Di Sebalik Pulau

Di Sebalik Pulau

Bila disebut Pulau Pinang, gambaran terawal selalunya adalah ibu kotanya George Town, yang sekian lama tersenarai sebagai salah satu destinasi pelancongan antara terbaik dunia. Setibanya musim bercuti, pelancong dari negara asing mahupun tempatan akan berpusu-pusu ke bandar tersebut. 

Ada yang melawat untuk menikmati keenakan makanan tempatannya, ada yang menggemari estetika Bandar Warisan UNESCO tersebut, ada juga pencari hiburan yang ingin meraikan kerancakan suasana malamnya. Semuanya serba lengkap di George Town. 

Yang jarang disedari ramai adalah menikmati Pulau Pinang itu tidak pernah hanya terhenti di George Town. Lebih kurang 20 km dari ibu negeri, atau kira-kira setengah jam perjalanan arah Barat Daya, anda akan sampai ke Balik Pulau, daerah terpencil yang jauh dari hingar bingar dan keriuhan yang biasa melatari percutian di negeri utara semenanjung tersebut.

Menelusuri sejarahnya, Balik Pulau adalah sebuah perkampungan agrikultur yang terbangun bermula seawal 1794. Melalui pertembungan awal pelarian Melayu dari Kedah yang diserang Siam, dengan etnik Cina yang berhijrah untuk memburuh di ladang dan perusahaan British; Balik Pulau terus berkembang sehingga menjadi nadi ekonomi penting buat Pulau Pinang di bawah British. 

Tanpa Balik Pulau, British tidak mungkin dapat bersaing dalam perang perdagangan melawan Belanda di sepanjang Selat Melaka. Rempah-ratus, buah pala dan hasil tani yang menjadi komoditi utama perdagangan British di Pulau Pinang dan amnya Asia Tenggara tumbuh dan dikeluarkan dari Balik Pulau. 

Pertembungan budaya dan aktiviti ekonomi Balik Pulau ini juga melahirkan apa yang dikenali sebagai Pekan Kongsi – pekan kecil yang menjadi pusat ekonomi masyarakat, sejak dahulu hingga kini. Pekan Kongsi mendapat namanya dari penempatan kongsi seperti rumah panjang yang menempatkan buruh dan pekerja kebun yang membanting tulang di Balik Pulau. Nama pekan, bangunan, dan tinggalan lama seperti monumen air pancut yang didirikan pada kurun ke 19 dahulu masih kekal sehingga hari ini. 

Balik Pulau hari ini tidak sama seperti mungkin 10 tahun yang lalu. Akses jalan raya dan pengangkutan awam yang lebih mudah kini menjadikan Balik Pulau mula dilawati pelancong yang curious. Penduduk tempatan juga tidak lagi hanya bergantung kepada aktiviti agrikultur. 

Menempuhi perjalanan panjang dan berbelok-belok perlulah berbaloi dengan hasil yang bakal ditemui. Jadi, apa yang ada di Balik Pulau?

Mulakan dahulu dengan keluaran tempatan iaitu produk taninya. Buah pala dan tentu sekali durian yang menjadi kegilaan pelancong di Pulau Pinang kesemuanya datang dari daerah ini. Tentulah lebih murah dan pelbagai di tempat asalnya. Terserah kalau mahu berpuas hati dengan durian pre-packed yang dijual lebih mahal di tengah George Town – atau menikmati yang baru gugur sehingga kenyang dengan berlatar belakangkan kehijauan Balik Pulau. 

Begitu juga untuk penggemar makanan laut segar – Pulau Betong dalam daerah Balik Pulau adalah perkampungan nelayan tersorok yang jarang diketahui orang luar. Di sini, makanan laut boleh dibeli terus dari nelayan samada ada di jeti nelayan atau di Pasar Nelayan Pulau Betong. Makanan laut yang dibeli boleh dibawa ke mana-mana restoran atau warung tempatan untuk dimasak. 

Terima kasih kepada internet, makin ramai juga anak muda tempatan yang mula menawarkan pakej pelancongan unik untuk mereka yang mahu benar-benar meneroka Balik Pulau. Inap desa instaworthy di balik dusun atau pinggir bukit, berbasikal keliling kampung, melawat sawah padi terakhir dalam kepulauan Pulau Pinang, menikmati hasil segar dari dusun dan kebun, memancing atau mandi manda di Pantai Pasir Panjang atau air terjun Titi Kerawang – Balik Pulau yang tenang tidak sunyi dari aktiviti pelancongan. 

Tidak susah untuk jatuh cinta dengan Balik Pulau, apa lagi buat orang yang mahu mencari kelainan ketika bercuti atau menjelajah. Selepas beberapa hari melayan kesibukan George Town, ketenangan di Balik Pulau boleh jadi penutup yang baik untuk percutian Pulau Pinang. Masih mahukan gambar street art ala Lebuh Armenian? Jangan risau, Balik Pulau ada lebih banyak mural jalanan rare yang belum viral. - ALTERNATIF

Foto ihsan Facebook Street Art Balik Pulau

Share this Post: