Saya suka satu analogi yang digunakan oleh pemikir Stoic. Mereka menggunakan pemanah sebagai analogi untuk kehidupan. Bayangkan anda seorang pemanah, anda berlatih setiap hari untuk jadi pemanah yang bagus.
Tetapi, realitinya, setiap kali anda memanah, panah yang bergerak ke sasaran akan dipengaruhi oleh faktor luaran. Ia mungkin dipengaruhi cuaca dan angin. Mungkin anda sendiri yang buat silap. Panah tersebut sendiri mungkin patah sebelum capai ke sasaran.
Akhirnya, panah tersebut mungkin sampai ke sasaran, mungkin tidak.
Inilah realiti kehidupan. Ada perkara yang kita boleh kawal, ada perkara yang kita tak boleh kawal. Soalannya, apa reaksi kita bila kita faham hal ini?
Bagi Antipater dan Cicero, manusia yang bagus ialah mereka yang cuba sedaya upaya untuk capai sasaran mereka, tapi kebahagiaan mereka tidak terletak kepada hasil.
“Take the case of one whose task it is to shoot a spear or arrow straight at some target. One’s ultimate aim is to do all in one’s power to shoot straight, and the same applies with our ultimate goal. In this kind of example, it is to shoot straight that one must do all one can; none the less, it is to do all one can to accomplish the task that is really the ultimate aim. It is just the same with what we call the supreme good in life. To actually hit the target is, as we say, to be selected but not sought.” -Cicero
Apa yang penting adalah mereka telah memanah dengan bagus, sama ada panah tersebut kena atau tidak pada sasarannya, itu berada di luar kawalan manusia tersebut.
Bak kata Epictetus,
“Make the best use of what is in your power, and take the rest as it happens. Some things are up to us and some things are not up to us.” - Epictetus
Analogi ini mengajar kita untuk fokus pada perkara yang kita boleh kawal dan elakkan dari terlampau fokus pada matlamat. Hal ini kerana matlamat juga dipengaruhi oleh perkara yang kita tak boleh kawal.
Cintakan Proses, Bukan Hasil
Scott Adams, seorang pelukis komik, ada menulis di dalam buku beliau How to Fail at Almost Everything and Still Win Big iaitu mereka yang fokus kepada matlamat ialah seorang yang kalah. Kenapa?
Bagi beliau, kita perlu bezakan antara proses dan matlamat. Matlamat ialah objektif yang kita cuba capai pada masa akan datang. Proses pula ialah tindakan yang kita lakukan untuk tingkatkan peluang capai matlamat.
Kenapa mereka yang fokus pada matlamat sahaja dianggap sebagai orang kalah oleh Scott Adams?
Beliau berpendapat mereka yang fokus pada matlamat sentiasa berada dalam keadaan “gagal” atau “belum berjaya”. Ini bermaksud, mereka akan sentiasa kecewa dengan keadaan mereka sekarang.
Mereka yang fokus pada proses pula, mereka akan rasa berjaya setiap kali mereka berjaya lakukan sesuatu untuk capai sesuatu matlamat. Ini memudahkan mereka untuk berada di jalan yang betul untuk capai matlamat.
Pemikiran ini berkait rapat dengan hal motivasi. James Clear, penulis buku Atomic Habits ada menuliskan, antara sebab mengapa kita susah konsisten dengan tabiat baik ialah kita terlalu fokus pada matlamat, kemudian kecewa apabila kita belum pun mencapai matlamat tersebut. Kita mahukan perubahan yang cepat, kita mahukan jalan pintas, kemudian bila gagal, kita terus membuang tabiat tersebut.
Untuk pastikan kita konsisten lakukan proses yang betul untuk capai matlamat, kita perlulah rasa gembira dengan tindakan yang kita berjaya lakukan, tidak kiralah sekecil manapun tindakan tersebut. Ini apa yang dipanggil oleh Scott Adams dan James Clear sebagai “small wins.”
Untuk berjaya, pastikan kita tahu ada perkara yang kita boleh kawal dan ada perkara yang kita tak boleh kawal. Kemudian, jangan terlalu fokus pada matlamat. Kita perlukan motivasi untuk terus kedepan.
Apa yang penting ialah kita sentiasa cuba jadi lebih baik dari semalam, Insha Allah.
Notakaki adalah seorang penulis yang mencari jawapan kepada soalan-soalan yang berlegar dalam kepala.
Foto: istockphoto
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.