Chernobyl: Bencana Umat Manusia, Rahmat untuk Alam

Chernobyl: Bencana Umat Manusia, Rahmat untuk Alam

Tahun 1986 seluruh dunia dikejutkan dengan tragedi Chernobyl di mana berlakunya kemalangan di Stesen Janakuasa Nuklear Chernobyl yang terletak berhampiran Pripyat, Ukraine.

Tragedi ini dianggap sebagai bencana nuklear yang paling teruk pernah berlaku dalam sejarah, selain Tragedi Nuklear Fukushima yang berlaku di Jepun kira-kira tiga dekad kemudian.

Kelemahan reka bentuk reaktor yang dikendalikan oleh kakitangan yang kekurangan daripada segi latihan merupakan punca berlakunya tragedi ini.

Kemalangan ini berlaku ketika ujian keselamatan sedang dijalankan ke atas reaktor. Letupan daripada reaktor tersebut telah menyebabkan pelepasan radioaktif ke ruang angkasa yang bertebaran ke seluruh Eropah.

Walaupun tragedi itu mengorbankan kurang daripada 100 orang pada awal insiden tersebut berlaku, Jawatankuasa Saintifik bagi Kesan Radiasi Atom oleh Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNSCEAR) menganggarkan lebih kurang 4,000 kematian disebabkan oleh kemalangan tersebut dengan hanya mengambil kira berdasarkan kawasan sekitar yang terjejas.

Walau bagaimanapun, jumlah kematian dianggarkan meningkat daripada 9,000 sehingga 16,000 orang apabila mengambil kira kesan radiasi yang telah tersebar ke seluruh benua Eropah.

Selain itu, kira-kira 117,000 orang telah dipindahkan daripada kawasan sekitar bencana, terutamanya sekitar Pripyat, bandar yang dibina untuk stesen janakuasa tersebut.

Zon Pengecualian juga telah telah diwujudkan sekitar 30 kilometer radius daripada stesen janakuasa tersebut.

Akibat daripada bencana tersebut, lebih 400 hektar pokok pine mati serta-merta dan merosakkan flora serta fauna disekitarnya selain turut menyebabkan pencemaran sumber air yang berdekatan.

Namun, selepas hampir 35 tahun bencana nuklear yang dahsyat itu berlaku, kawasan yang diisytiharkan sebagai Zon Pengecualian telah mengalami satu perubahan yang ‘menarik’.

Hilangnya Manusia, Berkembangnya Alam

Walaupun, ekosistem di Zon Pengecualian mengalami kerosakan yang amat teruk, kawasan tersebut telah mengalami peningkatan biodiversiti yang mendadak selepas 30 tahun lebih ditinggalkan manusia.

Beberapa kajian yang dijalankan di Zon Pengecualian, telah menemukan pertambahan populasi hidupan liar yang berada di dalam zon yang telah ditinggalkan sepi puluhan tahun lamanya itu.

Spesies unik seperti lynx dan terutamanya Bison Eropah yang merupakan spesies terancam di Eropah telah menyaksikan pertambahan populasi yang ketara di dalam kawasan sekitar Zon Pengecualian.

Seterusnya, Zon Pengecualian yang terletak di bahagian Belarus juga menyaksikan peningkatan populasi babi hutan dan rusa hanya 10 tahun selepas tragedi itu berlaku.

Tambahan pula, populasi serigala juga meningkat sebanyak tujuh kali ganda. Kurangnya aktiviti pemburuan yang dijalankan di Zon Pengecualian merupakan faktor utama peningkatan populasi yang mendadak spesies tersebut.

Beberapa spesies seperti spesies kuda Przewalski, spesies kuda yang jarang ditemui dan hampir pupus yang berasal dari Asia Tengah telah dilepaskan di dalam Zon Pengecualian sebagai salah satu usaha konservasi bagi spesies tersebut.

Di sebalik pertumbuhan populasi haiwan liar di dalam kawasan yang beradiasi tinggi itu, para saintis dan pengkaji masih tidak mengetahui sama ada haiwan-haiwan yang berada di dalam kawasan itu terkesan atau pun tidak akibat radiasi tinggi yang berpanjangan di zon itu.

Berbeza dengan haiwan-haiwan yang liar terus berkembang biak secara mendadak dan seolah-olah tidak terkesan dengan radiasi yang tinggi, sebaliknya pula yang berlaku dengan tumbuhan-tumbuhan di situ.

Tanaman seperti gandum, barli dan oat yang ditanam di sekitar kawasan yang terjejas masih merekodkan kesan pencemaran yang tinggi.

Tetapi, para pengkaji masih beranggapan ledakan populasi mamalia merupakan satu petanda baik dan secara keseluruhannya merupakan ‘kejayaan’ untuk hidupan liar yang mendiami Zon Pengecualian yang beradiasi tinggi.

Sehubungan dengan itu, perdebatan masih berterusan sama ada manusia mampu untuk kembali menetap di Zon Pengecualian.

Kerajaan Ukraine pada tahun 2011 telah mengatakan bahawa manusia boleh mendiami kembali kawasan tersebut selepas kira-kira 320 tahun daripada sekarang.

Namun baru-baru ini pertubuhan bukan kerajaan Greenpeace mengatakan sekurang-kurangnya 20,000 tahun masa yang diperlukan untuk keadaan benar-benar selamat untuk kembali  didiami oleh manusia.

Satu fakta yang menarik, terdapat lebih kurang 200 orang yang masih ditinggal di Zon Pengecualian yang dikenali sebagai ‘Samosely’ atau pun peneroka kendiri..   

Walaupun secara teknikalnya perkara ini tidak dibenarkan, tetapi kerajaan tempatan pada 2012 telah memberikan ‘kebenaran tidak rasmi’ kepada warga tua Samosely untuk terus tinggal di Zon Pengecualian.

Mereka juga diberikan bantuan sara hidup oleh kerajaan walaupun pendudukan mereka di zon yang menggerunkan itu tidak diiktiraf.

Jadi, ini merupakan satu situasi yang menarik untuk dilihat tanpa kehadiran manusia, perkembangan alam semula jadi menjadi lebih pesat kurang daripada setengah abad.

Walaupun di sebalik radiasi yang menggerunkan dan memusnahkan kehidupan manusia yang berpunca daripada perbuatan dan kesilapan manusia itu sendiri.

Kesimpulannya, adakah kita ini hadir sebagai rahmat daripada Tuhan untuk membawa kemakmuran di atas  Bumi atau kehadiran kita ini merupakan punca dan asbab yang membawa kepada bencana dan kehancuran kepada alam?

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto: Reddit

Share this Post: