2020 adalah tahun yang agak aneh. Satu dunia dilanda oleh pandemik yang jarang-jarang berlaku. Sekitar bulan Mac tahun lalu, seluruh dunia terpaksa menutup ekonominya, dengan orang ramai diminta untuk duduk di rumah sahaja, termasuklah Malaysia melalui apa yang kita kenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP. Kebanyakan negara sedar akan impak teruk yang dialami akibat penutupan ekonomi. Walau bagaimana pun, ia tidak boleh dielakkan, memandangkan tidak banyak yang boleh dilakukan dalam berhadapan pandemik sedemikian.
Jika menilai fenomena ekonomi yang sedang melanda sekarang, antara yang boleh kita teladani adalah apa yang berlaku pada 1929 di Amerika Syarikat (AS). Pada tahun tersebut, AS dilanda apa yang dikenali sebagai The Great Depression atau Zaman Kemelesetan, di mana sektor pelaburan di AS dilanda panik akibat gaji yang rendah, hutang yang tinggi, dan sektor pertanian yang perlahan selain pinjaman bank yang tidak dapat dilangsaikan.
Para pelabur secara mendadak telah menjual pegangan saham mereka sehingga mengakibatkan kejatuhan dalam pasaran saham AS. Bank Pusat Amerika Syarikat pada ketika itu telah mengambil sebuah langkah proaktif bagi mengelakkan pasaran saham daripada terus menjunam, dan memastikan rakyat mempunyai lebih wang tunai. Bank Pusat AS telah mencetak lebih banyak wang USD untuk diagihkan kepada orang ramai.
Disebabkan oleh langkah tersebut, orang ramai kini mempunyai wang tunai untuk dibelanjakan. Disebabkan juga oleh harga saham di pasaran ketika itu sangat murah, terdapat banyak permintaan untuk saham, yang mengakibatkan harga saham kembali naik.
Bukan itu sahaja, disebabkan banyak duit yang berlegar di dalam ekonomi, orang ramai boleh membeli apa-apa sahaja yang mereka hendaki, termasuk barang-barang yang terhad. Oleh itu, telah berlakunya inflasi yang tinggi sebanyak 100% - 200% dan dikategorikan sebagai hiperinflasi. Sebagai contoh, sebotol air minuman yang harganya dahulu USD1, kini dijual pada USD3. Kenaikan sebanyak 200%. Semuanya disebabkan oleh duit yang banyak dalam ekonomi untuk barangan yang terhad.
Kesan Kekayaan
Percetakan wang pada masa itu telah memberikan kesan kekayaan; orang ramai merasakan mereka kaya dek kerana wang yang diberikan oleh bank pusat.
Sebenarnya, objektif utama bank pusat mencetak wang adalah supaya orang ramai membayar hutang mereka kepada kerajaan, dan kerajaan dapat membayar hutang mereka kepada pihak lain. Wang yang dicetak yang tidak disokong oleh apa-apa aset, atau ringkasnya, tidaklah begitu bernilai. Ia sekadar sekeping kertas sahaja.
Selain barang-barang keperluan dan kehendak masyarakat, harga saham di pasaran juga turut naik sebanyak 150% secara purata. Walaupun harga saham menaik secara mendadak, tiada perbezaan yang berlaku pada syarikat-syarikat diterbitkan itu.
Disebabkan ini, pelabur sedar bahawa inflasi yang berlaku di pasaran saham hanyalah palsu dan nafsu manusia sahaja. Pelabur bijak pada ketika itu menoleh kepada kelas aset yang lain yang tidak dapat dimanipulasi oleh orang ramai, iaitu pelaburan emas.
Pelaburan Dalam Emas
Bukan setakat pelabur bijak sahaja, hampir setiap orang pada ketika itu membeli emas dengan duit berlebihan yang mereka ada. Mereka sedar bahawa emas adalah penyimpan nilai terbaik apabila menghadapi inflasi.
Emas juga merupakan satu pelaburan yang selamat kerana ia adalah komoditi dan tidak bergantung pada satu negara sahaja. Kalau diikutkan, harga emas tidaklah mudah untuk dimanipulasi oleh sesetengah pihak disebabkan oleh penawaran yang banyak dari negara lain.
Walaupun begitu, harga emas pada ketika itu turut mendadak naik! Ini menjadi kejutan yang besar bagi pelabur emas di luar sana. Betapa banyaknya duit yang dicetak oleh bank pusat AS pada ketika itu sehinggakan dapat menggerakkan harga emas di pasaran dunia.
Pada masa tersebut, pasaran saham telah pun jatuh sebanyak 80% disebabkan orang ramai yang tertarik untuk melabur dalam komoditi emas. Secara langsung, hiperinflasi yang berlaku ini telah pun menyumbang kepada The Great Depression atau Zaman Kemelesetan 1929.
1926 vs 2020
Pada ketika Zaman Kemelesetan, ramai orang hilang kerja kerana syarikat tidak dapat membayar pekerja. Ini telah menyebabkan peningkatan dalam kadar pengangguran. Seterusnya ramai orang telah hilang tempat tinggal kerana tidak dapat membayar sewa mereka. Akhirnya harga rumah turun sebanyak 67% secara purata dan perdagangan antarabangsa juga meleset sebanyak 65%.
Kenapa saya menceritakan tentang Zaman Kemelesetan pada tahun 1929? Kerana langkah yang diambil oleh Amerika Syarikat untuk menangani impak daripada COVID-19 sama sahaja seperti yang diambil pada tahun 1929.
Selepas penutupan ekonomi berlaku di seluruh dunia pada bulan Mac 2020, turut menyusul adalah kejatuhan di pasaran saham setiap negara. Kejatuhan nilai saham ini telah menghapuskan satu pertiga nilai keseluruhan pasaran saham seluruh dunia.
Apabila ini berlaku, AS telah bertungkus lumus untuk mencetak wang supaya dapat diagihkan kepada orang ramai untuk mengembalikan nilai yang hilang akibat daripada kejatuhan pasaran saham. Ini merupakan antara dasar kewangan yang dijalankan oleh banyak bank pusat.
Pra-syarat Mencetak Wang
Tetapi, mengapa masih ada sesetengah bank pusat memilih untuk tidak mencetak wang?
Percetakan wang ini selalunya hanya akan berlaku apabila berlakunya deflasi, dimana orang ramai tidak mempunyai duit untuk berbelanja, dan harga barangan terus menurun. Situasi ini dikenali sebagai deflasi. Bagi memulihkan ekonomi, bank pusat selalunya akan mencetak wang untuk menggalakkan perbelanjaan dalam ekonomi.
Syarat untuk mencetak wang juga amat tegas. Setiap nilai yang dicetak, mestilah mempunyai rizab sekurang-kurangnya 80% daripada nilai asal.
Sebagai contoh, sekiranya bank pusat misalnya BNM ingin mencetak wang dengan nilai RM10, BNM mesti menyimpan rizab sebanyak RM8 untuk kertas tersebut. Ini yang akan memberikan kertas tersebut nilai. Selalunya, emas akan digunakan sebagai rezab kerana emas adalah komoditi yang harganya agak stabil. Banyak negara telahpun menggunakan emas sebagai rizab penyimpanan mereka.
Kesilapan Bank Pusat AS
Kembali kepada bicara percetakan wang USD oleh bank pusat di AS. Apabila mereka telah mencetak wang yang begitu banyak, kesilapan utama mereka adalah tidak menyimpan sebarang rizab bagi wang tersebut, lantas menyebabkan kertas itu tidak bernilai sebenar. Ini dinamakan sebagai fiat currency atau matawang fiat.
Bank pusat AS tidak menyimpan rizab dengan nilai 80% kerana mereka memerlukan jumlah yang amat besar. Selain itu, mereka memerlukannya pada masa yang singkat, jadi mereka tidak dapat mencari emas begitu banyak dalam jangka masa yang pendek.
Walaupun percetakan wang merupakan alternatif jangka masa pendek yang selesa, mereka sedar bahawa hiperinflasi bakal berlaku jika mereka terus mencetak wang tanpa kawalan atau mencetak wang berlebihan.
Sejarah Berulang
Pada bulan Mac 2020 yang sama juga, AS telah meningkatkan kesan kekayaan rakyatnya dengan mengagihkan matawang USD yang dicetak kepada setiap orang. Di samping itu, Amerika Syarikat juga telah menggunakan USD yang dicetak tanpa nilai tersebut untuk membayar hutang negara mereka.
Akibat daripada kesan kekayaan ini, permintaan pasaran saham juga meningkat, sama seperti yang berlaku pada tahun 1929. Ini kerana ramai sedar bahawa pasaran saham adalah antara pelaburan yang bagus sebagai penyimpan nilai.
Hari ini, Indeks Standard & Poor 500 atau S&P500 telahpun kembali kepada harga asalnya sebelum dunia dilanda dengan COVID-19. Secara ajaib, nilai satu pertiga yang dihapuskan oleh penutupan ekonomi pada bulan Mac, kini sudahpun kembali. Bukankah ini serupa macam tahun 1929?
Bukan itu sahaja, matawang kripto seperti Bitcoin dan Ethereum, minyak mentah atau Crude Oil, Emas dan Perak, harganya hari ini telah kembali kepada masa sebelum bulan Mac. Bagaikan nilainya tidak pernah hilang dan dunia tidak pernah dilanda sebarang pandemik.
Disamping itu, harga emas minggu ini merupakan pada paras tertinggi dalam sejarah. Ini kerana, pelabur mula sedar bahawa inflasi yang berlaku, atau pemulihan yang berlaku pada pasaran saham adalah secara palsu sahaja. Jadi mereka menoleh kepada komoditi emas, sama seperti 1929, kerana harga emas dikatakan amatlah stabil dan kurang risiko.
Kalau dibandingkan dengan negara lain yang mencetak wang, AS mengalami kejatuhan pada pasaran saham yang paling teruk. Ini disebabkan oleh percetakan berlebihan yang berlaku. Disamping itu, perang tarif antara Cina dan Amerika Syarikat telah mencucuk situasi ini, seperti kata pepatah, sudah jatuh lagi ditimpa tangga. Habis apa pula perang tarif ini?
Jatuh Ditimpa Tangga: Perang Tarif
Perang tarif mudah sahaja. Dua negara mengeksport ke negara satu sama lain. AS mengeksport barang AS kepada China dan China mengeksport barang China kepada AS. Apabila perselisihan berlaku, AS tidak puas hati dengan China, maka AS mengenakan cukai ke atas barang import dari China yang dikenali sebagai tarif.
Harga barang import dari China akan naik disebabkan adanya tarif ini, dan permintaan akan jatuh akibat China tidak dapat menjual barangan mereka. China pula tidak puas hati dengan langkah diambil oleh AS, maka China pula mengenakan tarif terhadap barang import dari AS.
Kini, barang eksport AS di China menjadi lebih mahal disebabkan oleh tarif tersebut. Jadi siapa yang rugi? Pengguna di kedua-dua buah negara ini akan rugi sebab mereka tidak dapat menikmati barang dari negara import pada harga yang murah seperti dulu dan kadar jualan juga kini berkurang.
Selimut Besar Menutup Kegagalan
Kalau dilihat secara keseluruhan, alasan AS untuk melaksanakan dasar kewangan iaitu mencetak wang untuk mengelakkan kesan COVID-19 amatlah cetek dan tidak masuk akal. Alasan ini bagaikan satu selimut yang besar untuk menutup kegagalan yang berlaku pada sistem kewangan dan ekonomi yang berlaku di negara mereka.
Sebagai ekonomi paling berkuasa di dunia ini, negara lain juga akan dapat merasakan impak yang berlaku disebabkan langkah kurang bijak yang dilakukan oleh AS ini.
Kesimpulannya, adakah AS akan mengalami Zaman Kemelesetan sekali lagi? Kalau diikutkan kepada hujah dan keterangan seperti yang dikongsi di atas, dapatlah kita bandingkan perbezaan antara zaman dahulu dan hari ini, dan membuat jangkaan sendiri.
Ingat, walaupun AS beribu-ribu kilometer jauhnya dari Malaysia, kesannya akan tetap sampai ke Malaysia dalam sekelip mata sahaja.
Azi Amir adalah seorang pelajar kolej yang meminati bidang ekonomi dan sering mengejar jawapan kepada banyak persoalan yang wujud di sekeliling beliau.
Foto hiasan ihsan Bert Garai/Keystone/Hulton Archive/Getty Images, sumber Ryan Stennes/allthatsinteresting.com
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.