Hujan Batu di Negeri Sendiri: Diaspora Malaysia dan Bakat Yang Dipersia (Bhg 1)

Hujan Batu di Negeri Sendiri: Diaspora Malaysia dan Bakat Yang Dipersia (Bhg 1)

Pepatah melayu ada menyebut, ‘hujan emas di negeri orang,hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’. Namun bagi rakyat Malaysia yang berhijrah ke luar negara, ‘grass is always greener on the other side’. Diaspora Malaysia yang berlaku ini majoritinya melibatkan golongan profesional yang berpendidikan tinggi dari pelbagai industri.

Tahun 2019, Singapura melaporkan sebanyak 44% migran di negaranya adalah rakyat Malaysia dimana 18% merupakan etnik cina. Ini tidak termasuk 300 ribu rakyat Malaysia yang berulang alik setiap hari dari Tambak Johor ke Singapura. Manakala Korea Selatan pula melaporkan terdapat 25 ribu migran di negaranya dan 5 ribu adalah rakyat Malaysia. Australia pula melaporkan terdapat 33 ribu rakyat Malaysia di sana dan kira-kira 10 ribu adalah pendatang tanpa izin di mana visa mereka telah tamat tempoh 90 hari. Tidak dinafikan ketiga-tiga negara ini menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana matawang, keadaan ekonomi serta teknologi yang lebih tinggi berbanding Malaysia. 

Sedar atau tidak, penghijrahan mereka membawa kerugian serta memperlahankan pertumbuhan negara. Menurut Talencorp, sehingga tahun 2019, anggaran sebanyak 1.2 juta rakyat Malaysia telah berhijrah meninggalkan negara. Pelbagai program telah dijalankan untuk menarik bakat-bakat ini agar pulang ke tanah air antaranya ‘Returning Expert Program’, ‘Career Comeback Tax Exemption’ dan ‘Career Comeback Program’. Antara faedah yang ditawarkan adalah kadar cukai tetap 15% ke atas pendapatan pekerjaan yang boleh dikenakan cukai untuk jangka masa lima tahun berturut-turut, pasangan dan anak-anak akan layak untuk status PR, dikecualikan daripada cukai untuk semua barang peribadi yang dibawa ke Malaysia, dikecualikan duti atau cukai sehingga maksimum RM150,000 ketika membeli satu Complete Knocked Down (CKD) buatan tempatan atau membawa kembali kereta Lengkap Built Up (CBU) yang diimport sepenuhnya dan menyalurkan mereka kepada majikan di syarikat tempatan untuk direkrut. Majoriti syarikat tempatan menyatakan mereka hanya mampu mengambil satu ke dua orang pekerja sahaja dalam suatu masa memandangkan jurang kadar buruh yang amat tinggi.

Persoalannya, mengapa sehingga kini usaha-usaha ini masih tidak membuahkan hasil? 

Malaysia berhasrat untuk keluar dari kelompok dunia ketiga dan menyasarkan tahun 2024 untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Ianya amat sukar sekali untuk dicapai kerana Malaysia bukan sahaja tidak berkeupayaan untuk memberi platfom kepada bakat-bakat tempatan menyerlah, tidak  mampu mengekalkan bakat sedia ada apatah lagi untuk ‘memancing’ bakat asing ke negara ini. Ibarat ‘katak hendak menjadi lembu’,itulah situasi kita pada masa kini.

Amat memilukan sekali apabila bakat-bakat ini terlepas ke luar negara dan kecemerlangan mereka mendapat pengiktirafan dari negara luar sedangkan mereka adalah rakyat negara kita.  Apa yang boleh kita lakukan adalah menonton kejayaan mereka dari jauh dan menumpang bangga dengan mencanang di media-media bahawa mereka ini ‘berasal’ atau ‘pernah berasal’ dari Malaysia. Kenapa saya katakan ‘pernah berasal’? Rata-rata mereka yang berhijrah dan mempunyai karier yang mantap di sana tidak pernah pulang yakni telah menukar kerakyatan mereka! Sedih!

Mari kita kenang kembali permata-permata yang telah hilang ini.

Ruslin Tamsir anak kelahiran Kuala Lumpur, telah mereka-cipta sebuah pembesar suara (speaker) untuk sistem audio supercar  seperti McLaren, BMW dan Volvo. Belia yang juga adalah ketua jurutera di syarikat Harman, Jerman ini menjadi wakil Harman Eropah dalam menghasilkan dasar pembangunan speaker untuk global. Kini Ruslin menerima royalti untuk setiap speaker McLaren yang dihasilkan oleh syarikat itu. Sayang sekali, alangkah indahnya jika Proton mampu memberi peluang yang setara dengan syarikat Eropah, sudah pasti bakat seperti Ruslin dapat memberi keuntungan kepada negara. 

Selain itu, seorang anak watan Malaysia yang digelar Uncle Hashim telah dianugerahkan Pingat Order of Australia (OAM) pada sambutan Hari Australia 2021. Beliau berkhidmat sebagai sukarelawan kepada komuniti Islam dan rakyat Malaysia di Canberra. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab menjadikan penyembelihan halal sebagai sesuatu yang sah di Canberra, disamping pelbagai aktiviti kesukarelawanan. Beliau turut mengakui amalan pilih kasih di Malaysia menyebabkan beliau membawa diri ke Canberrra. Apabila ditanya, beliau telah melepaskan kewarganegaraan Malaysia, dan tidak pernah berhasrat untuk kembali ke tanah air. Sangat sukar untuk mengembalikan permata yang telah hilang.

Kita juga bangga akan kehebatan K Gurunathan, anak jati Pulau Pinang yang kini merupakan Datuk Bandar di Kapiti Coast, New Zealand. Beliau telah memenangi pilihan raya di bandar itu sejak tahun 2016 dan masih berjaya mempertahankan jawatan itu sehingga kini. Beliau berpendapat bangsa, agama dan etnik tidak membataskan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau. Seperti yang lain, K Gurunathan juga telah melepaskan kerakyatan beliau.  

Dr. Lam Shu Jie seorang anak tempatan dan saintis 'Malaysia' berusia 27 tahun yang menetap di Melbourne, Australia. Beliau telah menggemparkan dunia perubatan setelah berjaya menemui kemungkinan penyelesaian untuk menyembuhkan jangkitan ‘Superbug’. Awalnya, beliau merupakan antara pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi malangnya gagal untuk memperolehi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi meneruskan pembelajarannya ke peringkat ijazah. Keputusan yang cemerlang menyebabkan beliau ditaja oleh Universiti Melbourne untuk pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah dan kini menerima anugerah di peringkat antarabangsa iaitu di Australia dan ‘Young Overseas Chinese Award’ dari China. Dr. Lam kini menjadi rebutan pemerintah dan universiti China, Australia dan Singapura untuk menyertai pusat penyelidikan di negara mereka. Betapa ruginya negara kita, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

Nor Hairuddin anak kelahiran Pahang telah berhijrah ke Jepun dan bekerja di bawah syarikat terkemuka iaitu Honda. Beliau menjadi tulang belakang kepada penghasilan sistem ‘Super Handling All-Wheel Drive’ atau SH AWD bagi industri automotif. Beliau adalah pakar yang telah mencipta sistem tersebut dan telah mempatenkan beberapa reka bentuk AWD di bawah namanya dan juga Honda.  Nor Hairuddin tidak berhasrat untuk pulang ke tanah air dan memilih untuk terus menetap di Jepun. 

Masih terdapat ramai rakyat Malaysia yang menempa nama di persada dunia dan kehilangan mereka sukar untuk dicari ganti antaranya, Jocelyn Yow iaitu seorang ahli politik Amerika Syarikat kelahiran Malaysia yang kini merupakan Datuk Bandar Eastvale, California. Selain itu, adik Haryz Nadzim iaitu kanak-kanak genius Malaysia yang mencipta sejarah apabila menjadi ahli termuda Mensa UK dan telah menyertai persatuan skor kecerdasan minda (IQ) sebanyak 142 menerusi ujian Stanford Binet serta terdapat ramai lagi. 

Mengapa terjadinya diaspora ini? Nantikan bahagian seterusnya. - ALTERNATIF

Bersambung dalam Bahagian 2. 

Foto: NST

Share this Post: