Danawa, Sastera, dan Cerita

Danawa, Sastera, dan Cerita

Gergasi

Menonton filem Hollywood seperti Godzilla, King Kong dan sebagainya, membuat saya teringat kembali kisah-kisah yang didengari sewaktu kanak-kanak dahulu. Kisah Naga Tasik Chini, pertempuran dua gergasi Pulau Langkawi dan beberapa kisah lagi. 

Cerita-cerita tersebut walaupun kedengaran mengarut dan tahyul, namun ia dianggap sebagai cerita rakyat, lagenda dan mitos yang mengandungi pelbagai pengajaran di samping hiburan. Malah jika mahu, ia boleh dijadikan sebagai modal cerita buat industri perfileman – Hollywood telah membuktikannya.

Kisah pertarungan dua gergasi di pulau Langkawi, iaitu Mat Chincang dan Mat Raya kononnya memberi signifikan kepada geografi di pulau tersebut. Mereka bergaduh dan kemudian menyesal lalu bertukar menjadi gunung. 

Mat Chincang bertukar menjadi Gunung Mat Chincang (atau Machinchang) dan Mat Raya bertukar menjadi Gunung Raya. Malah terdapat juga beberapa nama tempat di Langkawi yang dinamakan akibat dari pergaduhan mereka berdua.

Terlanjur berbual mengenai Langkawi pasti ada antara kita yang teringat kisah Merong Mahawangsa diserang Garuda. 

Burung Raksasa

Tidak seperti Naga Tasik Chini atau kisah Gergasi pulau Langkawi yang bersifat tempatan, kisah Garuda lain pula. Siapa yang tidak kenal kepada watak burung raksasa tersebut? Garuda menjadi kemegahan di Indonesia dan Thailand sehingga watak burung raksasa itu dijadikan inspirasi sebagai jata negara.

Kita tahu bahawa Thailand menerima pengaruh agama Buddha. Indonesia pula walau majoriti masyarakatnya menganut Islam, namun masih kuat mengekalkan tradisi, sastera dan pewayangan yang bersumberkan Hindu-Buddha. 

Daripada pewayangan dan karya sastera seperti inilah perwatakan Garuda masih kekal bernafas di Indonesia walaupun ia berasal daripada kebudayaan Hindu-Buddha yang berasal dari Benua Kecil India. Inilah kekayaan kebudayaan di Nusantara dan Asia Tenggara. 

Di Malaysia pula, Garuda (dieja sebagai Geroda) muncul di dalam “Hikayat Merong Mahawangsa”. Namun kisah Garuda versi Merong Mahawangsa mempunyai garapan keislaman dan sedikit berbeza daripada versi penceritaan di dalam kitab-kitab Hindu-Buddha. Malah watak dan perhubungan antara Jatayu (dieja sebagai Jentayu) dan Garuda sedikit berbeza. Inilah yang menariknya.

Garuda di dalam kisah Hindu-Buddha mempunyai anak saudara yang bernama Jatayu, iaitu makhluk separa-dewa yang juga berupa burung. Namun perhubungan mereka berdua ditampilkan secara berbeza di dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Garuda dan Jentayu

Di dalam Hikayat Merong Mahawangsa versi R.J. Wilkinson ada dikisahkan mengenai rombongan Merong Mahawangsa yang berlayar membawa Putera Raja Rom yang mahu dijodohkan dengan Puteri Raja China. Semasa berlayar, mereka diserang oleh Burung Garuda. Garuda ini bukan burung ‘kaleng-kaleng’ bak kata orang sekarang. 

Terbangnya diiringi mendung hitam, hujan, guruh petir serta angin ribut taufan. Jika mahu membayangkannya secara visual, mungkin kita perlu menonton watak raksasa King Ghidorah di dalam filem “Godzilla: King of the Monsters”. Ukurannya pula besar sehingga boleh menerbangkan beberapa kapal rombongan secara sekaligus.

Apabila tiba di suatu kawasan laut berhampiran Kuala Parit tiba-tiba berlaku hujan dan angin ribut. Buat kali ketiga di dalam pelayaran itu, Garuda telah menyerang. Merong Mahawangsa juga bukan calang-calang saktinya, dia melepaskan anak panah ke udara lalu laut bergempita. 

Panah itu bertukar menjadi Jentayu dan ia menyerang Garuda. Gegar gempita suasana akibat pertarungan antara dua ekor burung danawa tersebut. Namun Garuda lebih hebat, ia memagut Jentayu serta api yang menyala-nyala keluar dari paruhnya. Lalu Jentayu tewas terbakar dan bertukar kembali menjadi anak panah lalu pulang ke bekasnya.

Itulah serba sedikit yang tercatat dalam hikayat tentang Garuda dan Jentayu. Saya tidak berniat untuk membawa perbincangan kita jauh ke dalam hikayat ataupun mahu menilai kebenaran kisah tersebut. Cuma ceritanya memang menarik. Sama ada ia cuma dongengan, rekaan, mitos atau legenda, kita biarkan ia kekal menjadi persoalan.

Burung-burung Yang Terulung

Namun kisah Garuda dan Jentayu bukan sekadar itu. Ada kisah yang menyatakan asalnya Jentayu dan Garuda sememangnya bersahabat baik. Mereka berdua merupakan burung terulung di dunia dan diamanahkan oleh Tuhan untuk menjadi penjaga kepada semua burung-burung di dunia.

Malah ada penceritaan yang bersifat agak kosmologi. Garuda yang melambangkan sifat api dan Jentayu yang melambangkan sifat air bergilir-gilir membawa musim panas dan sejuk di dunia untuk manfaat semua burung-burung lain. 

Namun akibat satu perselisihan, Jentayu membawa diri sehingga ke Rom. Disanalah ia bertemu Merong Mahawangsa lalu bertukar menjadi anak panah.

Kisah versi ini sebenarnya tidak tercatat di dalam hikayat versi R.J. Wilkinson yang dapat saya baca. Saya sendiri tidak beberapa pasti sama ada ia kisah lisan yang bersifat cerita rakyat ataupun tercatat di dalam Hikayat Merong Mahawangsa versi yang lain seperti versi Maxwell ataupun Sturrock dan berbagai lagi.

Catatan Ibnu Battuta dan Marco Polo

Kisah mengenai burung gergasi meskipun kedengaran pelik dan aneh, tetapi ia turut dicatatkan oleh oleh pengembara silam yang terkenal seperti Marco Polo dan Ibn Battuta. Ibnu Battuta mengatakan bahawa dirinya melihat burung gergasi yang dikenali sebagai Roc ataupun Rukh ketika di Laut China (Laut China Selatan). Rukh ini sebenarnya burung gergasi yang terdapat di dalam kepercayaan Arab lama.

Marco Polo pula mencatatkan bahawa Rukh ini bersaiz sangat besar sehingga mampu mengangkat seekor gajah dengan cakarnya. Beliau juga mencatatkan bahawa burung danawa ini wujud di sekitar Malagasy (Madagascar).

Berbalik kepada Garuda, walaupun di dalam Hikayat Merong Mahawangsa menyatakan bahawa ia adalah anak cucu Maharaja Dewata dan ia berpadanan dengan kisah Hindu, namun unsur Islam diselitkan apabila wujud watak Nabi Sulaiman. Watak Garuda pula tidak terlalu digambarkan sebagai dewata sebaliknya lebih kepada seekor burung raksasa yang mempunyai kuasa luar biasa.

Begitulah ketika zaman kanak-kanak dahulu saya terkeliru dan sering menganggap bahawa kisah Garuda ini adalah sebahagian kisah yang berunsurkan agama Islam. Tidak pernah terbayang bahawa Garuda ialah makhluk keinderaan di dalam agama Hindu.

Namun begitu kisah Garuda atau makhluk sakti yang cuba diislamisasi tidak cuma terjadi di alam Melayu sahaja sebenarnya.

Kosmologi Ikan Danawa dan Kerbau Raksasa

Semasa zaman kanak-kanak – berlaku kepada saya, tetapi saya tidak pasti ia berlaku kepada kalian atau tidak – saya juga sering diberi tahu satu kisah yang menarik iaitu kisah tentang ikan yang tersangat besar saiznya dan seekor lembu raksasa.

Kononnya gempa bumi berlaku adalah kerana ikan besar dan kerbau raksasa itu bergerak. Ini kerana kedua-dua haiwan kosmologi tersebutlah yang didakwa menyokong struktur bumi. Jika ia bergerak maka bumi pun bergegar dan gempa.

Walau kisah tersebut pernah berlegar di kalangan masyarakat Melayu, namun ia sebenarnya kisah yang datang dari Tanah Arab. Ikan besar tersebut dinamakan sebagai Bahamut atau Balhut atau Lutiya dan adakala dinamakan sebagai Nun. Manakala lembu raksasa itu pula dikenali sebagai Kuyutha atau Kiyuban.

Walaupun wujud beberapa perselisihan pendapat tentang keadaan sebenar kedua-dua binatang tersebut di dalam perihal kosmografi, namun secara umum dahulunya kisah tersebut diterima secara meluas. Kisah Bahamut dan Kuyutha dicatatkan di dalam beberapa kitab terkenal di zaman silam seperti “’Ajaib al-Makhluqat wa Ghara’ib al-Mawjudat” (The Wonders of Creation) oleh Al-Qazwini, “Kharidat al-‘Ajaib” (The Pearl of Wonders) oleh Ibn al-Wardi dan “Mu’jam al-Buldan” oleh Yaqut al-Hamawi. 

Malah ia juga tercatat kitab kisah para nabi yang dihasilkan oleh al-Tha’labi dan Muhammad al-Kisa’i. Al-Thalabi ada menceritakan bagaimana Balhut (nama Bahamut yang digunakan oleh beliau) digoda oleh Iblis untuk menyebabkan gempa bumi dan Allah telah menghalang kejadian tersebut daripada berlaku lebih teruk. Namun Nun (nama lain Bahamut) juga sebenarnya seringkali dikaitkan dengan Ikan besar yang menelan Nabi Yunus seperti mana yang difirmankan di dalam Al-Quran.

Di dalam kepercayaan masyarakat Melayu yang pernah saya dengar pula, gempa bumi berlaku kerana Kuyuta si lembu kosmik yang besar itu tidak lagi mampu menahan beban bumi yang ditanggung atas tanduknya disebabkan beratnya dosa-dosa manusia.

Leviathan dan Behemoth

Ada pendapat yang mengatakan bahawa semua kisah ini bersifat Israiliyat. Kerana di dalam kepercayaan masyarakat Yahudi ada kisah tentang raksasa Leviathan dan Behemoth. Daripada nama Leviathan ini dikatakan terhasil nama Kiyuban dan nama Behemoth menjadi Bahamut. 

Cuma ia seakan terbalik. Jika Leviathan ialah raksasa laut di dalam kepercayaan Yahudi, namun di dalam kepercayaan Arab ia menjadi lembu jantan. Behemoth pula ialah raksasa darat namun ditukar menjadi seekor ikan raksasa. 

Namun apa yang jelas ialah kepercayaan ini tidak diseludup bulat-bulat daripada kepercayaan Yahudi. Kepercayaan tentang dua makhluk raksasa ini sememangnya wujud dalam kepercayaan masyarakat Timur Tengah termasuklah Arab dan Yahudi. Kemudian ia menyusup masuk ke dalam ajaran Islam dan berkembang bersama sebaran agama. Disebabkan itulah kepercayaan kuno Arab tersebut dahulunya sering dikeliru dengan ajaran Islam.

Jika ajaran Islam sendiri pun pernah disusupi dengan penceritaan dan kepercayaan seperti ini, sudah pasti kisah kesaktian Garuda di dalam Hikayat Merong Mahawangsa, malah mungkin juga tidak melampau jika saya sebut tentang kesaktian Hang Tuah boleh diterima oleh masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

Kita tahu bahawa pada zaman dahulu mereka cuma mahu mencari penjelasan terbaik bagi semua kejadian pelik dan fenomena alam yang berlaku sedangkan cerapan sains masih lagi tidak mampu menjelaskan kebanyakkan perkara yang tersebut. Apa yang mereka mampu lakukan ialah mengutip kembali kisah-kisah rakyat dan memperjelaskannya sekadar termampu. Dari inilah wujudnya cerita, karya, dan sastera yang membentuk budaya.

Tetapi pada masa kini oleh kerana kemajuan sains, penjelasan sedemikian sudah kita lupa. Ia cuma tertinggal di dalam kitab-kitab lama. Namun para danawa dan raksasa mungkin masih lagi bernyawa, tetapi telah bertukar menjadi manusia. Kerana itu karya-karya lama harus direnung hikmahnya, bukan sekadar membaca ceritanya sahaja.

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto: Kadek Satria

Share this Post: