Dewa Bola Sepak Dunia

Dewa Bola Sepak Dunia

Sebelum wujudnya bola sepak moden pada kurun ke 21, arena bola sepak diwarnai dengan beberapa nama pemain yang memiliki kemahiran yang menarik. Namun tidak ada yang lebih cult berbanding Diego Maradona, pemain kebangsaan Argentina yang dilahirkan pada 30 Oktober 1960 di Villa Fiorito, Buenos Aires. 

Julung kali beraksi secara profesional adalah bersama pasukan tempatan di Argentina, Argentinos Juniors pada 1976. Bakatnya berkembang apabila berpindah ke Boca Juniors, kelab yang disifatkan Maradona sebagai pujaan hatinya. Kehebatan beliau terbukti setelah membantu kelab tersebut menjuarai piala liga ketika musim kedua beliau di sana. 

Selain Boca Juniors, beliau juga pernah beraksi di Eropah bersama Barcelona (1982-1984) dan Sevilla (1992-1993) di Sepanyol, serta Napoli di Itali (1984-1991). Sebelum pulang ke pangkuan kelab Boca Juniors pada 1995, beliau pernah menyertai Newell Old Boys tetapi gagal menjaringkan sebarang gol dan hanya membuat penampilan sebanyak 7 kali di sana.

Napoli boleh jadi adalah pasukan yang paling signifikan buat Maradona. Sepanjang 7 tahun di Napoli, 259 penampilan telah dilakukan beliau di samping 115 gol yang terhasil. Begitu siginifikannya beliau, Datuk Bandar Naples, halaman buat Napoli baru sahaja dilaporkan bakal menamakan stadium mereka sebagai “Stadio Diego Armando Maradona” atau pun “Sao Paolo-Maradona”. 

Jasa dan khidmat Maradona di Napoli amat besar. Ketika bersama pasukan Itali tersebut, beliau telah berjaya memenangkan banyak trofi kejohanan tempatan seperti Serie A (1987 & 1990), Coppa Italia (1987), UEFA Cup (1989), dan Piala Super Itali (1990).

Begitu pun, Maradona akan tetap dikenali sebagai pemain tonggal buat Argentina. Bersama pasukan kebangsaan, aksi awalnya adalah pada usia 16 tahun ketika menentang Hungary. Lebih sedekad bersama Argentina, beliau menempuh sebanyak 4 edisi Piala Dunia; 1982, 1986, 1990, dan 1994. Tentu sekali aksi paling diingati adalah ketika Argentina menjadi juara kejohanan berprestij tersebut pada tahun 1986 menumpaskan Jerman Barat di Mexico. 

Bermula dari saat itu, nama Diego Maradona sentiasa meniti bibir peminat bola sepak. Tidak kurang yang masih membincangkan apa yang telah berlaku. Apa lagi kalua bukan peristiwa jaringan dua gol menakjubkan; menggunakan tangan dan aksi gelecekan istimewa ketika menentang pasukan England di peringkat suku akhir. 

Walaupun pada awalnya beliau menafikan sebarang kesilapan dan menyatakan gol itu sah kerana menggunakan sedikit anggota kepala hingga gol itu digelar sebagai gol “Tangan Tuhan”. Namun pada tahun 2005, beliau mengakui bahawa gol tersebut sengaja dijaringkan menggunakan tangan.

Gol kedua pula terhasil sewaktu beliau menonjolkan kemahiran dan teknik menggelecek yang membuatkan penonton terpukau melihatnya. Beliau berjaya melepasi asakan dan pengawasan lima orang pemain lawan dari jarak kira-kira 60 meter sebelum melakukan jaringan. 

Helah serta kebijaksanaan beliau mengawal bola hingga mampu melepasi benteng pasukan England untuk menjaringkan gol telah berjaya menjadikan gol tersebut diiktiraf sebagai Goal of the Century oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pada edisi piala dunia yang lain, Diego Maradona tidak berjaya membantu Argentina untuk muncul juara. Karier beliau semakin merosot disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah kecederaan dan penyalahgunaan dadah. 

Dalam satu kejadian misalnya, hasil ujian yang dilakukan mendapati beliau positif bahan kimia efedrina. Walaupun beliau menyatakan bahawa ia akibat kecuaian jurulatih peribadinya yang memberikannya minuman tenaga Rip Fuel untuk menurunkan berat badan, FIFA tetap menjatuhkan hukuman menyingkirkan beliau daripada kejohanan Piala Dunia. Pasukan Argentina akhirnya turut disingkirkan pada pusingan kedua kejohanan tersebut.

Banyak kontroversi yang melanda karier bola sepak Diego Maradona, tetapi nama beliau sentiasa segar di ingatan peminat bola sepak. Maradona lebih dari seorang pemain bola sepak, turut menjadi ikon berstatus cult hingga ada peminat yang menubuhkan gereja khusus untuk memujanya. 

Seadilnya, sejarah telah membuktikan bahawa Diego Maradona sememangnya merupakan tokoh bola sepak yang mahsyur sepanjang zaman. Pencapaian peribadi dan berpasukan yang dimiliki oleh beliau adalah suatu perkara yang amat luar biasa. Peminat bola sepak di seluruh dunia akan sentiasa mengingati nama beliau sebagai dewa bola sepak sepanjang zaman, Diego Armando Maradona.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone

Foto hiasan ihsan David Yarrow

Share this Post: