DATO’ AZHAR MANSOR PELAYAR KEBANGGAAN MALAYSIA

DATO’ AZHAR MANSOR PELAYAR KEBANGGAAN MALAYSIA

Dato’ Azhar Mansor adalah seorang rakyat Malaysia yang telah berjaya belayar secara solo mengelilingi dunia yang meliputi jarak sejauh 21, 600 batu nautika. Beliau hanya bersama sebuah kapal layar, diberi nama “Jalur Gemilang” yang bernilai kira-kira RM2 juta ringgit. Yang menemaninya saat itu hanyalah semangat juang yang tinggi.

Dato' Azhar Mansor mula belayar dari Awana Porto Malai Resort, Langkawi pada 2 Februari 1999, beliau tiba semula di Langkawi pada 11 Ogos 1999. Beliau meredah hampir kesemua lautan di atas permukaan bumi seperti Tanjung Leeuwin Australia, Tanjung Tenggara Tasmania, Tanjung Selatan New Zealand, Lautan Pasifik serta Tanjung Tanduk Selatan Amerika.

Pada awal perancangannya, beliau berhasrat untuk menamatkan cabaran ini kurang dari 100 hari tetapi beliau terpaksa mengambil masa selama 190 hari kerana menghadapi pelbagai rintangan dalam perjalanan seperti kerosakan kapal layar, ribut kencang dan sebagainya.

Enrique of Malacca

Kejayaan seorang anak muda yang bernama Azhar Mansor bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di mata dunia, malah mengulangi kehebatan Panglima Awang atau gelarannya sebagai Enrique of Malacca yang dianggap seorang pelayar yang sangat mahir mengawal kapal supaya tidak karam dibadai ombak yang mengelilingi dunia pada abad ke-16 – walaupun cerita ini tidak diiktiraf kerana berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan selain tiada kesahihan berita tersebut.

Dato’ Azhar Mansor juga berjaya melepasi kawasan maut atau dikenali sebagai ‘doldrums’ kerana kawasannya terletak berhampiran dengan khatulistiwa yang kurang tiupan angin dan dikelilingi suasana yang sunyi dan sangat tenang.

Segala persediaan dan kelengkapan sudah diselia dengan rapi sebelum pelayaran bermula namun malang tidak dapat dihidu. Semasa Dato’ Azhar Mansor meneruskan ekspedisinya untuk menawan dunia secara solo, beliau menghadapi masalah teknikal apabila kapal layarnya mengalami kerosakan di Cape Horn, Amerika Selatan.

Tiang kapal layarnya yang patah sedikit merencatkan perjalanannya sehingga terpaksa beberapa kali memberhentikan seketika pelayaran untuk membaiki kerosakan yang berlaku.

Disebalik kejayaan Dato’ Azhar Mansor mengukir nama dalam catatan sejarah, beliau juga dihimpit dengan spekulasi dan kontroversi yang menyelubungi kehidupannya selepas tamat pelayaran.

Kontroversi isu murtad

Isu beliau murtad hangat diperkatakan sejak beliau tamat belayar sehingga tahun 2006. Banyak berita dan pesanan ringkas (SMS) tersebar luas di seluruh negara menyatakan bahawa beliau tidak lagi menganut agama Islam.

Ada khabar angin juga mengatakan bahawa beliau berjumpa dengan Anak Tuhan iaitu Jesus ketika hampir maut semasa peristiwa terkandas di lautan pasifik tetapi beliau menafikan perkara tersebut.

Tidak dapat dipastikan sejauh manakah perkara ini benar atau rekaan semata-mata, segelintir pihak menyatakan bahawa pelayaran tersebut terselit rahsia besar berkait rapat dengan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Gosip bahawa terdapat beberapa dokumen sulit dibawa bersama kapal layar “Jalur Gemilang” itu untuk diserah dan disembunyikan pihak tertentu di luar negara Malaysia. Kesahihannya terus menjadi tanda tanya kerana tiada saksi dan bukti untuk mengakui perkara tersebut benar berlaku pada ketika itu.

Anugerah dan pencapaian

Pelbagai anugerah dan pencapaian yang diperolehi beliau selepas berjaya belayar mengelilingi dunia. Beliau telah dianugerahkan ‘Kapten Terhormat’ oleh Tentera Laut Diraja Malaysia di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Langkawi.

Beliau juga menerima sijil pengiktirafan daripada World Speed Sailing Record Counsil (WSSR). Bagi anugerah peribadi pula, beliau telah dikurniakan darjah kebesaran daripada Raja Perlis yang membawa gelaran Datuk.

Kesemua anugerah ini diberikan kepada beliau setelah berjaya mengharumkan nama negara selepas belayar secara solo mengelilingi dunia.

Intipati perasmian dan pelancaran Hari Kor Anak Laut (KORAL) yang dilangsungkan pada awal tahun 2018 di Langkawi adalah bermatlamat mendorong generasi muda untuk menceburi kerjaya dalam bidang marin. Pelatih akan didedahkan dengan khazanah laut, memperlajari ilmu pelayaran, kemahiran menyelamat dan lain-lain modul yang berasaskan laut.

Program ini dicetuskan sendiri oleh Dato’ Azhar Mansor yang disokong oleh pihak kerajaan demi menggalakkan golongan belia menceburi industri marin dan menjadikan sektor ini sebagai kerjaya.

Selain itu, Dato’ Azhar Mansor juga pernah bekerjasama dengan pihak Rakan Muda Universiti Teknologi Malaysia melancarkan program cabang ilmu yang diberi nama ‘Cabaran Jalur Gemilang’ pada tahun 2000.

Setiap individu bebas menghasilkan buku, penulisan artikel dan katalog. Hasil penulisan yang terpilih telah mendapat tarikan dan liputan media-media tempatan seperti akhbar New Straits Times. Antara tajuk yang dipilih ialah Meredah Samudera yang ditulis oleh Shareem Amry dan disiarkan pada tahun 2001.

Kebanggaan negara

Kejayaan yang dicapai oleh Dato’ Azhar Mansor boleh dianggap sebagai suatu pencapaian yang sangat membanggakan negara di mata dunia. Beliau bukan sahaja menunjukkan seorang pelaut mampu belayar dalam tempoh yang sangat panjang malah beliau juga membuktikan karakter seorang ahli sukan yang mempunyai jati diri yang sangat hebat menakluk lautan secara solo.

Sebagai rakyat Malaysia, penulis juga berasa bangga atas pencapaian ini dan berharap generasi baharu dapat mencipta nama di peringkat global seterusnya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Syazwan Che Noor seorang pemerhati dan pengkritik sukan

Foto: ms.wikipedia.org

Share this Post: