Seperti sebuah norma, banyak negara hari ini mengamalkan struktur pentadbiran berasaskan demokrasi. Ideologi politik yang bertitik tolak dari nilai-nilai dalam prinsip demokrasi semakin hari semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Namun secara tidak sedar, ramai juga dalam kalangan kita yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan demokrasi.
Demokrasi adalah sistem pentadbiran sesebuah negara yang dikawal dan ditentukan oleh rakyat secara amnya. Demokrasi berasal daripada perkataan Yunani yang membawa maksud "rakyat yang memerintah". Kalau mengikut amalan moden dan kebanyakan sekarang, sistem demokrasi merupakan satu sistem melibatkan pembuatan keputusan melalui proses pengundian bagi memilih wakil-wakil rakyat, atau pemimpin tempatan, presiden, dan sebagainya untuk mewakili suara rakyat dari tempat mereka di parlimen, senat, atau dewan-dewan perundangan lain selain menganggotai pusat pentadbiran atau eksekutif. Dalam erti kata yang lain, sebuah kerajaan itu berfungsi melalui kuasa tertinggi yang dikurniakan oleh rakyat dan digunakan secara terus melalui satu sistem perwakilan dengan mengadakan pilihan raya bebas.
Menurut saintis politik daripada Amerika Syarikat, Larry Diamond - secara asasnya sistem demokrasi ini terdiri daripada empat elemen utama iaitu sistem politik untuk memilih dan menggantikan sesebuah kerajaan melalui pilihan raya yang adil dan bebas. Kedua, penyertaan aktif masyarakat sebagai warganegara dari segi politik dan kehidupan sivik. Ketiga, perlindungan hak asasi manusia bagi semua lapisan rakyat sebagai warganegara, dan keempat, satu kaedah perundangan yang mana undang-undang dan prosedur digunakan secara sama rata terhadap semua golongan rakyat.
Bentuk sistem demokrasi di setiap negara juga berbeza seperti sistem demokrasi berparlimen, demokrasi berpresiden dan sebagainya. Bak kata tokoh besar dan sejarawan dari bumi Nusantara iaitu Professor Doktor Buya Hamka - "seseorang yang berakal itu akan hidup demi masyarakat bukannya demi dirinya sendiri,". Maka terjelaslah bahawa , demokrasi itu bukan sahaja bergantung kepada peranan rakyat yang melibatkan diri dalam pemilihan wakil-wakil rakyat mereka tetapi demokrasi itu juga bergantung kepada kepimpinan wakil-wakil rakyat yang dipilih.
Namun saban hari kita mendengar pelbagai berita yang memberi tanggapan buruk terhadap demokrasi di negara kita. Demokrasi kian tercalar apabila wakil-wakil rakyat yang mewakili suara-suara rakyat di tempat mereka terlibat dengan banyak gejala-gejala negatif seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan duit.
Parasit sebegini di dalam sistem demokrasi ini kian jelas apabila salahlaku ini dipaparkan oleh media baik arus perdana mahupun bukan. Seluruh media pernah melaporkan, seorang pemimpin yang pernah berada dalam tampuk kepimpinan negara juga terlibat dalam kes rasuah yang bernilai sehingga RM42 juta dan kes pecah amanah yang bernilai RM6,636,065,000 ketika berkuasa. Paparan sebegini memberi gambaran yang buruk terhadap sistem demokrasi negara, seolah sistem ini tidak melindungi kepentingan rakyatnya. Adakah ini imej demokrasi yang kita ingin semaikan dalam diri generasi yang akan datang? Demokrasi yang kita pelihara sejak kemerdekaan akan luntur nilainya jika para pemimpin yang masih melakukan salah laku ini terus berkuasa.
Demokrasi yang lemah dan luntur mampu menjejaskan kestabilan sesebuah negara dari pelbagai aspek. Kecacatan demokrasi sesebuah negara menggugat kestabilan politik sehingga menjurus kepada penjajahan negara asing yang hari ini lebih kompleks berbanding dahulu. Demokrasi yang lemah juga mampu menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di negara kita sehingga dapat menjerumuskan kita ke kancah perpecahan kaum yang tidak pun mustahil boleh mengakibatkan pertumpahan darah berlaku.
Inilah kesan-kesan buruk yang akan menimpa sekiranya demokrasi di negara yang mengamalkannya tidak diperbaiki . Demokrasi di negara kita perlu diperbaiki demi kesejahteraan semua warganegara. Segala unsur-unsur yang mencalarkan sistem demokrasi perlu dibanteras sehabis baik agar demokrasi yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang yang terdahulu menjadi bersih dan murni sekali lagi. Demokrasi yang diperbaiki ini mampu mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pihak pemerintah.
Melaksanakan sistem demokrasi bukanlah kerja yang mudah tetapi bagi mengekalkan penggunaan sistem demokrasi yang baik dan bersih merupakan perkara yang lebih susah daripada melaksanakannya. Maka demokrasi yang dipelihara sejak merdeka perlu dijaga bagi kestabilan politik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat agar tidak jatuh semula ke tangan kuasa asing.
Demokrasi yang baik dan bersih memberikan jaminan bahawa hak-hak warganegara akan menjadi lebih terjamin pada masa kini dan akan datang. Sistem demokrasi yang baik dan bersih perlu dilentur ke dalam diri generasi-generasi muda supaya mereka mengerti apa sebenarnya demokrasi dan apakah kebaikan demokrasi jika dipelihara.
Semoga sistem demokrasi dunia yang diwarisi sejak abad ke-7 ini mampu dipulihara dan dijaga oleh warga dunia agar dapat terus memelihara generasi-generasi masa akan datang.
Firdaus Anuar merupakan anak jati Pulau Pinang. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan isu sosial, semasa, dan aktivisma anak muda di Pulau Pinang. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #MalaysiakuBersaudara
Foto: NST
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.