Dualisme Undang-undang: Syariah dan Sivil

Dualisme Undang-undang: Syariah dan Sivil

“Adat bersendi hukum,
Hukum bersendi syarak,
Syarak bersendi Kitabullah.”

Kecoh baru-baru ini bila timbul dakwaan bidang kuasa Mahkamah Syariah sedang tercabar dan umat Islam dikatakan perlu berada dalam keadaan berwaspada. Setelah isu RUU 355 dan Hudud agak suram beberapa ketika, kes Iki Putra lawan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membuatkan ramai mula bercakap semula tentang polemik tersebut. Diskusi ilmiah dan praktikal kembali hidup.

Sebelum kita conteng kain rentang, ketatkan tali kasut dan angkat sepanduk tanda protes, molek kiranya kita memahami letak duduk sebenar kes yang kontroversi ini.

Apa jadi dalam kes Iki Putra?

Dalam kes Iki Putra ini, Iki Putra bin Mubarrak (Pemohon) didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi. Iki kemudiannya mencabar peruntukan Seksyen 28 EJS ‘95 dengan mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa untuk menggubal atau membicarakan jenayah liwat.

Kemudian, Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari sebulat suara (9-0), memutuskan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dalam Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor1995 (EJS ‘95) adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah, kerana ia mengambil bidang kuasa Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan merujuk kepada kuasa utama Parlimen seperti yang diperuntukkan dalam Senarai 1 Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (PP). Memandangkan Parlimen sudah membuat undang-undang jenayah yang sama dengan Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri, DUN tidak boleh buat undang-undang yang sama.

Pendekatan Berbeza Mahkamah Persekutuan

Keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan ini berbeza dengan pendekatan kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lawan Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Satu Lagi (1999). Dalam kes Sukma, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Kanun Keseksaan dan Enakmen Jenayah Syariah Negeri adalah terpakai tetapi hanya boleh didakwa di salah satu mahkamah sama ada di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah, kerana Mahkamah Syariah adalah sama taraf dengan Mahkamah Sivil.

Sebaliknya, dalam kes Iki Putra, Mahkamah mengambil pendekatan kes Sulaiman Takrib lawan Kerajaan Negeri Terengganu (2008) di mana Tun Abdul Hamid (Ketua Hakim Negara ketika itu) menyatakan bahawa “pewujudan dan penghukuman kesalahan” (creation and punishment of offences) tertakluk kepada empat syarat:

i) pelaku kesalahan itu mestilah menganut agama Islam;

ii) kesalahan itu bercanggah dengan perintah agama Islam (precepts of Islam);

iii) kesalahan itu tidak tersenarai di bawah Senarai Persekutuan; dan

iv) hukuman ke atas pesalah tersebut mengikut bidang kuasa jenayah Syariah di bawah seksyen 2 Akta 355 1965.

Dalam kes Iki Putra, Mahkamah Persekutuan berpendapat ia tidak memenuhi syarat iii – kesalahan (liwat) itu tidak tersenarai di bawah Senarai Persekutuan.

Jalan ke Depan yang Berliku

Mahkamah Persekutuan berpendapat yang DUN masih mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkaitan kesalahan yang berkaitan dengan akidah, kesucian agama Islam seperti menghina al-Quran dan Hadis dan yang berkaitan dengan moral seperti minum arak, zina dan khalwat yang merupakan kesalahan agama dan lain-lain kesalahan yang tersenarai dalam Senarai II Senarai Negeri Jadual Kesembilan PP.

Dari satu sisi, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra boleh dilihat sebagai penjajaran semula bidang kuasa jenayah di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Dalam menentukan sama ada sesuatu kesalahan jenayah berada di bawah Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, kita perlu menilai ‘pith and substance’ (intipati dan isi) sesuatu kesalahan jenayah itu berkaitan dengan Islam.

Contohnya, meskipun secara literal didefinisikan sebagai ‘mencuri’, namun jenayah ‘sariqah’ boleh dikekalkan di bawah DUN kerana elemen ‘hirz’ (tempat atau alat yang selamat dan sesuai untuk menyimpan barang-barang berharga menurut syarak daripada dicuri) dan nilai ‘nisab’ perlu ditentukan bagi membuktikan kesalahan sariqah.

Untuk melihat kes Iki Putra secara lebih objektif, Mahkamah Persekutuan tidaklah mengatakan liwat tu halal. Meskipun pesalah liwat tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah, dia masih boleh diheret dan didakwa ke Mahkamah Sivil dengan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan. Dan ini adalah lebih berat daripada hukuman Enakmen Jenayah Syariah Negeri.

Dari sudut lain pula, memandangkan kesalahan liwat selepas ini tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah Negeri Selangor, maka keputusan kes Iki Putra dipercayai akan mempunyai kesan langsung kepada negeri-negeri (dan mungkin kesalahan jenayah) lain. 

Sebab itu penyeragaman undang-undang Syariah di seluruh Malaysia wajar direalisasikan jika benar ada usaha keras untuk mengukuhkan institusi perundangan Syariah di Malaysia, memandangkan ada Enakmen Jenayah Syariah yang berbeza di beberapa buah negeri.

Kembali ke Akar Sejarah

Sejarah pelaksanaan Undang-Undang Syariah di Kepulauan Melayu Nusantara telah berjalan sejak ratusan tahun. Ini dibuktikan menerusi manuskrip undang-undang Pahang yang kini disimpan di London. Undang-undang ini juga digunapakai di Perak dan Johor sejak Abad ke-17.

Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka sewaktu pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1424-1444M) serta Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M pula adalah bukti pengamalan sistem perundangan Islam dalam pensejarahan Melayu.

Pada 1786, kedatangan British mengambil Pulau Pinang dan Kedah serta Perjanjian Pangkor pada 1874 yang ditandatangani oleh British dan Sultan Perak menjadi titik mula campur tangan dan usaha pengenepian Undang-undang Islam.

Pada 1880, British menggubal Ordinan Perkahwinan Mohammedan No. 5 (hanya kes kahwin dan cerai umat Islam). Pada tahun 1948, ordinan Mahkamah Persekutuan dan sistem kehakiman persekutuan memisahkan Mahkamah Syariah daripada hirarki mahkamah di negara ini.

Pada 1988, pindaan Perkara 121 (1A) PP memberi Mahkamah Syariah bidang kuasa berasingan daripada Mahkamah Sivil, menjadikan Mahkamah Syariah bebas daripada campur tangan mahkamah biasa dan dianggap setaraf.

Cadangan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah banyak dibahaskan dalam wacana dan seminar, bahkan dalam penulisan. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merupakan pelopor klinik guaman Syarie yang pertama di Malaysia. Pada 6 November 1988, Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim (Almarhum) telah menyampaikan ucapan ketika pelancaran Klinik Shariah dan Undang-Undang ABIM.

Jadi, kewujudan dua aliran mahkamah ini sebenarnya adalah hasil kesinambungan sejarah yang memerlukan usaha berterusan untuk mengisi ruang ‘kelabu’ yang tak dapat dielakkan.

 Mencari Jalan Keluar Demi Kebaikan Bersama

Baik Kanun Keseksaan mahupun Enakmen Jenayah Syariah Negeri, kedua-duanya mempunyai maksud baik dalam memperoleh keadilan, serta membendung salah laku moral dalam masyarakat serta melindungi kesucian institusi keluarga.

Jadi, kajian terperinci serta mekanisme menyeluruh berkaitan sistem undang-undang dualisme perlu dijalankan secara bersungguh, khususnya yang berkait dengan peruntukan tersurat dan tersirat dalam undang-undang; serta kesalahan jenayah yang bertindan antara dua mahkamah tersebut.

Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil JAKIM; Bahagian Undang-undang Syariah & Harmonisasi, Pejabat Peguam Negara dan pihak berkuasa lain perlu memainkan peranan yang lebih serius dengan komitmen yang lebih padu.

Memandangkan Kanun Keseksaan itu sendiri sudah bersifat takzir, kerjasama berbentuk Strategi Lautan Biru Kebangsaan antara pihak Pihak Berkuasa Agama (PBA) dan pihak berkuasa tempatan khususnya PDRM boleh diperkasakan lagi.

Dalam pada masa yang sama, SOP serta kompetensi pihak PBA juga perlu diperkemas dan ditambahbaik bagi mengelakkan sebarang isu salah guna kuasa khususnya melibatkan kaedah serbuan serta layanan terhadap orang yang ditahan.

Penutup

Kita mesti melihat isu ini secara lebih jujur dan adil, pandangan yang bersandarkan kepada ruang lingkup undang-undang, dan kehendak rakyat umum. Respon yang beremosi dan tidak sensitif tanpa ilmu hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Akhirnya, adakah perlu kita merombak PP untuk menjadi lebih Islamik? Adakah sistem undang-undang berbentuk dualisme perlu terus dikekalkan? Atau adakah undang-undang Syariah perlu diseragamkan di bawah Parlimen?

Jawapannya terpulang kepada Pak Politikus dan Pak Menteri yang sedang memegang kerusi empuk di Parlimen. Juga terserah kepada rakyat untuk memberi desakan atau berkempen dengan cara kita sendiri, agar suara di bawah sampai juga ke telinga wakil rakyat.  Semuanya berikat juga kepada satu hal: ‘political will’ – kesungguhan yang bukan hanya hangat-hangat tahi kucing.

Sikap saling menghormati, berlapang dada, bersandarkan kepada ilmu dan realiti masyarakat merupakan faktor penentu dalam mencari solusi. Tanpa kesedaran ini, kita akan terus berlegar seputar teori konspirasi dan kejumudan yang dibuat-dibuat. Khalas.

Che Din adalah seorang blogger sukan yang sukakan sejarah; seorang 'history buff'. Penyokong Merah Kuning ini juga seorang pengumpul tegar jersi langka Liga-M.

Foto: Harian Metro

Share this Post: