Terdapat satu suku kaum di Indonesia yang mengamalkan upacara unik iaitu berkenaan ritual dalam proses pemakaman. Suku tersebut dikenali sebagai suku Toraja yang menetap di pergunungan bahagian utara Sulawesi Selatan, Indonesia. Terdapat tiga agama utama seperti agama Kristian, Islam dan Hindu Dharma atau lebih tepat lagi kepercayaan animisme (Aluk To Dolo), biarpun dengan majoriti penduduk di sana beragama Kristian.
Perkataan “Toraja” berasal daripada bahasa Bugis iaitu “To Riaja” yang bererti “orang yang berdiam di negeri atas”. Pada zaman pemerintahan kolonial Belanda tahun 1909, mereka telah menamakan suku ini sebagai Toraja. Selain daripada ritual pemakamannya yang unik, mereka juga dikenali dengan rumah adat tongkonan dan ukiran kayunya yang cantik.
Sebelum abad ke-20, suku Toraja masih menganut ajaran animisme kerana mereka belum disentuh oleh dunia luar sehinggalah pada awal tahun 1900-an, apabila Belanda datang dan menyebarkan agama Kristian. Pada akhir abad ke-19, Belanda mula khuatir akan penyebaran agama Islam yang begitu pesat di Sulawesi Selatan terutamanya suku Makassar dan Bugis dan pada masa yang sama, Belanda telah melihat suku Toraja sebagai sasaran untuk megkristiankan mereka. Tetapi malangnya, mereka tetap setia dengan ajaran animisme mereka dan hanya 10% daripada suku Toraja yang mengubah agama mereka kepada Kristian.
Pada tahun 1965, presiden Indonesia ketika itu Sukarno telah mewajibkan seluruh penduduknya untuk menganut salah satu daripada lima agama yang disahkan iaitu Islam, Kristian Protestan, Katolik, Hindu dan Buddha. Kepercayaan suku Toraja tidak disahkan oleh pemerintah tetapi suku Toraja berjaya menentang dan menjadikan kepercayaan mereka iaitu Aluk To Dolo sebahagian daripada agama Hindu Dharma pada tahun 1969. Suku Toraja mempunyai tradisi unik di mana mereka akan menyimpan mayat si mati di ruangan rumah tanpa disemadikan dan dikuburkan di tanah perkuburan.
Sesetengah daripada mereka menyimpan sehingga lebih bertahun-tahun lamanya dan si mati dianggap seperti orang yang terlantar kesakitan. Mereka tidak pernah menganggap si mati sudah meninggal dunia malahan mereka akan menyediakan rokok, makanan dan memandikan si mati dan memperhias si mati supaya tampak bersih dan kelihatan seperti masih bernyawa. Pada mereka yang berpegang teguh dengan kepercayaan animisme (walaupun kebanyakan daripada mereka sudah memeluk agama Kristian) tiada apa yang dapat memisahkan si mati dengan ahli keluarga.
Menurut tradisi, jasad si mati akan diawetkan dengan daun-daun khas dan rempah ratus supaya mayat tidak akan mengeluarkan bau yang tidak nyaman. Mengikut peredaran zaman moden pula, kini, mayat si mati akan disuntik formalin di mana sejenis kimia yang akan mengeluarkan aroma bahan kimia yang agak kuat berbanding dengan rempah ratus. Mereka percaya bahawa roh si mati masih ada berlegar-legar di kawasan sekitar rumah dan disebabkan itu mereka masih berbicara dengan si mati kerana pada mereka si mati akan mendengar keluhan mahupun cerita mereka.
Ketika hidup, suku kaum Toraja kerja bertungkus-lumus untuk mengumpul seberapa banyak harta yang mungkin bagi kegunaan mereka pada hari mati. Hal ini kerana mereka akan mengorbankan seberapa banyak kerbau (mengikut kekayaan) kerana pada mereka kerbau merupakan pembawa jiwa ke alam akhirat dan semakin banyak kerbau yang dikorbankan, semakin mudah perjalanan roh si mati untuk sampai ke alam barzakh. Mengikut penduduk di sana, perbelanjaan pemakaman menelan biaya lebih dari Rp664 juta (sekitar RM200,000.00) iaitu lebih dari 10 kali pendapatan tahunan masyarakat setempat.
Suku kaum Toraja yang sudah meninggal dunia jarang sekali dikuburkan dalam tanah malahan mayat mereka dikebumikan di dalam ataupun di luar gua kerana wilayah mereka dikelilingi oleh pergunungan. Menurut mereka lagi, gua merupakan tempat yang menghubungkan akhirat dan dunia orang hidup. Kebiasaannya, kedalaman gua boleh mencapai sehingga beberapa kilometer dan berisi peti yang menyimpan mayat yang tak terhitung banyaknya.
Selain itu, yang lebih uniknya di mana ukiran kayu yang merupakan wakil kepada si mati yang dihiasi mirip persis seperti si mati semasa hidupnya dan dikenakan pakaian, perhiasan dan rambut si mati diletakkan ke patung tersebut. Tradisi ini dikenali sebagai tau tau dan kos pembuatan patung ini adalah lebih kurang Rp13 juta (sekitar RM3700.00). Namun kematian bukanlah bererti perpisahan buat suku kaum Toraja di mana mereka akan mengadakan sebuah ritual yang dinamakan ma’nene atau “penyucian jenazah” pada setiap beberapa tahun.
Keluarga si mati akan mengambil peti simpanan mayat kaum kerabat dari kuburan lalu membukanya. Menurut mereka, pada saat itu merupakan saat pertemuan kembali dengan roh-roh keluarga yang sudah lama meninggal. Mereka akan membersihkan dan mengatur mayat-mayat tersebut untuk mengambil gambar keluarga yang baru sebagai kenangan.
Nursyazana Khidir Neoh adalah seorang graduan bidang perhutanan dari Universiti Malaysia Sabah. Kini bertugas sebagai Pembantu Pentadbiran di Penang Institute. Beliau juga aktif menulis artikel untuk terbitan Penang Monthly
Foto hiasan ihsan New York Post
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.