Cekodok Pisang Melayu, Gulai Platano Latina

Cekodok Pisang Melayu, Gulai Platano Latina

…” Besame mucho, como si fuera ésta noche, La última vez

Bait-bait lagu ‘besame mucho’ memang sangat berhantu. Ia berhantu bukan hanya kemerduan suara Andrea Bocelli, tapi peranannya sebagai latar belakang sesuatu peristiwa, sama ada tragik mahupun bahagia.

Berada di England bukanlah bermaksud pengalaman gastronomi aku haruslah sebatas kulinari Inggeris yang ternyata ‘bland’ lagi membosankan. Mungkin ‘imperialist-psychology’ British yang terlalu ghairah menjarah tanah seberang laut menyebabkan mereka terlupa untuk membangunkan gastronomi tempatan. 

Jika anda tidak percaya, cubalah berkelana ke seluruh tanah besar Eropah. Negara seperti Perancis, Itali, Sepanyol, Greek misalnya mempunyai budaya makanan yang hebat. Sehinggakan Jerman yang dikenali sebagai bangsa ‘muka ketat’ pun mempunyai sejarah gastronomi yang boleh dibanggakan. 

Oye Como Va Mamacita

Universiti Sussex mempunyai kelompok siswa Amerika Latin yang agak ramai. Sahabat baikku, Giulio dari Itali sering berjenaka, sama ada mereka (siswa Amerika Latin) mendapat tajaan biasiswa atau mereka ahli keluarga kartel dadah, menyebabkan mereka mampu menyambung pelajaran ke England yang sememangnya mahal.

Bulan pertama di Brighton, aku berkenalan dengan ramai siswa Amerika Latin dan Sepanyol. Menjadi seorang Melayu memberikan aku banyak kelebihan. Identiti aku sangat ‘luwes’. Bila berkeliaran dikalangan komuniti ‘Hispanic’, aku akan berasimilasi seolah-olah daripada jalur bangsa mereka. 

Pada situasi lain, aku boleh menjadi Filipino, Indonesia bahkan juga Bengali. Nama sebenar aku banyak membantu sesi ‘ice breaking’ khususnya bersama komuniti ‘Hispanic’. Terima kasih bapak kerana menamakan aku sempena wira kebangsaan Filipina!

Gadis-gadis Amerika Latin seperti Paola, Cinnamon, Lucia, Cynthia, Mariangela, Valeria, Constanza dan lain-lain yang aku sendiri sudah terlupa, sering mendampingi aku minum kopi di Bramber House, kafe Room 76 di Falmer House atau kedai kopi kegemaran aku di bandar Brighton iaitu Café Hare & Hounds.

Gadis Inggeris, seperti juga makanan mereka, kurang menambat hati kerana membosankan. Reputasi Universiti Sussex sebagai lubuk akademik radikal menarik ramai siswi Inggeris ‘Angela Davis wannabe’ melanjutkan pelajaran ke sana.  Rentung juga dibuatnya jika setiap kesempatan bersua dihabiskan berbincang idea Antonio Negri & Michael Hardt tentang ‘theory of empire’, ‘multitude’ atau analisis ‘gendered warfare’ oleh Judith Butler. 

Sebaliknya, siswi Amerika Latin lebih ‘easy going’ dan ‘cultured’. Kami berbual tentang lukisan, tarian dan yang paling memberahikan ialah topik gastronomi! 

Lucia, gadis Colombia yang aku kenali ketika bengkel penyelidikan di Institute of Development Studies, mengajar aku menikmati karya Gabriel Garcia Marquez. Valeria si genit dari Chile memperkenalkan aku lagu-lagu penyanyi lagenda genre ‘guaracha’, Celia Cruz, yang membuatkan kaki dan pinggul berputar 360 darjah. Melalui si manis Paola, ‘ceviche’ mula mendapat tempat dalam senarai makanan laut kegemaran aku.

Pendek kata, berkat pergaulan dengan siswi Amerika Latin, aku menjadi lebih peka dengan isu kesenian dan kebudayaan!

Pisang Goreng Nusantara, Pisang Goreng Latin

Benua Amerika Latin dan Asia Tenggara berkongsi persamaan iklim tropikal. Oleh itu tidak hairan jika buah-buahan dan sayuran di Asia Tenggara tumbuh subur di Amerika Latin.    

Pisang berperanan besar dalam gastronomi Melayu. Kita biasa disajikan dengan kuih tradisional seperti lepat pisang, pengat pisang dan gulai pisang muda daging salai. Pisang turut diraikan dalam gastronomi Amerika Latin. Peluang aku untuk merasai pengalaman gastronomi Amerika Latin muncul apabila berkenalan dengan Adda Garza, gadis ‘chic & elegant’ dari Mexico.

Menjadi rutin harian aku membawa bekal makanan setiap kali aku ke kampus Sussex. Bukan harga yang menjadi isu, soalnya tekak Melayu aku tidak berkompromi dengan makanan Inggeris. Bagi mengelakan situasi ‘diplomatic deadlock’ maka memasak makanan sendiri lebih enak disamping dapat berkongsi makanan Malaysia dengan teman-teman sekuliah. 

Pada suatu hari selepas tamat kuliah, aku duduk dibangku hadapan ‘library square’ kampus, sambil menikmati bekalan pisang goreng yang aku bawa dari rumah. Sedang aku asyik mengunyah (sambil terkenang keenakan pisang goreng emak), Adda menyapa aku. Selaras dengan prinsip Rukun Negara yang ke 5 (kesopanan dan kesusilaan), aku mempelawa Adda duduk bersama dan menghulurkan pisang goreng kepadanya.

Sewaktu dia mengunyah pisang goreng, aku perhatikan riak wajahnya. Laksana seorang chef yang sedang dinilai inspektor ‘Michelin star’, aku resah ternanti-nanti apakah respon yang akan gadis Latina ini berikan? 

It’s delicious, how did you make this?”, Adda akhirnya bersuara setelah selesai menjamah pisang goreng. Ibarat Alain Delon mengurat Marianne Faithfull, aku memandai-mandai mereka-reka falsafah disebalik resepi pisang goreng à la Malaysia. Aku lihat wajahnya bercahaya. Entahkan teruja dengan cerita dongeng pisang goreng atau terpesona dengan teknik penceritaan aku.

Apa yang pasti keesokan harinya, kami berjanji untuk bertemu sekali lagi ditempat yang sama dan kali ini dia mempelawa aku hidangan pisang goreng à la Mexico yang dipanggil ‘platanos fritos’. Pisang tanduk atau plantain dalam bahasa Inggeris atau ‘Platano’ dalam Bahasa Sepanyol memang sesuai dibuat pisang goreng. 

Nampaknya, budaya makanan Amerika Latin tidak jauh berbeza dengan kita di Nusantara. Cumanya aku agak kekok kerana ‘platanos fritos’ itu perlu dinikmati bersama nasi putih.  Bezanya, pisang goreng Latin tidak dimasak secara ‘deep fried’, hanya dibalik-balik atas kuali dengan minyak yang minimum. Satu pengalaman baru buat aku! 

Kisah pisang goreng à la Malaysia aku rupanya telah tersebar dikalangan komuniti ‘Hispanic’ di Sussex. Sahabat baik ku, Annibal Cerdenas dari Panama kemudiannya mempelawa aku menyertai parti gastronomi anjuran komuniti siswa Amerika Latin. 

Syaratnya setiap jemputan perlu membawa bersama hidangan berasaskan pisang. Untuk itu, aku mendapatkan ‘second opinion’ daripada sahabat baik ku yang bekerja sebagai chef di London iaitu Nick@Pardeep Singh Dillon. “Apa payah sangat, hang sua cucoq kodok sudah, depa gerenti suka”. Seperti mana kata-kata hikmah Marco Pierre White, pandangan chef Pardeep aku jadikan pedoman.

Parti Pisang Latin

Hujung minggu itu aku bertungkus lumus di dapur. Melenyek 4 sikat pisang emas yang aku beli di pasar tani ‘Open Market Brighton’ dan mengadun tepung gandum. Bagi menambah kegebuan cekodok pisang, aku tabur sedikit soda bikarbonat. Selepas satu jam, voilà, siaplah satu tupperware besar cekodok pisang.

Tiba di parti, aku lihat terhidang beraneka jenis makanan berasaskan pisang. Persamaannya, semua berasaskan pisang tanduk. Sebaik sahaja tupperware aku buka, bau wangi cekodok menerjah segenap ruang dan membuatkan tetamu tertanya-tanya. Sekelip mata, semua berkerumun dan menjamah cekodok pisangku. Kurang dari 5 minit selepas penutup tupperware aku buka, cekodok yang aku masak sudah licin!

Celakanya ialah, setiap orang perlu menerangkan kepada tetamu mengenai hidangan yang dibawa. Sial! kata hati aku, cekodok aku habis disapu sampai tiada tinggal satu pun untuk dijadikan sample. Akhirnya aku hanya menunjukkan gambar cekodok melalui Ipad dan berjanji kepada teman-teman bahawa aku akan memasak cekodok sekali lagi di acara akan datang.

Ditengah sorak sorai semua tetamu bersosial, Adda si gadis Mexico menghampiri aku membawa masakannya. Semacam gulai pisang dengan ayam. Savoury! Kalau tidak silap sajian itu dipanggil ‘manchamanteles’. Aku memohon maaf kepada Adda kerana tiada cekodok yang berbaki untuknya. Namun telahan aku salah, rupa-rupanya dia antara orang awal melantak cekodok aku. Dapat aku lihat sinar kegembiraan dimatanya. Sayup-sayup lagu ‘besame mucho’ melatari suasana petang itu.

Petang Ahad itu, aku bukan sahaja mendapat pengalaman gastronomi Amerika Latin, tetapi juga belajar tarian salsa daripada Adda Garza, gadis ‘chic & elegant’ dari Mexico. Bermula saat itu, tarian salsa aku semakin mantap dan menjadi nilai tambah setiap kali aku berada dalam mood ‘El Guapo’.

Memetik pantun Melayu moden:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang salsa dibawa menari.
 
Rizal Hamdan merupakan pendukung konsep gastro-diplomacy. Beliau percaya memasak merupakan aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan silaturahim dikalangan 2 jantina yang berbeza.
 
Foto hiasan ihsan Pinterest
Share this Post: