Seminggu dua ini, banyak pula timbul isu curang. Ada artis curanglah, yang bukan artis curanglah, dan ada pula yang tidak arif bab agama cakap lelaki yang curang itu lakukannya dengan izin Allah. Masuk ke rumah wanita lain itu pun dengan izin Allah.
Fuh! Ini macam golongan Jabariyyah. Suatu fahaman yang menyandarkan semua atas ketentuan Allah. Manusia tidak ada pilihan (free will). Semuanya atas Qada’ & Qadar Allah semata.
Ingat, manusia ada pilihan untuk berbuat baik atau buruk. Pastinya, curang itu adalah pilihan sendiri individu yang melakukannya.
Peruntukan Undang-undang
Suami atau isteri yang curang ini sebenarnya telah MENGANIAYAI pasangannya dan mereka ini berhak untuk memohon fasakh di Mahkamah Rendah Syariah. Ia terletak di bawah Seksyen 53(1)(h)(ii) Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008 iaitu :
“Bahawa suami atau isteri menganiyai isteri atau suaminya, iaitu, berkawan dengan perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak “
Namun, seringkali isteri khususnya yang memohon fasakh dengan alasan suami curang contohnya, GAGAL untuk membantu mahkamah menyabitkan perceraian secara fasakh dengan alasan tersebut.
Ada beberapa faktor kegagalan, antaranya
i. Suami tidak mengaku
Pengakuan suami di rumah atau di hadapan mana-mana orang sebelum kes fasakh difailkan, tidak akan menjadi bukti yang kuat. Hanya pengakuan di hadapan hakim sahaja yang boleh diterima. Biasanya, di dalam mahkamah, jarang ada yang nak mengaku lakukan kesalahan terutamanya hal yang berkaitan dengan curang.
ii. Tiada saksi atau saksi hanya mendengar cakap sahaja
Apabila kita mendakwa suami atau isteri curang, tanpa sebarang saksi yang nampak perbuatan curang itu, sangat sukar untuk mendapatkan fasakh. Tidak diterima kalau saksi tersebut hanya mendengar daripada cerita isteri atau suami itu saja. Itulah yang disebut sebagai ‘Saksi Dengar Cakap’. Melainkan kalau ada saksi yang mahu tampil mengaku sebagai pasangan curang. Siapalah berani untuk datang mengaku sebagai teman jenayah, kan?
iii. Gambar Whatsapp / tangkap layar mesej
Kebiasaanya isteri akan ternampak mesej Whatsapp suami dengan wanita lain dan membuat tangkapan layar (screenshot). Tangkap layar itu dihantar ke nombornya atau emailnya sahaja. Bukan tidak boleh diterima, cuma di mahkamah, bukti asal mesti ditunjukkan iaitu perbualan Whatsapp daripada telefon bombot pemiliknya. Jadi, bila waktu bicara, mestilah perbualan itu telah dipadamkan. Terus sahaja rampas dan sita bahan bukti kalau berani.
iv. Gambar/ video tidak jelas
Bukti gambar perlu jelas. Kalau hanya gambar badan tanpa kepala, itu juga tidak dikira jelas. Gambar berseorangan juga tidak mudah dikira sebagai curang. Sebaiknya, video atau gambar yang ada, mesti berduaan dalam keadaan yang tak wajar untuk mereka bergambar. Contohnya, gambar suami berpelukan dengan wanita lain.
v. Gambar & video daripada internet dipadam
Ada isteri yang ambil gambar yang dipostkan suaminya dalam media sosial. Masalahnya adalah, bila hendak dibuktikan sewaktu perbicaraan, gambar itu sudah hilang dari Facebook, Instagram dan semua tempat yang diperolehi. Jadi, sukar untuk diterima mahkamah jika bukti asal tidak wujud.
vi. Tiada tangkapan atau dakwaan kes jenayah
Kalau anda dapat hidu pasangan anda curang hingga ke peringkat melakukan jenayah khalwat misalnya, tolonglah pjangan buat tangkapan sendiri. Anda bukan polis mahupun penguatkuasa agama. Sepatutnya, lapor kepada pihak berkuasa atau ajak Tok Imam kawasan tersebut untuk buat serbuan bersama misalnya, barulah ada kes jenayah wujud. Kalau tidak berbuat demikian, maka sukar untuk disabitkan yang pasangan curang ini bersedudukan dalam kes fasakh.
vii. Kisah yang terlalu lama
Kadang ada isteri yang sudah terlalu lama memendam, baru hendak dimohon fasakh atas sebab kecurangan suaminya yang berlaku terlalu lama. Ada yang kisah curang tu sampai tujuh ke lapan tahun lamanya hinggakan suami sudah pula berkahwin dengan wanita tersebut. Kalau nak dakwa isu curang dalam kes fasakh, faktor terlalu lama baru nak mintak cerai ini boleh dianggap sebagai alasan yang lapuk kerana ada kemungkinan anda sudah redha atau telah memaafkan suami anda.
Kesimpulannya, curang ini bukan satu perkara yang boleh dibuat main dalam perkahwinan. Ia akan melibatkan kepada pelanggaran undang-undang keluarga Islam iaitu isteri boleh memohon fasakh jika ia berlaku.
Ingat, dalam perkahwinan, banyak perkara yang perlu dijaga batas pergaulannya. Zaman ini, zaman yang penuh dengan godaan dunia. Kes perceraian juga sangat tinggi di Mahkamah Syariah atas faktor ini. Ramai daripada kita yang membuat pilihan tersebut, bukan atas paksaan siapa-siapa.
Berbalik pada curang dengan izin Allah seperti awal disebut tadi, kalau semua benda dikatakan dengan izin Allah, maka manusia berjudi, minum arak, bunuh & segala maksiat kita sandarkan dengan izin Allah. Masya Allah!
Curang itu pilihan, bukan dengan izin Allah.
Fahmi Ramli adalah seorang peguam Syarie yang bertapak di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan perundangan Syariah dan merupakan Timbalan Setiausaha PGSM Kedah. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #syarieavengers
Foto: Depositphotos
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.