I.
Di dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen – Raja Berpelembagaan, monarki sering digambarkan berada di atas politik (above politics). Satu lagi frasa penting yang sering terkait ialah raja bertakhta namun tidak memerintah. Namun, apakah maksud sebenar dua frasa atau prinsip tersebut dan sejauh mana ianya benar berdasarkan realiti?
Rata-rata di dunia terdapat dua sistem pemerintahan sama ada republik atau monarki. Monarki atas apa sahaja nama – raja atau sultan seperti kebanyakkan negara, putera atau emir di Monaco, Liechtenstein, Qatar dan beberapa lagi negara ataupun grand duke seperti Luxembourg – mereka terpilih mewarisi kedudukan ketua negara atau ketua kerajaan secara keturunan.
Manakala republik ialah sistem negara yang ketua negara dan ketua kerajaannya ialah seseorang yang dilantik secara demokrasi. Namun begitu sistem monarki dan republik ini masih mempunyai cabang-cabang yang tersendiri.
Sistem republik ataupun sistem berpresiden itu sendiri mempunyai beberapa bentuk. Sistem berpresiden yang digunakan secara meluas ialah sistem berpresiden penuh (full presidential), sistem separa-presiden (semi-presidential) dan sistem presiden berparlimen (parliamentary presidential).
II.
Sistem berpresiden penuh contohnya diamalkan di Indonesia dan Amerika Syarikat. Presiden dipilih secara terus oleh rakyat. Mereka ini ketua negara sekaligus ketua kerajaan. Mereka ialah mempunyai kuasa eksekutif, tetapi terpisah daripada sistem legislatif. Mereka tidak berada di atas politik tetapi mereka adalah kemuncak di dalam hierarki politik sesebuah negara.
Sistem separa-presiden pula contohnya diamalkan di Perancis. Sistem ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang berbeza di sesetengah negara yang mengamalkannya. Kedudukan presiden wujud bersama dengan perdana menteri. Namun presiden tetap kemuncak di dalam hierarki politik.
Yang menariknya di Perancis jika presiden dan perdana menteri datang dari dua parti politik yang berbeza, secara konvensyen atau tradisinya presiden akan mengambil tanggungjawab di dalam perihal urusan luar negara serta pertahanan manakala perdana menteri akan mentadbir urusan ekonomi dan hal ehwal dalam negara. Jika mereka datang daripada parti yang sama, terpulang kepada presiden setakat mana beliau mahu memberikan autonomi kepada perdana menteri.
Selain itu wujud beberapa lagi sistem berpresiden di nagara satu parti seperti di China yang peranannya sekadar ‘ceremonial’. Di Afrika Selatan pula presidennya mempunyai kuasa penuh sebagai ketua kerajaan dan ketua negara namun dia tidak dipilih oleh rakyat secara penuh sebaliknya dipilih oleh dewan.
Bagi sistem presiden berparlimen pula, kemudian kita akan cerita.
III.
Sistem monarki pada hari ini pula selalunya terbahagi kepada dua iaitu monarki mutlak dan monarki berpelembagaan. Namun wujud perincian yang sedikit berbeza dalam amalan monarki berpelembagaan.
Brunei dan Arab Saudi adalah diantara contoh negara yang mengamalkan monarki mutlak. Walaupun raja tidak lagi bertindak arbitrari seperti zaman dahulu kala dan perlembagaan negara telah diwujudkan, namun raja berkuasa penuh dalam menentukannya. Mereka adalah ketua kerajaan dan ketua negara, mereka berada di puncak hierarki politik dan di puncak kuasa.
Di dalam monarki berpelembagaan pula, terdapat dua perbezaan amalan yang jelas. Pertamanya monarki masih memegang peranan penting dalam urusan pentadbiran kerajaan walaupun wujud kabinet daripada perwakilan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.
Monarki masih mempengerusikan mesyuarat kabinet serta berkuasa memilih kabinetnya sendiri, masih memiliki veto atas rang undang-undang dan berperanan besar dalam urusan ekonomi negara. Sistem ini dapat dilihat jelas dalam urusan negara seperti Liechtenstein, Monaco, Jordan dan Maghribi. Walaupun tidak berada di puncak kuasa seperti monarki mutlak, namun monarki berpelembagaan jenis ini masih meletakkan pemilik takhta di puncak hierarki politik dan memegang kuasa yang sangat besar.
Keduanya ialah monarki berpelembagaan yang mana monarki cuma berperanan secara ‘ceremonial’. Walaupun bersifat ‘ceremonial’, namun masih tersemat di dalam perlembagaan tentang beberapa kuasa yang dimiliki oleh raja yang bertakhta. Ada kuasa yang dinasihati oleh kabinet (jemaah menteri) namun ada kuasa yang budi bicaranya besar seperti hemat baginda untuk memilih perdana menteri.
Monarki yang beginilah yang dikatakan sebagai diatas politik dan ia diamalkan di Malaysia dan India. Sama juga seperti kedudukan presiden berparlimen seperti yang diamalkan oleh Singapura dan India.
Namun begitu, kedudukan diatas politik oleh presiden berparlimen ini sememangnya nampak terhad dan benar-benar bersifat ‘ceremonial’. Namun bagi monarki berpelembagaan, apakah kedudukan takhta benar-benar diatas dan melangkaui politik sedangkan baginda masih mempunyai budi bicara dan hak-hak tertentu dalam pentadbiran negara?
IV.
Monarki berpelembagaan atau berparlimen sudah tentulah mempunyai kuasa dalam politik. Ini kerana politik secara asalnya bermaksud atau boleh dirumuskan sebagai urusan urusan mentadbir rakyat, negara dan segala sumbernya. Jadi maksud sebenar diatas politik ialah monarki tidak menzahirkan pandangannya atau masuk campur urusan di dalam politik kepartian dan kekal neutral politik terhadap subjeknya.
Walaupun frasa bahawa – monarki bertakhta tetapi tidak memerintah – ada ditekankan oleh bijak pandai seperti Vernon Bogdanor, Thomas Macaulay dan pakar perlembagaan persekutuan iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, namun ada tiga hak yang menyerlahkan peranan raja secara umum.
Almarhum Sultan Azlan Shah di suatu masa pernah menggemakan kembali pandangan Walter Bagehot bahawa tiga hak tersebut ialah i) hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan (the right to be consulted), ii) hak untuk memberi galakan dan dorongan (the right to encourage) dan iii) hak untuk memberi peringatan dan teguran (the right to warn).
Sudah tentulah ketiga-tiga hak ini tidak tertulis di mana-mana celah dalam perlembagaan persekutuan, namun sebagai seorang manusia yang hidup bernegara, raja perlu proaktif dan cakna tentang urusan dan permasalahan negara.
Namun dalam menyampaikan ketiga-tiga hak tersebut, perlukah seorang raja menyampaikannya secara terbuka sehingga seluruh rakyat tahu apa yang terbuku di hati baginda?
Ini adalah diantara persimpangan prinsip atau cuma sekadar frasa – diatas politik. Pertamanya saya mahu bertanya, siapakah yang berhak menasihati dan dinasihati? Kabinet yang berhak menasihati raja atau raja yang berhak menasihati kerajaan?
Bolehkah raja menasihati kerajaan dan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam politik secara terbuka? Atau ia perlu dilakukan secara tertutup? Apatah lagi jika raja secara terbuka mengkritik ahli politik yang telah dipilih oleh rakyat dan terang-terang mahu menjatuhkannya. Atau baginda membelakangi demokrasi secara terbuka. Sebaliknya bolehkah pula misalnya – seorang ahli politik menegur monarki secara terbuka di dalam dewan parlimen?
Di dalam suatu negara yang masih berpegang kepada budaya menghormati raja, setiap titah baginda memberi kesan. Walaupun ada nasihat baginda yang terlihat baik, namun jika dilakukan secara terbuka ia boleh terseret ke kancah politik.
Mungkin peranan Ratu British boleh dicontohi. Walaupun dalam beberapa keadaan baginda dikatakan mempunyai pandangan yang tersendiri, namun pandangan itu disampaikan secara rahsia dan tertutup kepada pentadbiran kerajaan. Di khalayak ramai baginda kekal tidak menzahirkannya bagi mengekalkan status baginda yang tidak berpihak dan diatas politik.
V.
Namun dilema di atas politik bukan sekadar itu. Dalam beberapa situasi ada monarki berpelembagaan yang jelas ikut campur dalam urusan politik dan pentadbiran kerajaan, mengumpul kekayaan besar-besaran walaupun ia bertentangan dengan peraturan. Apatah lagi perbelanjaan bagi menanggung seluruh kerabatnya – perkara ini amat jelas berlaku di sebuah negara jiran.
Konsep diatas politik tidak lagi difahami sebagai berkecuali daripada politik, sebaliknya ditafsir sebagai mengatasi politik (being on top of politics). Namun begitu kerana alah tulah, salah raja dibiar sahaja. Apatah lagi takut-takut menghina ‘bayangan Tuhan’ pula.
Saya tidak menentang konsep monarki berpelembagaan, namun raja harus diletak pada tempatnya dan baginda harus berhikmah dan adil. Saya tidak dapat menafikan bukti empirikal bahawa Index Demokrasi yang dikeluarkan Economist Intelligence Unit sering menunjukkan bahawa kedudukan sepuluh negara demokrasi terbaik sering didominasi oleh negara-negara yang masih mengekalkan kedudukan raja berpelembagaan.
Namun bukti juga menunjukkan bahawa masih ada negara-negara monarki berpelembagaan yang masih diiktiraf sebagai negara autoritarian dan lemah demokrasinya. Mungkin sukar untuk mencari kesempurnaan, tetapi kita boleh sentiasa mengambil iktibar dan memperbaiki keadaan.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: royal.uk
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.