DARURAT! Ini 5 Perkara Yang Perlu Anda Tahu

DARURAT! Ini 5 Perkara Yang Perlu Anda Tahu

Dalam suasana pandemik yang masih belum reda di Malaysia, kita dikejutkan pula dengan ura-ura keputusan kerajaan yang mahu mengisytiharkan darurat. 

Banyak spekulasi yang sedang bertiup. Ada juga yang mendakwa darurat yang sedang diputuskan ini hanyalah "darurat politik". Bagaimana pun, elok jika kita faham apa itu darurat dan sejarahnya di negara kita. 

Berikut 5 perkara yang perlu anda tahu tentang darurat di Malaysia.

1. Apa itu darurat?

Darurat bermaksud sebuah pengisytiharan yang dilakukan jika terdapat kesukaran yang mendesak, mencemaskan atau kritikal seperti bencana alam, pergolakan sivil, ancaman keselamatan, ekonomi dan ketidaktenteraman awam yang berada di luar kawalan sistem pentadbiran sedia ada.

2. Darurat dan Perlembagaan Persekutuan

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, darurat hanya boleh dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, seperti peruntukan dalam Perkara 150. Darurat boleh diisytiharkan pada bila-bila masa jika terdapat ancaman kepada situasi seperti yang dinyatakan di atas.

3. Darurat dalam rentetan sejarah di Malaysia

Darurat yang pertama pernah diisytiharkan adalah Darurat di Tanah Melayu pada tahun 1948-1960. Darurat ini diisytiharkan oleh kerajaan British sebelum Merdeka selepas pendudukan Jepun pada 1942-1945. Darurat di bawah ordinan ini merupakan yang paling panjang pernah berkuatkuasa, iaitu sebelum Merdeka, sehinggalah British telah pun tidak lagi memerintah negara.

Darurat kedua yang pernah dirakam adalah pada tahun 1964 iaitu pada zaman Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan darurat susulan daripada pencerobohan tentera Indonesia melalui sempadan negara di Sarawak dan Sabah sebelum menceroboh Johor.

Darurat kali ketiga yang pernah diisytiharkan adalah Darurat Sarawak 1966 susulan pergelutan kuasa antara kerajaan negeri dengan Persekutuan. Darurat diisytiharkan pada 14 September 1966 sebagai usaha untuk menyingkirkan Ketua Menteri Stephen Kalong Ningkan dan usaha ini berhasil pada 23 September tahun sama.

Darurat paling terkenal dan meninggalkan paling banyak kesan ke atas negara dari segi ekonomi, sosial, dan politik adalah darurat rentetan Peristiwa 13 Mei. 13 Mei merupakan peristiwa besar negara di mana berlakunya rusuhan kaum selepas pilihan raya pada 1969. Krisis tersebut telah mengorbankan banyak nyawa dalam waktu yang singkat.

Di bawah perintah darurat, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak bagi mencari punca dan jalan penyelesaian agar peristiwa begitu tidak berulang.

Antara yang dilakukan oleh MAGERAN adalah membentuk Rukun Negara bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang Perlembagaan Negara dan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Di bawah MAGERAN, Parlimen telah digantung dan penggumbalan undang-undang serta pelaksanaannya tidak melalui proses biasa di Dewan Rakyat. 

Darurat terakhir yang berkaitan kemelut politik berlaku pada 1977, di mana negeri Kelantan telah diletakkan bawah perintah darurat akibat rusuhan politik yang berlaku susulan krisis undi tidak percaya kepada  menteri besarnya pada ketika itu. Peristiwa ini juga yang telah mengakibatkan PAS keluar dari parti komponen BN dan kekal menjadi pembangkang selama berdekad lama.

Tiga perintah darurat terakhir yang pernah diisytiharkan di negara kita tidak sama dengan darurat seperti yang dijelaskan di atas, sebaliknya adalah berkaitan bencana alam.

Darurat bencana telah diisytiharkan sebanyak tiga kali susulan daripada masalah jerebu. Darurat ini diisytiharkan bagi kawasan yang terjejas teruk dengan bacaan indeks pencemaran udara yang tinggi. Darurat jerebu Sarawak (1997), Pelabuhan Klang (2005) dan jerebu Muar/Ledang (2013).

4. Bagaimana negara ditadbir semasa darurat?

Sepanjang tempoh darurat, kerajaan mempunyai kuasa mutlak ke atas negara dan boleh melaksanakan undang-undang darurat tanpa perlu merujuk kepada parlimen.

Undang-undang ini juga boleh membelakangkan Perlembagaan Persekutuan kecuali dalam perkara berkaitan agama, kewarganegaraan atau bahasa.

Dalam kes 13 Mei, PM melantik ahli parlimen yang pada hemat beliau layak untuk menyertai MAGERAN sementara dalam kes darurat Kelantan, PM melantik pegawai kerajaan untuk mentadbir negeri, dengan nasihat beliau. 

Pendek kata, parlimen tidak lagi berfungsi sebagai badan untuk menggubal undang-undang dan semak-imbang. Pemerintah ketika itu mempunyai kuasa mutlak dan tidak lagi boleh dipertikai kecuali dalam perkara-perkara yang telah disebut di atas 

5. Kesan darurat ke atas ekonomi dan sosial

Dalam keadaan ekonomi negara yang sedang nazak akibat pandemik Covid-19, pengisytiharan ini akan menambah lagi kemelaratan ekonomi negara. Kepercayaan pelabur asing akan terjejas bila kerajaan boleh melakukan apa saja, dengan melenturkan undang-undang semahunya.

Pengisytiharan darurat sebenarnya isyarat yang kerajaan berada dalam keadaan tidak stabil atau sedang mengalami masalah besar yang tidak boleh diatasi dengan cara biasa melalui sistem sedia ada.

Walaupun terdapat jaminan bahawa aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa, namun realitinya pasaran saham akan merudum, pelabur akan memilih lokasi lain yang lebih selamat dan paling teruk; pelabur akan memindahkan fasiliti kilang atau perniagaan mereka ke negara lain dan mengakibatkan kehilangan kerja untuk rakyat tempatan. 

Hujungnya, kita masih tidak faham mengapa kerajaan sekarang mahu mengadakan darurat ketika kes secara statistiknya sedang menurun dan tiada campur tangan politik dalam usaha melawan Covid.

Dilaporkan juga sehingga kelmarin, semua pihak  termasuk pemimpin pembangkang telah mula bersetuju dengan idea "genjatan politik" dan memberi kerjasama penuh untuk melawan pandemik ini.

Adakah ini satu langkah politik untuk mengekalkan kuasa atau menyingkir ahli politik yang tidak sebulu dengan parti pemerintah seperti yang pernah terjadi dalam lipatan sejarah? Masa akan menentukan. - ALTERNATIF

Foto ihsan National Army Museum

Share this Post: