I
Wujudkah ‘feudalisme Melayu’? Apakah sikap menghormati dan mendahulukan raja dan pembesar itu menunjukkan ketinggian adab tradisi Melayu atau ia sebenarnya warisan feudalisme Melayu?
Ada sarjana yang keras tidak bersetuju dengan istilah tersebut kerana memburuk-burukkan sistem kemasyarakatan tradisi Melayu. Baginya ia menunjukkan tertawan dengan warisan kolonial bersifat eurosentrik yang sering meremehkan warga peribumi.
Namun sebenarnya istilah ‘feudalisme Melayu’ cuma perbandingan longgar tentang kajian mengenai – sistem kemasyarakatan, politik, tatanan dan strata sosial tradisi masyarakat Melayu tatkala raja memerintah secara mutlak dan para pembesar (bangsawan) berkuasa di dalam hierarki politik, agama dan adat.
Oleh itu Syed Hussein Alatas ketika memaksudkan feudalisme Melayu menyatakan, “Huraian feudalisme berasal dari sejarah Barat dan tidak seharusnya digunakan secara terlalu harfiah untuk Asia Tenggara.”
Di samping kajian sejarawan tempatan, kajian sejarawan dari Barat atau ‘orang luar’ tidak harus ditolak dengan mengandaikan mereka berniat jahat dan penilaian mendalam harus dilakukan. Kajian oleh Barbara Watson Andaya misalnya terlihat adil.
Portugis, Belanda dan British boleh dipersalahkan tetapi fakta bahawa kelemahan pemerintah dan pembesar Melayu sendiri yang menjemput British untuk masuk ke Pulau Pinang, Perak, Sungai Ujong (Negeri Sembilan) tidak dapat dinafikan. Pergeseran sesama pembesar ini sememangnya menyusahkan rakyat!
Sejarah kita memang penuh dengan perkara positif dan negatif, suka dan duka. Yang baik diambil jadi pengajaran dan yang buruk dijadikan sempadan.
II
Orang Eropah pada Zaman Pertengahan sendiri tidak menggelarkan sistem sosial mereka sebagai feudalisme. Sebaliknya istilah tersebut diberikan oleh sarjana yang terkemudian tanpa sebarang konotasi negatif.
Malah feudalisme juga dianggap sebagai sistem adat budaya tradisi mereka. Cuma tidak dapat dinafikan bahawa sistem tersebut kolot dan menindas masyarakat terbawah jika dibandingkan dengan sistem moden.
Feudalisme di Eropah sangat memberi kesan terhadap rakyat marhaen yang diperlakukan seperti hamba walaupun mereka manusia merdeka. Siri Revolusi Kaum Tani (Peasant’ Revolt) bagi menentang para bangsawan yang menguasai tanah telah berlaku pada penghujung Zaman Pertengahan. Siri revolusi tersebut turut disertai oleh kaum Kelas Pertengahan di bandar-bandar di Eropah.
Golongan tani meneruskan kehidupan mereka dengan terpaksa bekerja di tanah-tanah milik kaum bangsawan seperti duke, count, baron dan sebagainya. Bangsawan ini umumnya dikenali sebagai lord. Mereka dikurniakan tanah (fief) oleh raja sebagai timbal balas dari sokongan ketenteraan dan kesateria yang diberikan. Menambah bobrok keadaan zaman, para lord ini adakala bergeser sesama sendiri untuk merebut kawasan kekuasaan.
III
Sistem politik Melayu tradisi pula dikenali sebagai sistem Pembesar Empat Lipatan. Ia terdiri daripada Pembesar Empat, Pembesar Lapan, Pembesar 16 dan Pembesar 32. Bendahara ialah ketua ataupun penghulu kepada semua pembesar.
Kebiasaannya bendaharalah yang berkuasa melantik pembesar-pembesar dengan perkenan raja. Bendahara adalah jawatan warisan dan kebiasaannya dilantik dari kalangan saudara-mara raja.
Di England, dahulu terdapat jawatan yang seumpama para menteri dikenali sebagai justiciar. Mereka diketuai oleh Chief atau Grand Justiciar yang martabatnya di kedudukan kedua selepas Raja England. Jawatan tersebut mungkin boleh dibandingkan dengan kedudukan bendahara.
Kemudian sistem tersebut berubah. Pembesar-pembesar England dikenali sebagai Great Officers of State dan jawatan Lord High Chancellor telah menggantikan Chief Justiciar.
Great Officers of State bermartabat bangsawan tetapi mereka bukanlah pemilik tanah yang dimaksudkan di dalam sistem feudal kerana mereka adalah pembesar tertinggi negara. Kedudukan para bangsawan atau lord yang dikurnai tanah oleh raja adalah lebih rendah berbanding Great Officers.
Kedudukan Great Officers mungkin boleh dibandingkan dengan Pembesar Empat dan Pembesar Lapan yang biasanya bertempat di sisi raja. Namun kedudukan Pembesar 16 dan 32 yang bertebaran di serata wilayah kekuasaan adalah hampir sama dengan kedudukan bangsawan pemilik tanah dalam sistem feudal di Eropah.
Bezanya pembesar 16 dan 32 ini cuma bertaraf sebagai ketua dan rujukan masyarakat. Mereka bukan pemilik atau tanah yang dikurnia oleh raja. Namun begitu pembesar-pembesar tersebut mempunyai kuasa serta pengikut setia di kawasan yang ditadbir oleh mereka.
IV
Namun begitu sistem politik dan sosial tradisi Melayu bersifat rencam dan pelbagai dari sesuatu negeri ke negeri lain. Perlis sebagai antara negeri termuda dan Kesultanan era Johor moden tidak mengamalkan sistem politik tradisi malah Johor adalah pencetus birokrasi moden di Malaysia.
Pahang juga adalah antara Kesultanan moden, tetapi masih mengekalkan sistem Pembesar Empat dan para pembesar tersebut diberikan kawasan pegangan untuk ditadbir. Mungkin kerana pengaruh warisan sistem politik empayar Johor-Riau sebelumnya. Manakala Perak pula masih mengamalkan sistem Pembesar Empat Lipatan, lengkap dari Pembesar Empat hingga Pembesar 32.
Di Negeri Sembilan pula selain Yang Dipertuan Besar, Negeri Sembilan turut mempunyai lima pembesar memerintah yang mempunyai kawasan autonomi tersendiri. Mereka ialah Dato’ Undang yang berempat dan Tunku Besar Tampin. Pembesar memerintah Negeri Sembilan ini dianggap sebagai raja dan diiktiraf sehingga kini sebagai pemerintah bersama Negeri Sembilan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Sewaktu empayar Johor-Riau, bendahara diberi autonomi di Pahang dan bergelar Raja Bendahara Pahang. Pahang ialah tanah kurnia oleh Sultan Mahmud Shah III untuk keturunan bendahara. Ini bukan perkara pelik kerana sebelumnya, Sultan Ibrahim Shah juga telah mengurniakan Muar kepada Dato’ Pasir Raja Sayyid Jaafar lalu diiktiraf sebagai Raja Temenggung Muar.
Temenggung pula diberi tanah pegangan untuk mentadbir Singapura dan tanah besar Johor. Walaupun status tanah pegangan tidak setaraf dengan autonomi tanah kurniaan seperti Pahang dan Muar, namun Temenggung masih sangat berkuasa di Johor.
Yang Dipertuan Muda pula mentadbir Riau. Manakala Sultan bertakhta di Lingga. Namun setelah Kesultanan Johor-Riau jatuh, Riau-Lingga dikuasai keturunan Yang Dipertuan Muda. Bendahara menguasai Pahang dan Temenggung pula menguasai tanah besar Johor serta mengambil alih Muar.
Maka situasi di Negeri Sembilan dan bekas empayar Johor-Riau menyaksikan bahawa para pembesar mempunyai tanah kurnia dan tanah pegangan yang ditadbir oleh mereka. Ini seakan-akan lord di Eropah juga di samping mereka adalah pembesar tertinggi peringkat negara atau negeri.
Ciri-ciri persamaan lain diantara pembesar tradisi Melayu dengan lord zaman feudal di Eropah ialah para pembesar boleh mengerahkan tenaga tentera dari kalangan rakyat di kawasan yang ditadbir olehnya. Selain itu pembesar juga diberi kuasa untuk memungut cukai, sebahagian hasil cukai adalah untuk dirinya sendiri dan sebahagian lagi diberi kepada raja.
Pembesar juga boleh mengerah rakyat di kawasannya menjadi tenaga buruh jika diminta oleh raja untuk membina istana, kubu dan sebagainya. Malah pembesar juga menjadi perantara antara raja dengan rakyat dan banyak lagi kuasa mereka yang tidak berkesempatan dicatatkan di sini.
Kedudukan mereka juga sangat dihormati oleh rakyat. Jika raja disembah hormat dengan merapatkan dan diangkat ke dahi, bendahara juga begitu tetapi sekadar diangkat ke paras hidung dan temenggung pula sekadar diangkat ke paras dagu.
V
Tidak dapat dinafikan juga bahawa pergeseran sengit diantara para-para pembesar berserta pengikut mereka sangat menjejaskan rakyat bawahan. Ini bukan dakyah kolonial tetapi fakta sejarah.
Antara contoh paling klasik ialah pergeseran antara Laksamana Johor iaitu Tun Abdul Jamil dengan Bendahara Tun Habib Abdul Majid. Sengketa ini berakhir dengan pertumpahan darah dengan terbunuhnya Laksamana Tun Abdul Jamil yang sebenarnya bersaudara dengan bendahara.
Di dalam peristiwa berdarah ini dan kisah terbubarnya Kesultanan Johor-Riau, mungkin dapatan sarjana dan sejarawan Dr Cheah Boon Kheng adalah benar bahawa adakala pembesar lebih berkuasa berbanding raja dan hubungan pembesar dengan rakyat adalah lebih rapat dalam erti kata mereka boleh mengerah rakyat sehingga terlihat seperti menindas. Kita akan bincang lanjut soal ini kemudian.
Ada banyak lagi kisah perseteruan para pembesar, bangsawan malahan kerabat diraja. Contohnya seperti Perang Kelang yang turut melibatkan pahlawan dari Pahang seperti Dato’ Bahaman. Antaranya lagi ialah pertempuran antara Dato’ Kelana Sungai Ujong yang menentang Yamtuan Antah.
Pergeseran politik di Perak menyaksikan Raja Muda Abdullah terhalang daripada menjadi sultan akibat kegagalan menghadiri upacara pemakaman Sultan Ali yang mangkat. Raja Muda Abdullah gagal hadir ke pusat pemerintahan Sultan Ali di Sayong kerana terpaksa melalui kawasan pesaingnya iaitu Raja Bendahara Ismail di Belanja dan Raja Yusof di Kuala Kangsar. Natijahnya Raja Bendahara Ismail telah diangkat menjadi Sultan.
Pergeseran tersebut berlanjutan sehingga melibatkan pembesar negeri iaitu Menteri Larut Ngah Ibrahim yang juga seteru Raja Muda Abdullah. Rentetan itu Raja Muda Abdullah memohon pertolongan Inggeris melalui Perjanjian Pangkor dan berjaya menjadi Sultan dengan gelar Sultan Abdullah.
Kendati bergeser mulanya, Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim kemudiannya sama-sama terlibat dalam perancangan membunuh J.W.W. Birch iaitu Residen British yang ditempatkan di Perak kesan daripada Perjanjian Pangkor. Mereka sama-sama telah dibuang ke Pulau Seychelles.
Tidak dapat ditolak bahawa sememangnya raja dan pembesar seperti Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim banyak berjasa. Begitu juga Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor, Dato Bahaman, Mat Kilau dan ramai lagi. Ketokohan Bendahara Tun Perak misalnya, tidak dapat dinafikan.
Tome Pires di dalam tulisannya “Suma Oriental” memuji kebijaksanaan dan keadilan Mamsursa (Sultan Mansur Shah). Namun Sultan Mansur Shah inilah yang dikatakan telah menghukum Laksamana Hang Tuah kerana termakan fitnah.
VI
Strata sosial tradisi masyarakat Melayu juga agak dhaif. Mungkin lebih dhaif berbanding sistem feudal di Eropah.
Ramai yang menjadi hamba raja. Ramai juga yang menjadi hamba hutang kerana terpaksa berhutang. Penghutang terpaksa berkhidmat dengan tuannya (pemiutang) sehingga hutang tersebut langsai. Perkara ini banyak dibincangkan dalam buku sejarah dan tidak perlu dipanjangkan di sini.
Yang paling menyedihkan ialah perhambaan abdi yang langsung dinafikan hak sivil dan hak sebagai manusia dan cuma dianggap sebagai harta. Kisah yang tidak pernah diceritakan dalam buku teks sejarah.
Tradisi lisan orang suku Semai yakni Orang Asal di kawasan Tapah dan Slim ada menceritakan tentang ‘Praak Sangkiil’ ataupun Perang Sangkil. Ia adalah kisah bagaimana beberapa etnik masyarakat Melayu yang berasal dari Sumatera telah menyerang kampung Orang Asal lalu menangkap mereka untuk dijual sebagai hamba abdi atau dibunuh jikalau melawan.
Hamba abdi ini dikatakan dijual kepada para golongan pembesar Melayu. Jika kisah Perang Sangkil ini dikaji secara mendalam mungkin kita akan dapat menyelesaikan plot-plot sejarah yang lompong bahawa siapakah sebenarnya Si Puntung atau Siputum yang membunuh J.W.W. Birch itu?
Beberapa kali nama Si Puntung ditulis dan dikatakan bahawa dia adalah hamba milik Raja Asal iaitu pemimpin etnik Mandailing di Perak. Raja Asal dikatakan diajak untuk menyertai penentangan terhadap Birch namun menolak atas faktor usia, tetapi beliau menawarkan Si Puntung untuk membantu.
Mungkin kerana itu selepas membunuh Birch, Si Puntung dikatakan melarikan diri dan menyamar sebagai Orang Asal – mungkin dia sememangnya adalah Orang Asal.
Malang Si Puntung, tidak seperti Hang Tuah yang masih dimegahkan. Si Puntung melambangkan golongan bawahan masyarakat ketika itu yang sejarahnya tertindas dan tidak didendang.
Dato’ Maharajalela dan Dato’ Sagor dihukum bunuh atas keterlibatan membunuh Birch. Namun Sultan Abdullah tidak mengaku mengarah pembunuhan Birch walaupun didakwa telah bersumpah setia sehidup semati terhadap perjuangan. Oleh itu baginda cuma dibuang negeri.
Malang Si Puntung kerana membunuh Birch yang sombong, bongkak dan kurang ajar itu. Birch mahu menghapuskan amalan perhambaan di kalangan masyarakat Melayu. Malang sungguh kisah si abdi itu, mujurlah dia tetap dianggap pejuang bangsa.
Namun mengapa sejarah Perang Sangkil cuba disembunyikan? Apakah benar kerana kurangnya catatan bertulis untuk menjadi bukti? Bagi saya inilah minda atau ‘psikologi feudal’ yang membangkitkan sindrom penafian dan tidak mahu mengaku kesilapan dan kekurangan.
VII
Mungkin Syed Hussein Alatas cuma menterjemah ringkas tentang psikologi feudal itu sebagai kesetiaan dan kepatuhan melulu. Namun kita harus bijak menghuraikannya.
Hari ini kita dapat melihat amalan ‘politik naungan’. Politik naungan melahirkan budaya kronisme dan nepotisme. Politik naungan ini terbentuk daripada kesetiaan dan kepatuhan melulu antara yang menaungi dan yang dinaungi. Kisah seperti pemecatan menteri dan timbalan perdana kerana isu kronisme ini sudah biasa kita dengar dan malang seribu kali malang ianya masih berulang.
Di dalam parti politik pula politik naungan ini dikenali sebagai ‘warlords’, ‘kabilah’ dan ‘kartel’. Mereka ini berpuak-puak dan setia serta patuh secara melulu kepada warlords mereka. Kesetiaan melulu yang dicipta oleh kartel politik ini membuatkan pengikut mereka menghalalkan pengkhianatan mereka terhadap rakyat.
Psikologi feudalisme juga merupakan asas politik ketuanan. Dia berasa dia adalah tuan dan sepatutnya dihormati dengan bermacam-macam keistimewaan. Benar bahawa Melayu telah dijamin dengan hak keistimewaan di dalam Perlambagaan Persekutuan.
Namun perlambagaan tidak menyebut tentang keistimewaan dalam ‘merembat’ duit rakyat dan merompak kekayaan negara. Malah perlembagaan dan agama tidak pernah menyuruh layanan istimewa terhadap VVIP untuk masuk ke ‘Rumah Allah’.
Ketinggian adab, kesusilaan dan kesopanan Melayu batasnya ialah keadilan dan kemuliaan insan. Penindasan dan kezaliman adalah feudalisme yang wajib dilawan!
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: G. R. Lambert & Company
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.