Dr Mazlan: Duta Malaysia ke Angkasa

Dr Mazlan: Duta Malaysia ke Angkasa

Dunia sains angkasa atau astronomi moden selalunya akan lebih banyak dikaitkan dengan program-program dan pencapaian oleh negara-negara yang lebih maju dan besar terutama seperti Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Jepun, dan China. Malaysia masih belum boleh dianggap sebagai salah sebuah negara yang signifikan dalam bidang tersebut.

Agensi yang berkaitan dengan sains angkasa kita iaitu Agensi Angkasa Negara Malaysia atau ANGKASA sendiri masih baru – dilancarkan pada sekitar 2002 – walaupun hampir 20 tahun, ia belum sampia ke tahap seperti NASA atau Agensi Angkasa Rusia. Demikian pun, beberapa individu dari negara ini sudah pernah mencipta nama sendiri dalam bidang yang amat mencabar tersebut. Salah seorang yang paling siginifikan adalah tokoh bernama Dr Mazlan Binti Othman.

Tidak hairan pun jika namanya kurang dikenali khalayak masyarakat. Dr Mazlan Binti Othman bukanlah seorang tokoh politik, ekonomi, ataupun seni yang lebih dikenali dalam negara ini. Beliau bagaimana pun terbukti di peringkat antarabangsa sebagai salah seorang tokoh astrofizik yang amat disegani dan penting di dalam dan luar negara.

Antara pencapaian terbesar beliau adalah apabila menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang pernah berkhidmat bersama Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu dalam bidang sains dan astronomi. Pada 1999, beliau telah dilantik oleh Setiausaha Agung PBB ketika itu, Kofi Annan sebagai Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA) yang bertapak di Vienna.

UNOOSA adalah badan yang bertanggungjawab dalam menyelenggara aktiviti penerokaan angkasa lepas dan mempromosikan kerjasama antarabangsa terutama berkaitan perlumbaan ke angkasa. Penerokaan angkasa adalah bidang yang bukan sahaja siginifikan dalam penemuan sains, sebaliknya juga pernah secara sejarahnya dijadikan ‘medan perang’ terutama pada dekad 60-an dan 70-an iaitu ketika Perang Dingin Amerika Syarikat dan Rusia. Maka UNOOSA adalah badan yang mengawal agar ianya tidak mencetuskan hal yang tidak diingini antara negara-negara yang terlibat.

Dr Mazlan tidak mencapai kejayaan dalam sekelip mata, namun tidak dinafikan beliau memang mempunyai bakat dan kepintaran semula jadi sejak awal lagi. Latar belakang Dr Mazlan dalam bidang akademik amat mengagumkan. Beliau mendapat pendidikan awal dari Kolej Tunku Kurshiah – sebuah sekolah elit untuk pelajar perempuan terbaik dalam negara, sebelum menyambung pengajiannya dalam bidang fizik sebagai salah seorang penerima biasiswa berprestij, Pelan Colombo di Universiti Otago, New Zealand.

Selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Unversiti Otago, beliau kembali ke Malaysia dan mengajar di UKM, sebelum pulang semula ke Universiti Otago bagi menyambung pengajiannya di peringkat PhD. Beliau menjadi wanita pertama yang memperolehi PhD dalam bidang fizik di Universiti Otago sejak penubuhan universiti tersebut pada 1869.

Dr Mazlan mungkin amat berjaya di luar negara, namun kejayaan di negeri orang tidak melunturkan jati dirinya untuk membantu negara sendiri. Selepas berkhidmat bersama PBB, Dr Mazlan telah kembali ke Malaysia pada 2002 untuk mengasaskan Agensi Angkasa Negara Malaysia, ANGKASA yang bertanggungjawab mencipta sejarah menghantar angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar. Biar demikian, khidmatnya di ANGKASA tidak begitu lama. Pada 2007, beliau kembali menyambung khidmatnya bersama dengan UNOOSA PBB selepas dijemput oleh Setiausaha Agung yang baharu ketika itu, Ban Ki-Moon.

Walaupun bukanlah seorang tokoh yang terlibat dalam dunia yang lebih sensasi, Dr Mazlan bagaimana pun tidak lari dari menjadi tumpuan media dan kontroversi nakal. Pada 2010, beberapa agensi media telah melaporkan Dr Mazlan bakal dilantik oleh PBB sebagai duta planet bumi untuk berkomunikasi dengan makhluk asing dari dunia luar. Berita ini bagaimana pun dinafikan oleh kedua-dua PBB dan Dr Mazlan. Berita tersebut telah disalah lapor kerana ada media yang tidak memahami konteks ucapan beliau dalam sebuah forum. Dr Mazlan bagaimana secara berseloroh menyukai idea tersebut namun tidak mengambilnya secara serius.

Beliau kini telah bersara dari PBB sepenuhnya dan giat menjadi penasihat bagi badan-badan berkaitan sains dan angkasa, pensyarah jemputan, dan felo bagi Akademi Sains Malaysia. Dr Mazlan juga kini adalah Pengarah bagi Majlis Sains Antarabangsa untuk rantau Asia Pasifik. Malaysia adalah negara yang bertuah kerana memiliki seorang tokoh yang amat hebat seperti beliau, dan andai sahaja negara ini dapat lebih memajukan bidang sains dan angkasanya, pasti lebih ramai lagi Dr Mazlan yang dapat dilahirkan di sini. - ALTERNATIF

Foto ihsan Tatler Malaysia

Share this Post: