang semakin meningkat naik bersama Borussia Dortmund. Eden Hazard mempunyai statistik yang agak cemerlang sewaktu bersama pasukan Lille di negara Perancis dan pasukan Chelsea di negara England sebelum kini sedikit bergelut untuk mempamerkan aksi sebenar bersama pasukan gergasi Sepanyol Real Madrid yang disertainya pada tahun 2019. Eden Hazard pernah tercalon untuk anugerah Fifa Ballond d’Or pada tahun 2015 dan 2018, dan turut memenangi anugerah Belgian Sportsman of the year pada tahun 2018. Thorgan pula bermula agak perlahan di usia remaja tetapi semakin mendapat perhatian walaupun kini sudah berusia 27 tahun. Eden

Granix dan Toulant Xhaka

Dalam saingan EPL, pasukan Arsenal juga memiliki pemain bersaudara yang masih aktif bermain. Beliau adalah pemain utama pasukan Arsenal iaitu Granix Xhaka. Beliau tiba di Arsenal pada tahun 2016 selepas perpindahan dari pasukan Borussia Monchengladbach. Abangnya Toulant Xhaka pula bermain untuk pasukan Basel di Switzerland. Seperti pasangan Boateng, Granix adalah pemain kebangsaan untuk Switzerland manakala Toulant pula bermain untuk pasukan Albania walaupun di usia remaja beliau pernah bersama Switzerland. Granix pernah menerima anugerah Credit Suisse Player of the year pada tahun 2017 sementara Toulant pula belum memenangi sebarang anugerah individu dalam dunia bola sepak.

Thiago dan Rafinha Alcantara

Pada tahun 2020, pasukan yang berpengkalan di barat laut England iaitu Liverpool telah menandatangani kontrak pembelian pemain Thiago Alcantara daripada Bayern Munich. Thiago mempunyai seorang adik yang masih bermain untuk pasukan Paris Saint Germain di Perancis, Rafinha Alcantara. Untuk satu ketika, mereka pernah bersama pasukan Barcelona di Sepanyol. Thiago memilih untuk mewakili Sepanyol, manakala Rafinha pula lebih selesa untuk bersama Brazil. Teknik dan gaya permainan kedua-dua pemain ini sememangnya mengagumkan. Tentu sekali bakat mereka diwarisi dari bapa mereka, Iomar do Nascimento, bekas pemain kebangsaan Brazil dan pernah menjulang Piala Dunia pada tahun 1994.

Rafael dan Fabio da Silva

Brazil turut melahirkan pasangan kembar Rafael dan Fabio da Silva, yang pernah mencuri tumpuan dunia kerana memiliki kebolehan yang sangat baik walaupun masih di usia remaja. Kedua-duanya diserap sebagai pemain kebangsaan namun sejak akhir-akhir ini nama mereka tidak lagi tersenarai. Mungkin hal ini disebabkan oleh kemerosotan aksi di atas padang. Karier mereka bermula bersama kelab tempatan Brazil iaitu Fluminense sebelum dirisik dan dipinang oleh Manchester United. Ketika di England, mereka bermula dengan langkah positif sebagai pemain muda yang berbakat. Segala-galanya berubah ketika mereka beralih angin dan berpindah ke pasukan lain selepas persaraan Sir Alex Ferguson.

Dengan begitu ramai saudara kandung, malah pasangan kembar yang dirakam oleh sejarah permainan bola sepak, menimbulkan persoalan yang menarik; adakah fenomena ini lahir dari bakat semula jadi atau faktor individu di sekeliling yang menyebabkan mereka cenderung ke arah sukan bola sepak? Persoalan ini sememangnya akan terus menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak di seluruh dunia.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone

Foto hiasan ihsan The Sun UK

Share this Post: