Cili Api Asia di Padang EPL

Cili Api Asia di Padang EPL

Dengan lebih 4.7 billion tontonan secara langsung di kaca televisyen, Liga Perdana Inggeris (EPL) hari ini adalah liga bola sepak paling banyak ditonton dan boleh juga dianggap sebagai paling menghiburkan di dunia. Jumlah tontonan yang tinggi ini tidak lain adalah kerana keunikan liga tersebut yang ditandingi oleh 20 kelab dari pelbagai pelusuk England, yang menampilkan barisan pemain pelbagai benua dari seluruh dunia, termasuklah Asia.

Barisan pemain antarabangsanya yang majmuk sahaja sudah cukup menjadikannya sebagai sebuah liga yang menghimpun peminat fanatik dari seluruh dunia, termasuklah peminat yang langsung tidak pun bertutur dalam Bahasa Inggeris apatah lagi pernah menjejakkan kaki ke England. Asia adalah antara benua yang paling banyak mengikuti perlawanan Liga Perdana Inggeris, dan pemain dari Benua Asia tidak kurang menyerlah di negara kepulauan tersebut.

Korea Selatan

Sejak penganjuran Piala Dunia edisi 2002, kehandalan pemain dari Korea Selatan mula menjadi perhatian dunia Eropah. Pemain Korea Selatan menjadi antara wakil Asia yang paling menyerlah di Liga Perdana Inggeris. Kisahnya bermula sejak pertama kali pemain bernama Ji Dong Won menyarung jersi pasukan Sunderland pada tahun 2011. Beliau bagaimana pun menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di England menyebabkan beliau sukar untuk mempamerkan aksi cemerlang hingga berpindah ke kelab Germany, FC Augsburg dan Borrusia Dortmund.

Ji Dong Won bagaimana pun berjaya membuka jalan buat ramai pemain Asia khususnya Korea Selatan yang lain. Siapa tidak kenal dengan bintang besar Korea Selatan yang berkelana ke England dan berjaya mencipta namanya di liga EPL iaitu Park Ji-Sung. Beliau bersama pasukan Manchester United dari tahun 2005 hingga tahun 2012. Selama hampir 7 tahun beraksi bersama pasukan itu, beliau telah mengecapi pelbagai pencapaian termasuklah memenangi sebanyak 4 kali kejuaraan piala liga EPL dan menjadi juara piala EUFA Champions League (UCL) pada musim 2007-2008.

Hari ini, Son Heung-min merupakan pemain Korea Selatan yang paling berjaya di liga EPL. Menyertai pasukan Tottenham Hotspurs pada tahun 2015 daripada kelab Germany iaitu Bayer Leverkusen dengan bayaran perpindahan sebanyak ₤22 juta, kerjayanya bersama pasukan yang bermain di stadium White Hart Lane tersebut boleh dianggap sebagai suatu kejayaan yang hebat dengan rekod jaringan melebihi 100 gol untuk pasukan utara London itu.

Antara nama pemain Korea Selatan lain yang pernah menyertai kelab-kelab bola sepak di England dalam saingan merebut piala liga termasuklah Lee Chung Yong yang bersama pasukan Bolton Wanderes dan Crystal Palace; Park Chu Young yang menyertai pasukan Arsenal pada tahun 2011 hingga 2014, Ki Sung Yeung yang bermain untuk pasukan Swansea City.

Australia

Pada awalnya, pasukan bolasepak Australia merupakan ahli Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) yang ditukarkan menjadi sebahagian daripada ahli Konfederasi Asia (AFF) pada tahun 2006. Pasukan yang mendapat gelaran Socceroos ini juga kerap mendapat tawaran daripada beberapa kelab Liga Perdana Inggeris yang mahukan khidmat pemain-pemainnya.

Antara pemain Australia paling senior dan paling lama beraksi dalam EPL adalah penjaga gol, Mark Schwarzer. Selama 18 tahun berada di England, beliau telah bermain untuk pasukan Middlebrough, Fulham dan Chelsea. Kerjaya beliau dalam sukan bola sepak mula menyerlah ketika bersama pasukan Fulham selepas mengikat kontrak bersama pasukan tersebut pada tahun 2008 walaupun hampir 11 tahun bersama pasukan Middlebrough. Beliau masih mampu beraksi hingga ke hari ini bersama pasukan Chelsea walaupun usianya sudah menjangkau umur 48 tahun.

Selain Mark Schwarzer, bekas pemain penyerang untuk pasukan Millwall dan Everton iaitu Tim Cahill juga mempunyai pencapaian yang menakjubkan di England, dengan lebih 12 tahun pengalaman bermain di liga divisyen 2 dan Liga Perdana Inggeris. Beliau mendapat gelaran Little Tim kerana ketinggian beliau yang hanya mencecah 178 sentimeter, dianggap rendah sebagai seorang pemain bola sepak di England.

Tim Cahill juga merupakan pemain Australia yang paling banyak menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan Australia dengan 33 jaringan. Pemain Australia yang turut beraksi hebat di Liga Perdana Inggeris ialah Mile Jedinak. Pemain yang memakai jersi bernombor 15 ini masih beraksi di liga EPL hingga ke hari ini bersama pasukan Aston Villa

 Jepun

Shinji Kagawa, Shinji Okazaki, Maya Yoshida dan Takumi Minamino adalah nama yang akan sentiasa disebut apabila merujuk kepada pemain bolasepak daripada negara matahari terbit, Jepun. Walaupun terdapat ramai lagi pemain-pemain dari Jepun yang pernah bermain di Liga Perdana Inggeris, empat orang pemain ini adalah yang paling dikenali atas pengalaman menyertai antara pasukan teratas liga, dan mengumpul peminat tersendiri atas aksi mereka yang memberangsangkan.

Beberapa orang daripada pemain ini masih beraski dalam EPL sehingga hari ini. Antaranya ialah Shinji Okazaki yang pernah mewakili pasukan Leicester City. Sejarah tercipta apabila beliau membantu pasukan The Foxes itu menjadi juara liga EPL bagi musim 2015-2016. Shinji Kagawa pula pernah mengikat kontrak bersama pasukan Manchester United pada tahun 2012. Beliau hanya bermain di liga EPL selama kurang 2 tahun sebelum menyertai semula pasukan yang pernah mengembangkan bakatnya iaitu Borussia Dortmund. Namun begitu, beliau berjaya menjulang trofi liga bagi musim 2012-2013 walaupun bermain dalam EPL dalam tempoh masa yang singkat.

Dua orang pemain lagi iaitu Maya Yoshida yang menyarung jersi pasukan Southampton dan Takumi Minamino di Liverpool FC. Maya Yoshida menjadi antara pemain yang berjaya bersama pasukan Southampton. Beliau telah membuat penampilan sebanyak 154 kali bersama pasukan tersebut. Takumi Minamino pula adalah pemain baharu yang dibeli oleh pasukan Liverpool daripada pasukan juara bertahan Austria iaitu Red Bull Salzburg pada tahun 2019. Kelincahannya di atas padang pasti akan memberi kelebihan kepada Liverpool dalam saingan akan datang.

Terdapat ramai lagi pemain asal atau berdarah Asia yang sedang beraksi atau pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris hari ini. Jiran tetangga kita di Asia Tenggara seperti Filipina juga mempunyai pemain berdarah Filipina seperti Neil Etheridge yang bermain untuk pasukan Birmingham dan juga pasukan kebangsaan Filipina sebagai penjaga gol. Tidak ketinggalan pemain berdarah India pertama, Michael Chopra yang bermula di Newscastle dan berakhir di Kerala Blasters. Pemain Israel, Yossi Benayoun juga antara pemain Asia yang pernah beraksi di EPL menerusi Chelsea, Arsenal, dan QPR.

Pemain-pemain bolasepak daripada benua Asia juga boleh dianggap sebagai wira di Liga Perdana Inggeris. Bermain bersama kelab besar dan memenangi pelbagai trofi antara kejayaan hebat buat pemain-pemain Asia ini. Mereka bukan sahaja mengharumkan nama negara sendiri bahkan membuktikan bahawa pemain bola sepak Asia juga mampu bermain di peringkat tertinggi dunia.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone

Foto hiasan ihsan Premier League

Share this Post: