EH, TELUR INI BOLEH MAKAN LAGI KE TAK?

EH, TELUR INI BOLEH MAKAN LAGI KE TAK?

Sudah simpan stok telur untuk juadah sahur atau berbuka puasa?

Belum.

Kenapa?

Takut telur rosak.

Inilah antara perbualan yang muncul apabila kita cuba mempertimbangkan untuk membeli telur dalam kuantiti yang banyak.

Telur merupakan sumber protein dan nutrien yang baik untuk menampung keperluan nutrisi tubuh kita. Apatah lagi jika diambil sewaktu sahur, semestinya akan membantu kita menjalani ibadah puasa dengan lebih bertenaga.

Mari kita bincangkan kaedah untuk mengenal pasti telur yang sudah rosak.

Pertama, lihat jika terdapat retakan pada telur. Jika ada, telur tersebut wajib dibuang kerana  sudah tercemar.

Kedua, jika terdapat lapisan debu pada kulit telur, ini bermakna telur tersebut telah berkulat.

Ketiga, jika telur tersebut berbau, warna putih telur telah berubah warna atau kuning telur menjadi sangat berlendir, ketahuilah bahawa telur itu sudah rosak.

Keempat, setiap telur yang dijual di pasaran mempunyai tarikh luput. Jika terlupa tarikh luput telur yang anda beli, cuba rendamkan telur-telur tersebut di dalam air. Telur yang timbul menandakan telur tersebut telah tamat tempoh manakala telur yang tenggelam menandakan telur itu masih elok dan selamat dimakan.

Risiko utama jika termakan telur yang telah rosak adalah jangkitan bakteria Salmonella. Bakteria ini boleh membiak pada kulit telur, putih telur mahupun kuning telur.

Jangkitan bakteria Salmonella adalah satu bentuk keracunan makanan yang boleh menyebabkan muntah, cirit-birit, demam dan dalam keadaan yang lebih serius, jangkitan ini boleh menyebabkan kematian.

Simptom-simptom ini kebiasaannya muncul sekitar 6 jam sehingga 6 hari selepas makan makanan yang tercemar.

Centers for Disease Control and Prevention (CDC) mencadangkan untuk menyimpan telur di dalam peti sejuk pada suhu 4ºC. Elakkan membiarkan telur yang dikeluarkan dari peti sejuk pada suhu bilik lebih daripada 2 jam.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu merantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

https://www.cdc.gov/foodsafety/communication/salmonella-and-eggs.html

https://www.medicalnewstoday.com/articles/325210#summary

(Kredit foto: xtra.com.my)

Share this Post: