Emas: Sejarah dan Falsafah Negeri Kelantan

Emas: Sejarah dan Falsafah Negeri Kelantan

“Simpanlah emas walau sebesar Janggut Udang”

Pastinya generasi baru negeri Kelantan penah mendengar ungkapan hikmah daripada nenek-moyang terdahulu. Harfiahnya, ungkapan ini adalah merupakan nasihat bahawa dalam kehidupan harus sentiasa memikirkan hal-hal di hari muka terutama di hari musibah.

Ungkapan ini juga, sinonim dengan ucapan yang diperkatakan oleh Presiden Herbert Hoover mengenai emas “kita memiliki emas kerana tidak boleh percaya kepada kerajaan”. Kerana persiapan diri sendiri harus dipersediakan tanpa mengharapkan bantuan orang luar terutama kerajaan dalam menempuh musibah di hari kemudian.

Hal ini ada benarnya, kerana emas tidak penah susut nilainya berbanding mata wang yang akan melalui proses defisit atau susut nilainya di bawa arus waktu. Namun nilaian emas(gram) pada setiap tahun mencanak dan memberi keuntungan yang lipat kepada yang mampu dalam pelaburan pasif emas.

Lihat sahaja statistik harga emas dalam pasaran dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini. Pada tahun 1990 harga emas hanya mencatat RM25 segram kepada kepada RM35 segram pada tahun 2000 serta meningkat lagi kepada RM150 segram pada 2015, dan mencanak naik pada harga RM250 segram pada tahun 2020. Fenomena kenaikan harga emas ini lebih besar berbanding kejatuhan harga susut nilainya yang boleh dilihat pada tahun 2013 sehingga 2016 dan menjunam sedikit pada tahun 2021 ekoran kemelesetan ekonomi akibat daripada Pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia. Namun bagi pencinta dan pelabur emas pasif kejatuhan harga emas adalah merupakan pesta buat mereka kerana berpeluang menikmati harga rendah dengan nilaian gram yang tinggi untuk dipakai dan dilaburkan secara pasif ketika musibah melanda. Hal ini kerana, emas merupakan aset bersifat mudah untuk dicairkan  kepada aliran tunai dan membawa pulangan tunai yang tinggi dari semasa ke semasa.

Penulisan saya hari ini bukan untuk berbicara tentang emas daripada sudut perspektif ekonomi atau pelaburan, kerana saya tidak memiliki kepakaran dalam soal ekonomi bahkan pelaburan. Namun demikian, penulisan saya kali ini ingin mengajak pembaca melihat keunikan budaya ‘kegilaan emas’ khususnya bagi wanita di Kelantan.

Ya negeri Kelantan adalah merupakan negeri yang tersenarai dalam negeri-negeri yang termiskin jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor, dan Pulau Pinang. Namun, keanehan dalam kehidupan penuh kemiskinan, kita melihat bahawa masyarakat Kelantan khususnya wanita akan melabur beribu-ribu ringgit, hatta sanggup mengikat perut demi memenuhi kehendak hati untuk membeli emas. Keanehan dan kegilaan emas dalam kalangan masyarakat Kelantan di sini tidak melambangkan Kelantan sebuah negeri yang termiskin jika di lihat daripada sudut pembelian emas secara kasar.

Manakan tidak, boleh dilihat hampir sepanjang hari kedai emas dipenuhi pembeli emas di pelusuk negeri Kelantan walaupun di kala pandemik Covid-19 sedang melanda (sila rujuk Berita Harian online “Gila emas” bertarikh 17 Mac 2021). Persoalan yang saya cuba bawakan mengapakah masyarakat Kelantan sanggup berhabisan ribuan ringgit demi mendapatkan kepingan emas yang mereka idamkan dan apakah falsafah yang mereka anuti sedangkan hakikatnya mereka tidak mendiami banglo-banglo mewah seperti masyarakat di luar Kelantan dan jika diamati kediaman mereka hanya sebuah kediaman berpapan atau separuh binaan konkrit sahaja. Namun boleh di lihat kepingan emas berbalut disosok tubuh mereka bernilai ribuan ringgit yang dibeli secara tunai dan bukan hutang.

Nescaya, keunikan dan keistimewaan kegilaan emas itulah yang menjadi pegangan atau falsafah dalam masyarakat Kelantan khususnya wanita. Jika diamati pada sosok gemalai wanita baik tua atau muda bahkan bayi sekalipun akan disalutkan dengan kepingan emas walau sebesar Janggut Udang. Kerana falsafah yang menunjangi masyarakat Kelantan tidak boleh terpisah dengan eleman emas dalam kehidupan mereka. 

Hubungan peradaban manusia dengan emas bukan suatu yang baharu malahan telah beribu tahun terbukti. Iaitu melalui penemuan kepingan-kepingan emas pada sekitar 40,000 tahun terdahulu di gua di Sepanyol.

Selain emas menjadi satu simbol kepada keayuan dan kejelitaan si pemakai, emas juga turut menjadi simbol kepada sebuah kekayaan, kekuasaan dan kekuatan sesebuah kerajaan dahulu kala. Penggunaan emas dalam Tamadun Mesir juga turut memaparkan emas sebagai simbol kekuatan, kekayaan dan kemajuan tamadun purbanya pada 2500 tahun sebelum Masihi.

Tamadun Nusantara dan Tanah Melayu juga memperlihatkan penggunaan dan pemakaian emas dalam Kerajaan Srivijaya dan Majapahit dalam urusan perdagangan maritim. Hal ini terbukti bahawa emas bukan sahaja sebagai alat perhiasan diri, malahan menjadi lambang kepada kekuatan dan kemajuan sesebuah negara seperti Kesultanan Melayu Melaka yang diceritakan oleh Tom Pires tentang sebuah Kapal Portugis ‘Flor De La Mar’ yang tergelam kerana sarat dengan harta kekayaan emas daripada negeri Melaka yang bernilai 55 ribu kilogram emas.

Berbalik kepada sejarah kebudayaan dan falsafah emas yang menunjangi masyarakat Kelantan. Keadaan ini sememangnya tidak janggal dalam masyarakat Kelantan, terutama pada mereka yang mahir dalam sejarah negeri Cik Siti Wan Kembang. Di Kelantan, di sebalik penggunaan emas secara meluas dalam kalangan masyarakat Kelantan terutama sebagai aset di hari kecemasan. Kebudayaan dan falsafah ini telah muncul kerana dipengaruhi oleh sejarah perlombongan Dinar emas sejak kurun ke-17 lagi. Sejarah telah mencatatkan bahawa negeri-negeri di Pantai Timur menerima pengaruh Islam dengan lebih awal dan memiliki hubungan perdagangan dengan Arab. Di mana Wang Dinar terawal yang diterbitkan oleh negeri Kelantan dan Patani hasil perlombongan emas di sungai-sungai di Kelantan untuk menghasilkan jokong emas bagi memenuhi keperluan pedagangan dengan negara Arab. Pengaruh Islam Arab juga telah menjadikan negeri Kelantan antara yang terawal menggunakan syiling emas yang dikenali sebagai “syiling emas Kelantan-Patani”.

Malahan, sejarah juga turut merakamkan bahawa negeri-negeri Melayu seperti Kedah, Kelantan, Terengganu memiliki hubungan dengan Kerajaan Siam dan negeri-negeri ini dahulunya sentiasa mengirimkan Bunga Emas kepada Kerajaan Siam.

Oleh demikian, tidak hairan mengapa negeri Kelantan sehingga kini masih dipengaruhi dengan kebudayaan dan falsafah emas dalam kehidupan masyarakat mereka. Kerana sejarah penggunaan dinar emas dan syiling emas ulungnya di jalankan di Kelantan. Malahan lambang syiling emas iaitu “Kijang Emas” atau panggilan ‘duit’ yang masih diguna sehingga ke hari ini adalah kerana pengaruh oleh perdagang Arab pada masa dahulu.

Akhir, antara keunikan nama-nama dan rekaan emas yang menjadi kegilaan wanita Kelantan pada era ini adalah seperti “Cincin Daun Ketum, Gelang Pulut Dakap, Rantai Tulang Belut, Biskut Tawar dan sebagainya.

Nurfarhana Awang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.

Foto: Public Domain

Share this Post: