Darurat: Antara Politik dan Pandemik

Darurat: Antara Politik dan Pandemik

Pada pertengahan 2020, kita pernah membahaskan keperluan dan kewajaran mengisytiharkan darurat, ekoran dari huru-hara yang timbul selepas Perdana Menteri menyatakan hasrat untuk memanggil darurat akibat peningkatan kes COVID-19 yang semakin parah. Namun, ramai pakar-pakar yang menyatakan tiada keperluan untuk proklamasi darurat bencana ketika itu.

Tanggal 12 Januari 2021 memperlihatkan sekali lagi huru-hura apabila Perdana Menteri dijadualkan membuat pengumuman proklamasi darurat sebagai langkah untuk mengatasi bencana COVID-19. Pengisytiharan yang akan dilakukan itu kali ini dirasakan perlu kerana kebolehjangkitan hampir melebihi garis 2.0 (RO). Ramai pakar-pakar meramalkan andai tiada tindakan drastik diambil, akan berlaku peningkatan kes sehingga 8000 sehari, yang berada di bawah kemampuan petugas-petugas kesihatan.

Jika tahun sebelum ini, kita telah melihat banyak negara-negara yang melaksanakan darurat bencana seperti negara Amerika Syarikat, Thailand, dan Sepanyol antara lainnya, atas situasi pandemik yang dianggap menggugat keselamatan negara.  

Melihat kepada situasi COVID-19 2021 di Malaysia dengan peningkatan mencanak kes harian melebihi empat angka, keperluan untuk darurat mula dirasakan perlu.

Kuasa memanggil darurat ini berada dibawah kuasa Perlembagaan Persekutuan.  Darurat hanya boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong dibawah peruntukan Perkara 150. Di bawah peruntukan ini, darurat boleh dilaksanakan jika terdapat situasi yang mencemaskan, mengugat keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam seperti demostrasi besar-besaran, perang saudara atau bencana alam.

Melihat kepada perjalanan sejarah negara, kali terakhir Malaysia mengisytiharkan darurat di seluruh negara, adalah pada dua tahun selepas peristiwa rusuhan kaum dan ini telah memberi pengalaman kepada Malaysia menguruskan situasi jika perintah darurat dikeluarkan. Antara beberapa darurat yang telah diisytiharkan seperti Darurat Mei 1969, Darurat Komunis 1948, dan juga Darurat Pengelutan Kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat Sarawak (1966) dan Kelantan (1977).

Secara umum, situasi selepas pengisytiharan darurat ialah perlembagaan digantung dan pentadbiran negara akan ditentukan oleh pihak eksekutif. Malahan tentera juga boleh mengambil alih tampuk kepimpinan jika membabitkan keselamatan negara. Dan kuasa eksekutif ini akan meliputi kuasa persekutuan dan kuasa kerajaan negeri-negeri.

Bila negara mengisytiharkan darurat, secara automatik segala undang-undang yang digubal sebelum ini dan dikuatkuasakan pada tempoh darurat tidak perlu dibawa ke Parlimen. 

Darurat bagaimana pun terbahagi kepada dua kategori, iaitu Darurat Keselamatan dan Darurat Bencana. Dalam konteks Malaysia pada hari ini, darurat yang akan diisytiharkan dikategorikan dalam Darurat Bencana.

Jadi apakah yang dimaksudkan dengan Darurat Bencana? Darurat Bencana adalah darurat yang berbeza dengan Darurat Keselamatan. Untuk Darurat Keselamatan, Parlimen akan dibubar dan tampuk pentadbiran akan diambil alih oleh pihak ketenteraan, dengan apa-apa sahaja undang-undang boleh diluluskan walaupun ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Namun demikian, Darurat Bencana menurut peruntukan No. 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggariskan bahawa, pengisytiharan darurat boleh dilaksanakan secara Peraturan Pentadbiran dan Eksekutif di bawah Perkara 25 atas cadangan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP). Dalam hal ini, Perdana Menteri harus menerima nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara sebelum membuat pengumuman Darurat Bencana.

Dalam konteks ini, Malaysia telah beberapa kali melaksanakan Darurat Bencana. Antaranya seperti Prokamasi Darurat Jerebu Sarawak pada 1997, dan Jerebu Pelabuhan Klang 2005 yang dilaksana selepas Indeks Pencemaran Udara atau API melebihi 500, tahap yang membahayakan nyawa penduduk.

Antara langkah yang akan kerajaan lakukan bila berlakunya pengisytiharan darurat adalah dengan pengambilalihan tempat-tempat bencana, pengambilan tanah, tempat pensendirian, rumah atau bangunan untuk dijadikan pusat pemindahan atau bilik gerakan tanpa kerajaan harus membayar apa-apa saguhati kepada rakyat dan kerajaan juga boleh mengusir sesiapa sahaja dari premis untuk tujuan keselamatan dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, bila pengisytiharan darurat dilaksanakan maka hak asasi rakyat seperti yang terkandung dalam Perkara 5 dan 13 Perlembagaan Persekutuan tidak lagi berupaya untuk melindungi rakyat sehingga keadaan kembali reda dan perintah darurat di tarik balik.

Semasa perintah darurat, tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan segala bentuk arahan dan tindakan daripada pihak berkuasa, terutamanya daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Di bawah tempoh darurat juga, Kerajaan Persekutuan boleh mengarahkan dan memberi kuasa penuh kepada semua agensi termasuklah tentera, bomba, polis dan juga agensi-agensi lain. Suasana sebegini kadangkala akan menimbulkan keadaan panik masyarakat awam dan kelam kabut serta memberi kesan negatif kepada pelabur luar dalam aspek ekonomi.  

Jadi apakah pengisytiharan darurat ini suatu keperluan untuk membendung COVID-19 atau atau penyelesaian kemelut politik?

Jika dilihat baru-baru ini, banyak isu yang terjadi di pucuk pimpinan negara. Antaranya adalah kemelut pemecatan Annuar Musa daripada UMNO dan juga desakan penurunan Perdana Menteri akibat kehilangan majoriti dalam Parlimen yang berbaki 109 sahaja. Untuk membolehkan Perdana Menteri kekal memerintah, beliau harus mendapat sokongan sekurang-kurangnya 111 kerusi daripada Ahli Parlimen.

Jadi persoalan yang timbul adalah, apakah tindakan proklamasi darurat kali ini adalah untuk menyelamatkan keadaan dalam berhadapan kemelut politik pihak atasan atau membendung penyakit berjangkit Covid-19?

Jika darurat dilaksanakan, pilihan raya juga tidak perlu lagi diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Dan hal ini memberi kelebihan dan masa untuk perancangan kerajaan yang selebihnya. Justeru itu juga, dengan pengisytiharan darurat, Perdana Menteri boleh tetap meneruskan pemerintahan sebagai ketua kerajaan selagi tempoh darurat dilaksanakan.

Oleh yang demikian, pada hemat saya jika kerajaan merasakan perlu untuk melaksanakan perintah darurat ini, diharap ia bukan satu keputusan mainan politik tetapi adalah tindakan rasional oleh kerajaan untuk membendung sebenar-benar penularan wabak ini. Kesan keterjejasan kepada masyarakat awam, ekonomi dan juga kestabilan politik negara dalam hal ini amat besar.

Saya juga memohon agar kerajaan melaksanakan satu garis panduan untuk rakyat di luar sana agar kekal damai dan tidak panik. Moga apa sahaja langkah yang di ambil oleh kerajaan adalah untuk menamatkan kesengsaraan COVID-19 ini.

Nurfarhana Awang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.

Foto ihsan Astro Awani

Share this Post: