Pada ambang tirai labuhnya tahun ini dan menjelma tahun baharu, saya ingin membawa sedikit ulasan kepada sebuah buku yang ditulis oleh Henry David Thoreau yang berjudul Walden. Bermula dengan pembacaan tulisan Frederic Gros dalam A Philosophy of Walking yang pada akhirnya membuat saya untuk lebih menekuni falsafah transendental di dalam Walden.
Frederic Gros menulis kecintaan Thoreau akan pada hari pagi tercermin dalam pemujaannya kepada musim semi, saat dia menceritakan – pada bulan April di Danau Walden yang memancarkan hari muka dengan semangat baharu, prinsip bahawa yang abadi akan selalu mengalami pembaharuan.
Dengan lafaz Thoreau yang menyegarkan; “Tahun ini diawali dengan harapan yang lebih muda daripada sebelum-sebelumnya!”
Thoreau dalam pembikinan Walden, memberi kepada kita satu persoalan besar tentang kehidupan yang dijalani bahawa bersederhana tanpa dibebani dengan kebendaan adalah sesuatu yang menyenangkan meski ia terbukti sebagai sebuah wasiat agung bagi falsafah individualisme di Amerika.
Thoreau menulis Walden dengan mengasing diri bersendirian di sebuah rumah kecil (cabin) yang terletak di pinggiran Danau Walden, Concord, Massachusetts seperti yang dirakamkan olehnya dalam Walden; “Saya tinggal di sana selama dua tahun dan dua bulan. Pada saat ini, saya telah kembali singgah di kehidupan beradab.
“Bukannya saya berniat menuliskan syair kesedihan, melainkan berseru sekeras ayam jantan di pagi hari yang bertengger di sangkarnya, dengan harapan membangunkan para tetangga,” tertulis baris ungkapan Thoreau dalam Walden.
Walden mengingatkan kepada kita tentang dunia moden yang penuh dengan kebejatan dan ketidakharapan, untuk kembali kepada asas nilai, kekuatan dan keindahan peribadi yang tidak terbatas.
Sebagaimana diungkapkan oleh Chapman dalam baris tulisan Thoreau yang menuturkan; “Kumpulan manusia nan palsu – demi kehebatan duniawi, segala kenyamanan Syurgawi lenyap di udara”
Saya kemukakan tentang tiga perkara yang pernah seorang gadis memberitahu tentang kembali pada penetapan matlamat; tujuan, semangat dan prinsip. Saya kira perkara ini bukan sesuatu bertentangan.
Thoreau menulis, “kebanyakan orang … terhanyut dalam urusan dan pekerjaan keseharian sehingga buah kehidupan yang lebih baik tidak dapat mereka petik … ruang untuk mempertahankan integriti tak mampu mempertahankan hubungan paling manusiawi dengan manusia; jerih payahnya dijual murah pasaran. Dia tidak punya waktu untuk menjadi apa pun selain sebuah mesin.”
Ia membawakan kita kepada sebuah persoalan; bagaimana seseorang itu boleh mengingat ketidaktahuannya–yang dibutuhkan untuk perkembangan dirinya?–bilamana seorang itu sering menggunakan pengetahuannya?
Thoreau memberi jawapan yang agak berjela;
“Saya memikirkan kita dapat memiliki keyakinan yang lebih besar dari yang kita miliki saat ini. Kita menyita sekian banyak perhatian dari diri kita saat kita mencurahkannya dengan sesungguhnya kepada hal lain. Padahal alam dapat beradaptasi dengan baik terhadap kekuatan mahupun kelemahan kita. Kecemasan yang didorong oleh sebahagian orang yang hampir nyaris dibebani dengan berbagai penyakit tidak tersembuh. Kita didorong untuk membesar-besarkan pentingnya pekerjaan yang kita lakukan; tetapi betapa banyak hal yang tidak pernah kita lakukan … Betapa tekun dan kesungguhan kita memaksakan diri untuk hidup, memuja jalan hidup kita, dan menolak kemungkinan untuk berubah … padahal ada sekian banyak jalan, sebanyak garis, yang boleh kita tarik memancar dari sebuah titik. Setiap perubahan adalah sebuah keajaiban yang layak direnungkan, tetapi keajaiban perubahan itu sendiri terjadi setiap saat.”
Walden membawakan kita untuk merenungkan kembali kepada realiti dan kebenaran, yang pada akhirnya reformasi masyarakat ditemui melalui penilaian dalaman terhadap diri dan tentang keperluan hidup. Ia merupakan percubaan Thoreau untuk memperbaharui individu dan masyarakat yang pada asasnya adalah memperbaharui diri melalui penerokaan jiwa dalaman dan setiap pembaharuan memerlukan yang lain.
Kerana Thoreau mempunyai pandangan tersendiri terhadap kebiasaan umum (conventionality) yang terhasil daripada perindustrian yang berleluasa pada zamannya sehingga membawa Thoreau mengasingkan diri di Danau Walden, yang dentum genderang kalimat-kalimat transendentalnya mendorong untuk memahami semula dunia yang serba kebejatan dan menindas, dengan cara membuat kita membayangkan bahawa kita berada dalam keadaan sebegitu, sehinggalah ianya mencanang konsep keingkaran awam (civil disobedience).
Mungkin inilah yang menetapi dalam puisi sufi Parsi, Hafiz seraya berkata:
Bagaimana kita tidak tersesat di tengah kebun raya keyakinan. Walhal, Adam tersesat hanya sebuah benih! Tiada tempat menghindar dari penghujatan di taman rindang kekasih. Jika “Abu Lahab” tiada, siapa akan dilahap api neraka? Ketika Adam yang terpilih itu tersambar oleh petir keangkunan. Bagaimana mungkin kita harus mengakui kesucian kita?
Pada akhirnya Walden mengajak kita untuk mengejar fajar yang terbuka di depan mata kita, dan masih ada hari yang panjang setelah fajar, dan matahari hanyalah sebuah bintang pagi yang akan menerangi dedaunan malam pada hari muka.
Nur Arif Isa seorang penulis asal Melaka. Berkelulusan dalam Pengajian Islam dan Sumber Manusia dari Kolej Universiti Islam Melaka. Beliau juga merupakan Felo Lestari Hikmah dan salah seorang penulis dalam Intelegensia Penyuluh Nusantara
Foto: Literary Hub
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.