Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga semestinya mengimpikan hubungan kekal ke akhir hayat. Namun, perkara yang melibatkan jodoh, ajal dan rezeki bukanlah sesuatu yang boleh dikawal oleh manusia. Setiap masalah yang kita lalui pastinya ada jalan penyelesaiannya.
Pasangan yang berkahwin pastinya akan menempuhi pahit manis alam perkahwinan, dan semestinya tanggungjawab dan ketabahan jiwa yang membuatkan seseorang itu bertahan di dalam hubungan tersebut. Tidak dinafikan juga wujud pasangan yang tidak dapat lagi bertahan untuk hidup bersama dan membawa hubungan ke pengakhirannya iaitu dengan bercerai.
Masyarakat harus mengubah persepsi bahawa bercerai itu merupakan satu perkara yang memalukan. Tiada kesalahan untuk mencari penyelesaian dengan bercerai sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan lagi dan untuk mengelakkan daripada menyeksa pasangan masing-masing. Namun, terdapat segelintir pasangan yang mengambil mudah tentang talak kerana kurang jelas dengan isu talak dan perkara ini menimbulkan kecelaruan dalam institusi perkahwinan zaman sekarang.
Cerai merupakan pembubaran perkahwinan yang boleh dilakukan sama ada oleh suami atau pihak hakim. Terdapat dua jenis pembubaran perkahwinan iaitu talak, di mana pembubaran dilakukan oleh suami dan farak, di mana pembubaran dilakukan oleh pihak hakim. Hukum jatuhkan talak terdiri daripada 5 hukum iaitu harus, sunat, wajib, makruh dan haram.
Terdapat lima jenis talak yang boleh dijatuhkan oleh seorang suami terhadap isterinya. Talak yang paling biasa berlaku adalah talak raj’i, iaitu talak 1 atau 2 yang dilafazkan oleh seorang suami terhadap isterinya. Suami dan isteri masih boleh rujuk kembali sepanjang tempoh idah dan sekiranya tempoh idah telah tamat, pasangan tersebut hendaklah melakukan akad yang baru untuk hidup bersama semula.
Talak seterusnya adalah talak bain iaitu talak tiga atau talak kali ketiga yang dilafazkan oleh seorang suami terhadap isterinya. Suami yang melafazkan talak bain ini tidak boleh rujuk semula bersama isterinya melainkan isteri tersebut berkahwin dengan lelaki lain, bersetubuh, diceraikan dan tamat idah. Masyarakat sering menggunakan ‘kahwin cina buta’ iaitu perkahwinan yang disyaratkan suami baru tersebut menceraikan isterinya supaya dapat berkahwin semula dengan bekas suaminya, namun perkahwinan ini adalah batal dan tidak sah.
Talak yang berbeza juga dilafazkan oleh suami dalam keadaan isterinya yang berbeza. Sebagai contoh, talak sunni merupakan talak yang dilafazkan oleh seorang suami dalam keadaan isterinya masih suci dan tidak disentuh sepanjang tempoh suci, manakala talak bid’i merupakan talak yang dilafazkan oleh seorang suami terhadap isterinya ketika isterinya dalam haid atau suci yang disentuhnya. Hukum talak sunni adalah sunat manakala hukum bagi talak bid’i adalah haram dan berdosa kerana haram menceraikan isteri yang disetubuhi ketika suci disebabkan oleh isteri tersebut berkemungkinan akan hamil.
Talak yang terakhir adalah talak yang bersyarat iaitu talak taklik. Jatuhnya talak ini terhadap seorang isteri sekiranya menepati syarat yang telah dilafazkan oleh suami. Sebagai contoh, sekiranya suami berkata kepada isterinya “Jika awak keluar rumah tanpa izin saya, maka jatuh talak satu”. Sekiranya isteri tersebut keluar tanpa izin suaminya, talak tersebut jatuh secara automatik. Talak yang jatuh adalah seperti yang telah disebut dalam syarat suami tersebut.
Talak yang dijatuhkan terhadap isteri adalah hak seorang suami, suami tersebut membuat keputusan sendiri sekiranya ingin melepaskan atau tidak isterinya, Namun, seorang isteri juga mempunyai hak untuk dilepaskan sekiranya suaminya tidak lagi mampu untuk memberi nafkah kepadanya atau berlaku zalim terhadap dirinya. Isteri tersebut boleh menuntut fasakh daripada suaminya.
Fasakh adalah pembatalan perkahwinan yang dituntut oleh isteri melalui kadi atau mahkamah disebabkan oleh sifat yang dibenarkan syarak seperti suami tidak mampu memberi nafkah ataupun terdapat kecacatan pada suami. Pihak mahkamah atau kadi hendaklah melakukan siasatan sekiranya terdapat tuntutan oleh pihak isteri.
Perkahwinan boleh dibatalkan oleh pihak mahkamah atau kadi sekiranya aduan daripada pihak isteri adalah betul. Namun begitu, pihak mahkamah atau kadi berhak untuk menolak permohonan fasakh dari isteri sekiranya aduan dari pihak isteri tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Suami dan isteri yang telah terbatal perkahwinannya disebabkan tuntutan fasakh tidak boleh rujuk sekiranya tidak mengadakan akad nikah yang baru.
Pihak isteri juga mempunyai hak untuk dilepaskan sekiranya mempunyai rasa tidak puas hati atau sebab-sebab yang lain. Pihak isteri boleh memohon perceraian dengan menggunakan tebus talak atau khuluk. Tebus talak adalah pembatalan perkahwinan dimana pihak isteri membayar sejumlah wang atau harta yang dipersetujui oleh suaminya untuk melepaskan dirinya.
Pihak suami hendaklah melafazkan cerai di hadapan hakim mahkamah syariah dengan menyatakan jumlah wang yang diberikan oleh isterinya. Pihak isteri harus menyahut tawaran tersebut dan talak jatuh serta-merta. Suami dan isteri tersebut tidak boleh rujuk tanpa akad nikah yang baru.
Kesimpulannya, pasangan suami dan isteri hendaklah berfikir secara waras untuk menyelesaikan masalah dalam rumah tangga. Namun, pihak suami dan isteri kedua-duanya mempunyai hak untuk bahagia tanpa menyeksa diri masing-masing dan itu merupakan hikmah wujudnya perceraian.
Nurasyiqin Khidir Neoh adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Sains Gunaan (Kimia Analisis) dari Universiti Sains Malaysia.
Foto: Pinterest
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.