DRAMA KOREA: HIBURAN DAN PENGAJARAN

DRAMA KOREA: HIBURAN DAN PENGAJARAN

Jika disebut sahaja Oppa, pasti ramai yang sudah mengetahui bahasa apakah itu. Begitulah penangan Korea pada masa ini. Sejak dari awal tahun 2000 lagi, filem mahupun drama Korea sudahpun menghimpun peminatnya sendiri. Bukan itu sahaja, muzik serta rancangan realiti Korea juga semakin menarik minat penonton di Malaysia.

Tidak dinafikan semua karya hasil tangan industri Korea sememangnya memberi impak yang sangat luar biasa. Dari cara mereka membawa jalan cerita tersebut sehinggalah pengajaran disebalik karya tersebut. Ditambah dengan latar belakang pemandangan yang indah dalam karya Korea sememangnya sangat mengasyikkan dan ini membuatkan kita semakin tertarik untuk mengetahui lebih lagi tentang negara kimchi ini.

Hari ini saya terpanggil untuk mengulas tentang pengajaran tentang satu drama Korea yang pernah popular dan menjadi bualan semua pengguna Netflix iaitu Squid Game. Squid Game merupakan salah satu daripada K-Drama dari Korea meletup secara tiba-tiba. Drama ini secara tiba-tiba mendapat perhatian dunia. Squid Game ditayangkan secara rasmi di Netflix pada 17 September 2021.

Terdapat banyak plus point serta iktibar yang kita boleh diperolehi daripada drama ini. Squid Game secara ringkasnya memberi idea kepada penonton tentang tentang kesusahan rakyat marhaen dan juga pendatang asing dalam meneruskan hidup mereka. Watak Ali dalam cerita ini berjaya menggambarkan situasi sebenar pendatang asing di mana-mana negara − mereka ditindas dan dinafikan hak yang sepatutnya mereka perolehi.

Kepentingan insurans juga merupakan salah satu idea yang telah dibawa baik oleh drama ini.  Hal ini kerana melalui penceritaan drama ini, penonton akan mula memahami akan kepentingan insurans dalam kehidupan yang makin mencabar ini. Musibah akan menimpa tanpa kita sedar, kita haruslah sentiasa bersedia dengan apa-apa kemungkinan yang tidak diingini. Bak kata orang, prepare your umbrella before it rains.

Next, drama ini juga memberi satu gambaran yang nyata serta scenario yang memang benar-benar berlaku di dunia nyata iaitu wang mampu menggelapkan hati manusia dan menghilangkan ihsan dalam diri manusia.

Watak Cho Sang-woo memberi gambaran bahawa untuk wang dia sanggup mengkhianati siapa sahaja biarpun ia merupakan kawan baiknya sendiri. Namun drama ini juga membuktikan bahawa bukan semua manusia akan berubah kerana wang. Ini dibuktikan dengan watak Seong Gi-hun yang lebih rela menyelamatkan sahabatnya daripada wang yang ditawarkan kepadanya.

Seterusnya, satu lagi karya Korea yang penuh dengan pengajaran adalah Twenty Five Twenty One. Point yang jelas ditayangkan dalam drama ini adalah berkenaan dengan parenting styles. Ketiga-tiga watak utama ini mempunyai family background yang berbeza dan seterusnya memberi impak dalam kehidupan seharian mereka.

Sebagai contoh, dalam drama ini menunjukkan bagaimana seorang anak akan memberontak sekiranya tidak diberi perhatian dan kasih sayang yang secukupnya. Namun pada masa yang sama tidak mendorong watak itu kepada jalan yang salah tetapi sebaliknya.

Watak kedua pula memberi idea tentang bagaimana seorang anak yang harus menanggung hutang keluarganya dan membanting tulang sejak muda lagi dan seterusnya berjaya membina nama dalam kerjayanya.

Drama ini juga memberi scenario yang jelas tentang nilai dan erti persahabatan. Semua watak dalam drama ini membawa peranan yang penting dalam mendukung cita-cita sahabat mereka. Ada yang sanggup berhenti sekolah demi mempertahankan kebenaran seterusnya melindungi sahabatnya dari terus ditindas. Kesatuan mereka dalam mendukung cita-cita sahabat mereka memberi satu gambaran yang sangat harmoni.

Akhir kata, kebanyakan karya Korea bukan hanya hiburan semata-mata. Mereka seolah-olah mahu memberi pengajaran serta membuka mata penonton tentang realiti yang sedang berlaku pada masa ini. Mereka cuba sampaikan nasihat dalam bentuk hiburan, namun tidak semua idea dalam filem Korea sesuai untuk kita jadikan pengajaran oleh sebab budaya dan fahaman kita yang berbeza.

Hazlina Halik ialah seorang ambivert yang mempunyai lulusan ijazah sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dan kini bekerja dalam industri pembuatan.

Foto kredit: Koreaboo

Share this Post: