“Tak lapuk dek hujan, tak lokang dek panas.”
Peribahasa ini sangat popular dalam kalangan orang Negeri Sembilan.
Ya, pepatah tersebut mungkin senada dengan ungkapan popular Takkan Melayu Hilang di Dunia - yang mencirikan bangsa Melayu itu akan sentiasa malar segar asal tetap berpegang dengan satu hal, resam adat dan tradisi. Dalam Alam Minangkabau, adat Perpatih dianggap unik kerana mengangkat status kaum wanita. Tulisan ini akan menyorot apa yang boleh kita anggap sebagai semangat feminisme Nusantara dalam adat Perpatih.
Dalam konteks Malaysia, adat Perpatih diterima pakai di Negeri Sembilan oleh para perantau yang mula meneroka wilayah ini sekitar abad ke-12. Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sememangnya unik kerana adat ini menekankan nasab ibu atau bercorak matrilineal. Maka wanita mempunyai posisi teratas dalam sistem ini, yang mana tidak akan dijumpai dalam adat Temenggung yang menjadi asas kepada resam Melayu di negeri lain.
Bagaimana Adat ini Menjaga Kepentingan Wanita?
Dalam tradisi matrilineal, perkara yang melibatkan warisan harta, nama atau gelaran daripada ibu kepada anak perempuan hanya diwarisi wanita dalam sesuatu suku. Sering kali menjadi isu apabila orang luar menyalah anggap bahawa semua harta lelaki akan jatuh ke tangan isteri. Dakwaan itu salah belaka. Di bawah adat Perpatih, pewarisan harta pusaka terbahagi kepada harta pusaka, harta dapatan, harta pembawa dan harta laki-bini (sepencarian). Hanya harta pusaka (tanah adat) sahaja diwarisi oleh si isteri dalam suku tersebut manakala harta yang lain boleh dibahagi-bahagikan atau mengikut sistem faraid.
Anak perempuan yang diberi hak untuk menjaga rumah gadang (rumah ibu) dan tanah pusaka hanyalah sebagai penjaga tanah bukanlah hak sepenuh mereka sebaliknya milik suku masing-masing. Faktanya, tanah itu tidak boleh dijual. Sekiranya keluarga tidak mempunyai anak perempuan, tanah itu diserahkan kepada saudara perempuan terdekat. Begitulah caranya tanah adat ini diperturunkan.
Isu Perkahwinan
Perkahwinan melibatkan berlainan suku dianggap bersaudara. Wanita dilarang berkahwin dengan lelaki dalam suku yang sama. Ini jelas dalam norma perspektif eksogami yang melarang seorang lelaki menikahi seorang perempuan dari sukunya sendiri atau sesuku. Penjelasannya mudah. Mereka akan berkongsi darah suku yang sama. Dalam adat Perpatih, andai jatuh cinta sesama suku, si lelaki harus meninggalkan sukunya untuk membenarkan mereka berkahwin.
Dalam norma preferential pula, perkahwinan silang pupu dibenarkan apabila tiada anak perempuan untuk mengembangkan suku, misalnya anak gadis abang atau adik lelaki ibu sendiri dengan anak gadis kakak atau adik perempuan ayah. Perkahwinan ini perlu kerana berkait rapat dengan harta pusaka adat yang hanya boleh diwarisi oleh perempuan dari suku tersebut. Bagaimanalah jika perkara ini terjadi dalam keluarga kita? Pilih adat atau cinta?
Tidak Kepada Poligami
Menurut tradisi adat Perpatih, anak lelaki adalah anggota suku ibunya. Apabila dia telah menikah dengan calon isterinya, maka secara tidak langsung dia terkeluar dari suku ibunya. Anak lelaki yang sudah bernikah akan berpindah keluar dari rumah ibu dan tinggal di rumah mentua atau isterinya yang dianggap sebagai orang semenda (orang luar). Ada perbilangan yang melarang orang semenda mengahwini mana-mana wanita dari sesuku isterinya. Larangan tersebut jelas memberi isyarat tidak ada ruang poligami dibenarkan di negeri adat ini.
Jika didapati ada masalah dalam rumah tangga, Datuk Lembaga selaku pemimpin lelaki akan berbincang dan cuba menyelesaikannya dalam masa tujuh (7) hari. Lazimnya, masalah ini dapat diselesaikan kecuali si suami bermain kayu tiga. Jika didapati bersalah, pasangan itu akan diceraikan dan si suami diusir keluar dari rumah. Nah, adat ini benar mahu melindungi kaum hawa dari ditindas atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga!
Wanita Memimpin
Sosok ini semakin jelas dengan adanya ketua perempuan yang dipanggil Ibu Soko. Ibu Soko dikatakan individu yang pakar dalam perkara yang berhubung dengan perjalanan adat. Terdapat 12 pemimpin wanita bagi setiap suku utama di negeri ini. Mereka adalah wanita yang dihormati dalam masyarakat tempatan.
Mereka adalah penjaga utama adat. Kemampuan memimpin dan menjaga komuniti menjadikan mereka tempat dirujuki terutamanya hal-hal yang bersifat tradisi seperti, petua, adab, pantang larang dan sebagainya. Misalnya, terdapat anak dalam suku mereka terlibat dalam masalah tingkah laku di sinilah tugas hakiki Ibu Soko dalam memberikan nasihat serta tunjuk ajar. Teladan ini dapat dikesan dengan ungkapan, “Biar mati anak, jangan mati adat; hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.”
Tidak semua wanita boleh menjadi Ibu Soko. Cabaran utama Ibu Soko adalah untuk menjadikan orang muda minat dengan adat mereka. Persoalannya, adakah orang muda mahu memegang jawatan ini? Kita dapat lihat dalam contoh mudah seperti dalam isu perkahwinan sesuku. Ada yang mempersoal, ada juga yang buat tak tahu, tidak kurang juga yang menentang. Bagi wanita yang mementingkan kebebasan suara dan hak sesama gender, sudah pasti adat Pepatih ini cocok diangkat dalam isu yang membabitkan hal-hal kewanitaan atau sebaliknya.
Kedudukan wanita sebagai pemimpin bukanlah perkara yang baru di alam nusantara. Seharusnya wanita-wanita masa kini menyalakan api emansipasi wanita nusantara dengan perjuangan yang jelas - kesejahteraan kehidupan wanita, keluarga dan masyarakat seluruhnya.
Hanafi Qasim Ahmad adalah seorang aktivis pendidikan asal Pulau Pinang
Foto hiasan ihsan Tribune News
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.