Etnosentrism Apa Buat Malaysia?

Etnosentrism Apa Buat Malaysia?

Malaysia sebuah bumi bertuah. Di dalamnya hidup masyarakat pelbagai kaum yang mana setiap daripadanya mempunyai jalan cerita dan salasilahnya tersendiri. 

Demikian pun, penulisan ini bukan untuk merawikan salasilah tersebut. Tulisan ini hadir sekadar mengajak masyarakat untuk berfikir semula mengenai perkembangan sosio-politik Malaysia pada waktu ini yang diperangkap sentimen perkauman membimbangkan. 

Bumi bertuah ini adalah milik semua masyarakat yang berwarganegarakan Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama. Hakikat ini telah diikat dengan semangat Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.

Pengalaman saya semenjak kecil hingga sekarang, kerap benar terdengar kalua bangsa kita Melayu jangan sampai ditindas oleh “bangsa asing” atau “kaum pendatang”, tentulah selalunya merujuk kepada bangsa Cina. Kadangkala berselikan amaran jangan sampai bumi dipijak milik orang, serta banyak lagi yang seangkatan. 

Hal ini membuatkan saya acap kali juga tertanya, mengapa pula sering kali naratif bangsa Melayu tertindas ini hamper-hampir hanya dikaitkan dengan bangsa Cina. Jarang-jarang saya dengar Melayu akan ditindas oleh bangsa India atau lain-lain, tentu jauh sekali Melayu sendiri. 

Adakah kerana bangsa Cina adalah kaum kedua terbesar di Malaysia? 

Berdasarkan anggaran semasa penduduk Malaysia pada 2019 seperti yang diterbitkan Jabatan Perangkaan, warganegara Malaysia adalah seramai 29.4 juta. Daripada jumlah tersebut, peratusan Melayu-Bumiputera adalah 69.3%, Cina 22.8 %, India 6.9 % dan lain-lain 1.0 %. 

Secara fakta, memang wujud jurang pendapatan yang besar antara kaum Bumiputera dan Cina. Pada 1986, purata jurang pendapatan antara Bumiputera dan Cina adalah sebanyak RM497.00 sebulan. Jurang ini telah meningkat kepada RM1,736.00 sebulan pada tahun 2016. Dengan mengambil kira kadar inflasi iaitu RM497.00 pada 1986 adalah bersamaan dengan kira-kira RM1,112.00 pada 2016, jurang antara pendapatan purata Bumiputera dengan kaum Cina masih terus melebar. 

Manakala antara India dan Cina pula, jurang yang sama melebar dengan lebih teruk iaitu sebanyak RM286.00 (lebih kurang RM640.00 pada 2016) pada tahun 1986 kepada RM1,154.00 pada tahun 2016.

Sebagai sebahagian analisa, hampir semua pekerjaan daripada sektor profesional yang menawarkan pendapatan tinggi kecuali bidang pergigian masih terus dikuasai oleh bukan Bumiputera. Ini antara penyumbang kepada bagaimana Melayu Bumiputera masih ketinggalan dari segi ekonomi sebenar. 

Mengapa jurang pendapatan ini semakin luas walaupun pelbagai dasar-dasar istimewa telah dilaksanakan dari 1970an ke kini untuk membantu Melayu, sedangkan kaum-kaum lain tidak  pun mendapat layanan sebegitu? 

Adakah mungkin disebabkan ini, naratif “Cina tindas Melayu” dan bukannya kaum lain sering didengari dan di mainkan untuk mengaburi kegagalan dasar-dasar tersebut? 

Jika gagal, apakah perubahan dasar yang harus dilakukan untuk mengurangkan jurang ini?

Menariknya, disebalik keciciran ekonomi yang melatari majoriti kaum Bumiputera, kaum ini jugalah sebenarnya kumpulan majoriti dalam kategori T20, iaitu kumpulan yang berpendapatan paling tinggi di Malaysia. Sebanyak 53.8% dalam kategori T20 adalah Bumiputera, dengan median pendapatan isi rumah melebihi RM11,000.00 sebulan.

Mereka yang sering melaungkan naratif ini adalah daripada orang-orang politik dan orang yang empati terhadap politik perkauman. Pemimpin politik terus memainkan sentimen ini yang akhirnya turut diikuti oleh masyarakat. 

Pemimpin politik sebenarnya masih percaya kepada taktik pecah dan perintah, yang digunakan oleh penjajah British. Apabila berada dalam satu kumpulan, dicanangkan naratif perkauman yang sempit untuk menakut-nakutkan masyarakat dan akhirnya, masyarakat merasakan terancam kepada kaum yang lain. 

Maka disini saya tertanya-tanya apakah bentuk etnosentrism yang mahu dibentuk oleh Malaysia buat generasi masa hadapan? 

Etnosentrism boleh difahami sebagai kecenderungan sebuah etnik atau kaum terhadap kelebihan yang ada oleh suku kaumnya. Mereka melihat kebudayaan mereka adalah yang tertinggi. Kuasa dan nilai yang ada di dalam budaya kaumnya dianggap sebagai bahtera kebijaksanaan, keindahan dan kesucian manakala di sekelilinginya adalah kafir dan gasar.

Etnosentrisme juga boleh didefinisikan sebagai anjakan kepada perjuangan yang mampu memupuk semangat cinta kepada tanah air, mengalakkan perpaduan rakyat yang dipacu dengan ikatan keturunan dan kebudayaan, dan menyemai semangat menentang pencerobohan kuasa asing.

Walaupun Malaysia telah memasuki dekad baharu 2020, masalah perpaduan dalam kalangan masyarakat dilihat masih membimbangkan pada satu-satu masa, terutamanya musim pilihan raya. 

Isu perkauman masih terus dimainkan setiap masa untuk memastikan sokongan politik terus diberikan kepada satu-satu pihak berkepentingan. Hal ini akan terus dilihat sebagai cabaran untuk membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. 

Justeru itu, saya melontarkan semula pertanyaan awal tadi, apakah sebenarnya bentuk etnosentrism yang mahu dibentuk di Malaysia?

Mohammad Hazizi Bin Padzil adalah seorang penulis bebas kelahiran Kedah yang berhasil memegang dua gulung ijazah daripada Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sains Politik.

Foto ihsan Huffington Post

Share this Post: