Masih sangat ramai lagi yang tidak faham dengan percaturan, perebutan dan permainan dunia politik; dan orang yang sama inilah yang begitu sayang dan menyanjungi orang politik atau parti tertentu.
Baru-baru ini seorang wanita pertengahan usia - layaknya saya gelar sebagai 'makcik' memberitahu yang Tan Sri Muhyiddin tidak pun mahu menjadi Perdana Menteri tetapi takdir Tuhan dan YDP Agong yang telah memilihnya, apa lagi rakyat sendiri juga mahukan beliau sebagai Perdana Menteri. Muhyiddin adalah Perdana Menteri terbaik yang pernah dimiliki negara; adalah begitu mengharukan melihat beliau muncul membaca doa sewaktu siaran langsung di televisyen katanya.
Pertama sekali, tiada orang politik yang menceburkan diri ke kancah politik untuk lebih separuh usia mereka yang tidak bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Ini logik mudah dunia politik. Menjadi Perdana Menteri adalah pencapaian tertinggi seorang ahli politik dan jawatan itu pula hadir dengan akses kepada kuasa yang besar (dan wang yang banyak). Saya bukan peminat Anwar Ibrahim, tetapi sangat tidak adil untuk melihat Anwar Ibrahim atau menggelarnya sebagai gila kuasa kerana mahu menjadi Perdana Menteri; ini asas mudah - menjadi Perdana Menteri adalah kemahuan semua ahli politik yang lain seperti Zahid Hamidi, Hishamuddin, Azmin Ali dan tentu sekali Tan Sri Muhyiddin sendiri.
Kebanyakan orang juga tidak memahami bagaimana kerajaan boleh bertukar tempoh hari sehingga Pakatan Harapan (PH) jatuh dan memberi peluang kepada Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri. Tidak keterlaluan untuk melihat apa yang berlaku sebagai sebuah pengkhianatan terhadap demokrasi yang kita amalkan; pemilihan kerajaan melalui pilihan raya dengan rakyat sebagai penentunya. Langkah Sheraton setahun yang lalu itu bukanlah suatu takdir dari Tuhan yang terjadi secara sendiri, melainkan percaturan rapi oleh semua pihak yang terlibat menggunakan kelompongan dalam undang-undang bagi membolehkan ianya berlaku.
Sekiranya kita jujur dengan demokrasi, kita seharusnya menghormati keputusan pilihan raya dan akur dengan pilihan majoriti rakyat meskipun tidak berpihak dengan parti yang kita undi atau gemari. Dan kita seharusnya marah dengan orang politik yang memperkotak-katikkan undi dan sokongan rakyat dengan melompat parti demi jawatan dan posisi baru mereka dalam kerajaan. Negara ini punyai undang-undang dan ahli politik sepatutnya menjadi golongan yang paling memelihara dan menghormati undang-undang ini.
Pandanglah politik negara ini sama macam politik pejabat kita. Di sebalik tenangnya pejabat, ada bermacam perangai dan tindakan teman pejabat yang berusaha membodek dan mengampu majikan atau orang atasan untuk naik pangkat mahupun menjatuhkan orang lain. Sama juga dengan orang politik. Mereka lebih bertungkus lumus kerana berada di pentas realpolitik. Selain dari perlu bermain wayang di hadapan kaca televisyen dan media demi meraih undi rakyat, mereka juga perlu bermain politik dengan melobi dan berpakat sesama sendiri demi kelangsungan jawatan atau dalam merebut kedudukan yang lebih tinggi.
Jadi tidak perlulah untuk kita sebagai orang biasa, seorang rakyat kebanyakan yang tidak mendapat sedikit pun keuntungan dari mana-mana parti politik untuk mempertahankan setiap tindakan bodoh orang politik. Kita juga tidak perlu untuk terasa atau berkecil hati dengan kritikan dan kecaman pihak lain terhadap parti yang kita sayangi kerana ia sedikit pun tidak berkaitan dengan kehidupan peribadi kita.
Orang politik yang saling memaki-hamun sesama mereka malah saling mengkafirkan sesama sendiri di dalam media sebenarnya boleh sahaja berbual sambil menikmati kopi semeja kerana mereka tahu lumrah pekerjaan mereka akan sentiasa begitu: hari ini kau menang jadi kerajaan aku pembangkang, esok mungkin sebaliknya pula. Kita tengok siapa yang paling pandai wayang dan rakyat paling sayang.
Selagi rakyat tidak celik politik, selagi itu jugalah orang politik tidak perlu berusaha keras untuk berkhidmat kepada rakyat, malah menggunakan rakyat pula untuk mendapatkan habuan yang lebih besar. Tidak perlu bersusah payah apa pun, rebutkan saja jawatan dan main politik macam biasa kerana rakyat akan kekal sokong mereka. Masalahnya rakyat yang beriya menyokong dan sayangkan sangat mereka ini, dah kenapa?
Di dalam politik, akhirnya tidak ada istilah Abah, Pak Long, Pak Ngah dan sebagainya. Mereka bukan ahli keluarga kita tetapi orang-orang yang sepatutnya bekerja untuk kita - yang namanya pun wakil rakyat. Ingatlah, gaji mereka berlipat kali ganda dari gaji rakyat biasa, yang dibayar oleh kita melalui cukai untuk mengatur, menyusun dan memacu negara, bukan untuk masing-masing sibuk berpolitik. Dan dalam kalangan kita, jangan ada pula yang terus menjadi tukang puja segala tindak tanduk mereka. Bala!
Nur Hafizah binti Ab Hadin adalah seorang graduan matematik dari Universiti Islam Antarabangsa. Meminati sastera dan seni budaya. Prihatin dengan keadaan semasa politik negara dan isu-isu keadilan sosial.
Foto: BERNAMA
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.