Pernah beberapa kali arwah datuk saya bercerita tentang pengalamannya menonton persembahan Tarian Dabus yang pernah diadakan di Semanggol, Perak. Katanya sudah lama dahulu, sebelum saya dilahirkan lagi. Namun saat dia bercerita kepada saya, katanya “sekarang Dabus cuma tinggal tarian, susah untuk melihat aksi semacam menikam dengan senjata tajam dan menghempas diri dengan benda-benda keras dan berat.”
Masih terngiang nada suara datuk saya yang kedengaran kagum dan takjub dengan seni Tarian Dabus. Di Malaysia, ghalibnya Dabus wujud di negeri Perak. Namun seni tarian ini sudah pastinya adalah warisan milik masyarakat dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Benar kata-kata datuk saya, Tarian Dabus berserta aksi berbahaya kini kian langka. Saya juga pernah menonton persembahan Tarian Dabus di Pasir Salak – juga bersama arwah datuk – namun cuma tari tanpa sebarang aksi ngeri, itu pun sudah cukup menggamit perhatian.
Aksi Tarian Dabus yang kian langka seumpama lagenda, sering diperkata tetapi sukar dijumpa. Ia sama seperti dengan Tarian Piring, Tarian Barong (Barongan) dan Tarian Kuda Kepang. Tarian-tarian yang saya catat ini mempunyai persamaan iaitu mengandungi unsur-unsur khayal (trance) di dalam persembahan.
Penari Kuda Kepang dikatakan ‘mabuk’ menari sehingga tidak berasa mengunyah kaca. Penari Barongan ‘kesampukan’ (kesurupan) sehingga beraksi bagai nak gila. Penari Piring pula seakan ‘asyik’ menari di atas kepingan piring pecah yang tajam. Penari Dabus pula dikatakan ‘fana’ sehingga tidak berasa menikam diri dengan senjata tajam.
Istilah ‘fana’ digunakan bagi penari Dabus kerana asal-usul tarian ini dikatakan berasal daripada tarekat tasawuf yang bersifat mistisisme. Ia seakan manifestasi keinginan penari dabus untuk bergabung dengan dunia metafizik. Malah kumpulan Tarian Dabus yang lengkap dengan penari serta pemain alatan muzik seperti gendang akan diketuai oleh seorang khalifah.
Oleh kerana tiada dapatan yang benar-benar sahih, ada tiga kemungkinan popular bagaimana Tarian Dabus tiba ke negeri Perak sekitar 300 tahun lalu yang diceritakan dari mulut ke mulut. Kisah yang pertama ialah ia dibawa terus oleh seorang yang bernama Ahmad Mahyuddin daripada Baghdad sekitar tahun 1785. Beliau merupakan anak murid kepada Muhammad Abil Hassan al-Rifa’i.
Kemungkinan kedua pula Dabus datang daripada Baghdad ke Pasai di Acheh terlebih dahulu sebelum dibawa ke Perak oleh Nakhoda Lembang dari Batu Bara (kini terletak di Wilayah Sumatera Uara) yang pernah belajar dengan Fakir Muhammad dari India. Fakir Muhammad pula adalah murid kepada Muhammad Abil Hassan al-Rifa’i. Pendapat ketiga pula menyatakan Ahmad Mahyuddin dan Nakhoda Lembang dikatakan telah berkerjasama membawa Dabus ke Perak.
Namun saya secara peribadi percaya bahawa Dabus telah datang ke Perak melalui Acheh, ini akan saya bahaskan kemudian. Namun saya menghormati pendapat-pendapat lain. Saya percaya di Acheh ia diperkenalkan oleh seorang ulama tersohor. Saya berpendapat begini kerana terlalu sukar untuk mencari maklumat lanjut nama Ahmad Mahyuddin, Nakhoda Lembang, Fakir Muhammad mahupun Muhammad Abil Hassan al-Rifa’i di dalam dokumetasi sejarah.
Namun hampir pasti Tarian Dabus mempunyai keterkaitan dengan para pengamal Tarekat Rifa’iyah. Tarian Dabus pada asalnya ialah sejenis permainan seni mempertahankan diri atau tarian perang, mungkin seperti Tarian Haka kaum Maori yang bertujuan menakutkan pihak lawan. Maksud Dabus itu sendiri ialah senjata yang tajam seumpama lembing.
Ada pendapat yang menyatakan Dabus dicipta oleh pengikut Saidina Ali. Namun bagi saya hujah ini kurang kukuh dan sukar untuk dikaitkan kerana zaman Saidina Ali sudah berlalu kira-kira 1500 tahun yang lalu sedangkan catatan mengenai kewujudan Dabus cuma dicatatkan sekitar 300 ke 400 tahun lalu sahaja. Ini adalah jurang masa yang terlalu besar.
Namun tarian yang seakan-akan tarian perang telah lama wujud di Tanah Arab. Contohnya tarian Ardhah ataupun tarian pedang.
Dabus di Perak asalnya diperkenalkan di bahagian pesisir barat daya negeri tersebut iaitu daripada kawasan Sungai Nipah Baroh dan Sungai Balai Baroh di sekitar Bagan Datuk sehinggalah kawasan Pasar Panjang Laut berhampiran Sitiawan.
Tarian Dabus mempunyai tiga elemen utama yakni tarian, nyanyian dan permainan muzik. Seperti yang diperkatakan sebelum ini Tarian Dabus pada asalnya ialah sejenis permainan seni pertahanan diri atau tarian perang, maka Dabus menuntut penari yang cerdas dan ceria hingga mereka menjadi seperti separa khayal atau fana. Nyanyiannya pula banyak dikaitkan dengan seni kata berunsur keagamaan. Saya contohkan serangkap bait di sini;
Ia juga diselang-seli di antara bahasa Arab dan Melayu dan mempunyai dua bahagian iaitu Hadi (seperti korus) dan Jawab. Seni kata Hadi biasanya dalam Bahasa Arab dan dipetik daripada kitab-kitab seperti kitab berzanji dan sebagainya. Manakala Jawab pula menuntut kreativiti penyanyi itu sendiri.
Muzik yang mengiringi pula terdiri daripada rebana dabus, anak dabus dan gong. Rebana dabus dan gong dimainkan oleh pemain muzik. Tetapi anak dabus dimainkan sendiri oleh penari. Namun anak dabus ini juga berfungsi sebagai alat tajam yang digunakan oleh penari sebagai senjata tajam untuk mencucuk serta melukakan tangan mereka sendiri.
Anak dabus ini pula mempunyai tiga bentuk yang berlainan iaitu anak dabus dua telinga, anak dabus bercabang tiga dan anak dabus bercabang empat. Anak-anak dabus ini mempunyai maksud yang tersendiri, Anak dabus bercabang empat membawa maksud semangat, kekuatan, keyakinan dan keikhlasan ataupun berkaitan dengan empat unsur kosmos iaitu tanah, air, api dan angin (udara).
Selain itu dikatakan terdapat tiga jenis Tarian Dabus di Negeri Perak iaitu Lang Sewah, Susun Sirih dan Ayun Tajak.
Dari segi pakaian pula para penari lelaki berpakaian persis seorang pahlawan lengkap berbaju melayu (sebolehnya lengan separas siku), tanjak, samping berserta selempang. Penari wanita pula berpakaian mirip srikandi iaitu persalinan yang dikenali sebagai Puteri Perak.
Pemuzik pula biasanya berpakaian seperti penari juga tetapi tanpa selempang. Khalifah juga berpakaian sebegitu juga tetapi biasanya mengenakan warna hitam serta memakai setanjak atau semutar.
Dabus mempunyai nuansa di Nusantara. Di Acheh Dabus turut dikenali sebagai Daboh atau Rapa’i Daboh. Di Indonesia, selain Acheh ia juga terkenal di Banten yang dikenali sebagai Debus. Namun Dabus di Perak, Daboh di Acheh dan Debus di Banten mempunyai ciri-ciri yang tersendiri namun masih wujud persamaan.
Debus Banten cenderung kepada seni permainan mempertahankan diri yang lebih kepada aksi namun ia tetap diiringi oleh rebana dan gong. Permainan dimulai dengan selawat dan puji-pujian kepada Nabi Muhammad s.a.w., zikir kepada Allah dan sebagainya sebelum pelbagai aksi berbahaya seperti menghiris anggota badan dengan parang dilakukan.
Rapa’i (rebana) Daboh di Acheh pula lebih mirip kepada Tarian Dabus di Perak. Cuma senikata lagunya yang berbeza kerana pengaruh tempatan dan perincian tariannya yang berbeza. Namun Dabus, Daboh mahupun Debus, ketiga-tiganya mempunyai khalifah yang bertindak sebagai ketua dan mengubati luka-luka penari atau pemain daripada luka akibat ditusuk dan dihiris senjata tajam.
Mistiknya Dabus, luka yang diusap dengan baca-bacaan khusus oleh khalifah ini akan sembuh dalam masa yang singkat (namun ada juga yang gagal sembuh kerana dikatakan melanggar pantang). Biasanya luka akan diusap oleh khalifah beserta air penawar bisa. Oleh kerana itu Dabus sering dianggap penuh dengan mantera-mantera yang meragukan malah tindakan khalifah kumpulan yang ‘menepung tawar’ ahli kumpulan dan kawasan persembahan turut dianggap terpesong daripada syariat agama.
Namun bagi mereka yang terlibat dengan Tarian Dabus, perbuatan menepung tawar tersebut bukanlah suatu bentuk pemujaan melainkan bertujuan melindungi ahli kumpulan Dabus daripada diganggu. Malah luka yang sembuh kembali itu pula ialah perjanjian antara khalifah dan Anak dabus (atau senjata lain) bahawa ‘tiada daya upaya melainkan kuasa Allah semata-mata’ (Laa haula walla quwata illla billahil ‘aliyyil adzim) untuk senjata tersebut melukai penari.
Malah lebih daripada itu Dabus (atau Debus dan Daboh) pada zaman penjajahan dan awalnya dahulu menjadi elemen dakwah di nusantara melalui lantunan seni katanya yang memuji Allah dan Nabi Muhammad serta menjadi cara mempamerkan kekuatan orang-orang Islam.
Daboh dan Debus dikatakan dibawa ke Acheh oleh seorang ulama terkenal berasal dari Gujerat di India yang bernama Nuruddin al-Raniri, ironinya Nuruddin juga ialah seorang pengamal tarekat Rifa’iyah. Beliau menetap di Acheh sekitar 1637 hingga 1644.
Oleh kerana itulah saya berpendapat bahawa Dabus di Perak telah dibawa dari Acheh. Sementelahan Perak suatu masa dahulu pernah dinaungi oleh Acheh dan ianya turut bertepatan dari garis masa (rujuk kisah seperti Sultan Mansur Shah I, Sultan kedua Negeri Perak yang didakwa hilang ketika di Masjid Kota Lama Kanan kerana diculik oleh pihak Acheh).
Malahan ada kisah berkenaan Panglima Kulop Mentok yang berjuang melawan Belanda, Ini kerana Belanda pernah berurus niaga bijih dengan Negeri Perak dan membuka gudang (Kota Belanda) pada 1670 hingga 1690 di Pulau Pangkor. Panglima Kulop Mentok dan masyarakat ketika itu dikatakan tidak bersetuju dengan sikap Belanda dan telah berjuang menghalau mereka. Ada pihak mengatakan bahawa Panglima Kulop Mentok menggunakan ilmu Dabus bagi melawan Belanda.
Jika ia benar, maka Dabus lebih awal telah tiba di Perak dan ia lebih bertepatan dengan garis masa kehadiran Nuruddin al-Raniri.
Sudah tiba masa untuk kita mengangkat tarian-tarian warisan untuk diperkenalkan kembali. Tidak perlu menikam diri atau mengunyah kaca, cukuplah ia sedikit digubah suai lalu dapat dipersembahkan seperti Tarian Haka – masih dilihat bertenaga tanpa sebarang penggunaan senjata. Lalu ianya boleh dipertonton sebagai penaik semangat, misalnya sebelum berlangsung perlawanan bolasepak, sepak takraw atau kejohanan seni bela diri – jika tidak di tahap antarabangsa, cukuplah bermula di tahap dalam negara. Sekian sekadar yang saya tahu.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: PUSAKA
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.